Friday, February 26, 2016

Pengalaman bercuti ke Hanoi, Vietnam


Assalamualaikum pembaca semua, hari ini saya nak kongsikan pengalaman bercuti ke Hanoi, Vietnam. Ini merupakan kali kedua saya ke Hanoi setelah pertama kali ke sini pada tahun 2009. Kali ini saya dan suami berkesempatan ke Hanoi kerana menebus mata ganjaran Enrich Malaysia Airlines suami, dan kami hanya perlu membayar cukai sahaja. Kami mengambil kesempatan bercuti ke Hanoi selama 4 hari 3 malam di hujung bulan Januari yang lepas dan menginap di Hanoi Glance Hotel yang sangat bagus servisnya. Lawatan kali ini kami berkesempatan berkunjung ke Halong Bay dan Tam Coc Village, aktiviti yang sangat-sangat berbaloi untuk diterokai. Semoga perkongsian pengalaman ini ada manfaatnya.

bercuti ke Hanoi buat kali kedua
Day 1
Kami bertolak menaiki pesawat MAS ke Noi Bai International Airport jam 9.45 pagi. Sampai di airport jam 12.10 tengahari dan melalui imigresen serta mengambil luggage. Jam 1 petang kami sudah di dalam van menuju ke bandar hanoi, kerana airport pick up sudah kami arrange melalui hotel yang memerlukan bayaran tambahan sebanyak 20 usd bagi sebuah van sehala.

Airport pickup di hanoi memang perlu di arrange dengan pihak hotel penginapan kerana lebih selamat dan selesa berikutan teksi di hanoi yang gemar mengambil kesempatan ke atas pelancong dengan mengenakan harga yang tidak masuk akal.

welcome drink yang dihidangkan semasa check in

Kami sampai di Hanoi Glance Hotel yang terletak di old quarter, kami disambut mesra oleh receptionist dan dihidangkan dengan jus, buah-buahan dan hot towel. Kami telah booking superior room dengan satu katil besar tetapi kami diberikan naiktaraf secara percuma sebuah bilik deluxe yang boleh memuatkan 3 tetamu, di tingkat paling atas menghadap bandar hanoi. Biliknya luas, bersih dan cantik. Terdapat buah-buahan di dalam bilik sebagai complimentary kepada tetamu.

bilik deluxe kami yang dihias cantik

Saya segera memasak nasi untuk hidangan tengahari kami dengan periuk nasi letrik mini yang kami bawa. Selesai makan dengan lauk yang dibawa dari malaysia, kami berehat dan solat. Jam 4.30 petang kami turun ke lobi untuk booking halong bay tour dan tam coc tour, kedua-duanya hanyalah day tour bagi mengisi masa kami di sini. Di bandar Hanoi ini sudah kami lawati tempat-tempat bersejarahnya seperti Ho Ch Minh Mouseleoum, Van Phuc Silk Village, Literature Museum/Temple, Old Quarter, Masjid al Noor, Dong Xuan Market etc. Jadi fokus kami kali ini sememangnya untuk excursion di luar bandar Hanoi menikmati alam semulajadinya.

Terdapat pelbagai pakej untuk ke Halong Bay, dari semurah 20 usd, 30 usd dan  50 usd. Beza ketiga-tiganya adalah berkisar pada samada sudah termasuk kayaking/bamboo boat dan juga tiket masuk ke gua. Urusan lain seperti kenderaan pergi balik, makan tengahari berlaukkan makanan laut di atas kapal dan lawatan ke tempat-tempat menarik sudah termasuk di dalam pakej. Kami aturkan sekali halal food dengan agen yang menempah pakej tour kami.

Kami memilih pakej deluxe yang sudah termasuk kesemuanya bagi memudahkan urusan. Walaupun pakej bermalam di atas kapal agak mengujakan dan tawaran yang dibuat pihak hotel pada kami juga menyeronokkan tetapi disebabkan kekangan masa kami terpaksa melupakan hasrat bermalam di atas kapal. Cukup sekadar day tour sehari ke Halong Bay dan day tour sehari lagi ke Tam Coc. Tour kami dibuat dengan syarikat Go Asia Travel and Tours dan di booking melalui pihak hotel.

bangunan berbentuk kapal di tengah bandar Hanoi

Selesai booking tanpa perlu membayarnya dahulu kerana akan dimasukkan ke dalam bil semasa check out nanti kami berjalan sekitar hotel menuju ke arah Hang Gai Street dan Tasik Hoan Kiem yang popular. Berpandukan peta yang diberi oleh pihak hotel kami berjalan menikmati hustle bustle of hanoi daily life yang penuh dengan motor di jalanan mahupun yang parkir di tepi-tepi kaki lima.

peniaga sekitar bandar Hanoi
Masyarakat disini gemar makan di tepi kaki lima dan duduk di kerusi rendah untuk makan dan minum sepanjang hari. Peniaga-peniaga jalanan yang menjual pelbagai hidangan rancak melayan pelanggan. Pemandangan sebegini sememangnya unik bagi negara ini dengan peniaga yang menjual sayur-sayuran dan buah-buahan membawa barang dagangan menggunakan pengangkat seperti dacing. Yang pastinya disini walaupun pada pandangan mata kasar kita mereka nampak susah tetapi mereka hidup gembira dan bahagia. Tidak ada yang hidup meminta-minta, kebanyakan mereka rajin berusaha mencari sesuap nasi.

ada juga peniaga menggunakan basikal
Kami sampai di Hoa Kiem Lake yang telahpun dipenuhi ramai pengunjung yang terdiri dari rakyat tempatan dan juga pelancong dari pelbagai negara. Orang tempatan ramai yang gemar bersiar-siar disini pada waktu petang dan pada waktu pagi pula mereka bersenam dan bertaichi di kawasan tasik ini.

Jambatan merah di Hoa Kiem Lake
Saya dan suami terus ke jambatan merah atau Red Bridge dan membeli tiket masuk ke Temple Ngoc Son yang bersejarah disini. Tiket masuk bagi seorang dewasa ialah 30k vnd (RM6). Di dalam temple ini ada terdapat sejarah tentang kura-kura yang berusia ratusan tahun yang menjadi penjaga tasik ini.

replika giant turtle di tasik ini
Baru-baru ini terdapat berita bahawa kura-kura yang disayangi penduduk Hanoi ini telah mati dan penduduk disini ramai yang menangisi kematiannya di sekeliling tasik dengan meletakkan kalungan bunga.


pintu masuk ke temple
Jam 6 petang kami berjalan pulang ke hotel dan singgah di kedai menjual jaket dan baju sejuk. Kami membeli 2 helai jaket North Face original Made in Vietnam dengan harga yang agak murah di kedai ini setelah tawar menawar sebanyak 30% dari harga yang ditawarkan pekedai. Yang penting kami kedua-duanya berpuas hati dan gembira dengan pembelian tersebut. Kami kemudian membeli topi pesawah dengan harga RM6 dan singgah di sebuah kedai memborong dompet dan dapat harga yang memang berpatutan.

Kami pulang membersihkan diri dan berehat di bilik hotel untuk aktiviti keesokan harinya. Makan malam kami pula ialah maggi in a cup dan lebihan nasi tengahari tadi sahaja. Masing-masing sudah keletihan untuk mencari restoran halal malam itu huhu.

Day 2
Jam 6.30 pagi kami turun bersarapan kerana mengelak dari masa yang peak untuk breakfast berikutan tempat duduk yang terhad dalam restaurant. Kami hanya makan buah-buahan, roti, cereal dan telur rebus sekadar mengalas perut untuk aktiviti hari ini. Jam 8 pagi kami sudah siap menunggu di lobi hotel untuk dijemput oleh agen ke halong bay. 15 minit kemudian, van datang menjemput kami dan tour kami ke Halong Bay ini adalah seramai 16 orang yang terdiri dari negara korea, canada, india, taiwan, german dan perancis. Tour kami diketuai oleh Mr Minh yang agak peramah dan informatif.

sarapan kami untuk hari kedua di Hanoi
Perjalanan ke jeti untuk ke Halong Bay mengambil masa kira-kira hampir 4 jam dengan satu kali berhenti rehat di rnr atau sebuah restoran yang menjual barangan kraftangan. 

hasil kraftangan di hentian rehat menuju Halong Bay
Kemudahan toilet di tempat tersebut agak bersih dan selesa. Bilangan tandasnya juga agak banyak jadi tidak perlu sampai beratur atau berebut-rebut.

dalam mini bus ke Halong Bay

Jam 12.30 tengahari kami sampai di jeti untuk menaiki kapal ke Halong Bay. Sebaik menaiki kapal, hidangan masakan vietnam yang terdiri dari makanan laut sudahpun sedia terhidang. Kami berkongsi meja dengan dua orang pelancong wanita dari Jerman yang agak mesra. Kedua-duanya adalah pelajar yang sedang mengikuti ijazah dalam bidang kebudayaan Jepun di Kyoto, Japan.

sampai di jeti untuk menaiki kapal
Perbualan dengan mereka banyak berkisar sekitar budaya dan orang-orang jepun yang menurut mereka agak fobia untuk mencuba berbahasa jepun dengan mereka kerana menyangkakan perlu berbahasa inggeris. Huhu.

tempat makan dalam kapal
Makanan yang dihidangkan adalah terdiri daripada ikan, sayur, udang dan sotong yang dimasak pelbagai jenis dan kedua-dua kenalan kami dari Jerman makan sehingga bertambah-tambah nasinya dan sangat asyik meratah ikan talapia yang dimasak sweet sour. Berkali-kali mereka mengatakan mereka gembira dengan makanan yang sedap itu. Hehe. Bagi yang alergik dengan seafood boleh request awal-awal untuk dihidangkan makanan lain. Juga bagi yang vegetarian, makanan boleh diaturkan semasa penempahan pakej dengan agen.


batu yang menyerupai anjing
Pelayaran kapal diteruskan melalui pelbagai bentuk batu-batu yang menyerupai pelbagai haiwan seperti ayam, anjing, kucing dan pelbagai lagi. Selesai makan, kami naik ke atas deck untuk bergambar dan menikmati kedinginan angin di teluk tersebut.

halong bay vietnam
Sejam kemudian kami tiba di kawasan untuk aktiviti berkayak atau bamboo boat. Kami memilih untuk menaiki bamboo boat yang dipandu oleh orang tempatan berbanding aktiviti berkayak yang perlu dipandu sendiri. Hehe. Dalam boat kami terdapat 2 orang lagi pelancong dari korea yang tidak berapa mesra. Saya beranggapan mereka kurang fasih berbahasa inggeris disebabkan itulah mereka hanya diam sahaja.

dalam bamboo boat
Boat kami dipandu oleh seorang wanita yang agak mesra, sesekali mengusik kami kononnya boat kami bergoyang dek ombak yang dibuat-buat. Sesekali dia menawarkan diri mengambil gambar kami dan mencelah dalam gambar selfie yang kami ambil. Hehe. Kami dibawa menaiki boat selama 30 minit melalui gua-gua batu kapur yang terdapat di sekitar Halong Bay ini. Pemandangan agak berkabus kerana hujan yang sesekali renyai. Selesai menaiki boat kami memberikan tips pada pemandu bot wanita tersebut yang jelas gembira dengan sedikit pemberian tersebut.

di pintu masuk grotto
Seterusnya kami menaiki kapal semula untuk ke gua Heavenly Palace Grotto atau Thien Cung yang merupakan antara gua paling cantik di sini. Kami perlu memanjat tangga sebanyak 200 anak tangga yang agak curam dan licin. Seeloknya perlu memakai kasut untuk memudahkan pergerakan.

menaiki tangga ke pintu gua
Gua tersebut yang telah melalui proses semulajadi membentuk stalagtit dan stalagmit yang sangat cantik. Lampu-lampu berwarna warni yang dipasang di dalam gua menambahkan lagi keindahan gua ini.

pemandangan dalam gua

Gua ini ditemui sekumpulan nelayan yang ingin mencari teduhan dari ribut semasa keluar mencari ikan di sekitar Ha Long Bay ini.

keindahan gua yang sukar digambarkan
Hari sudah agak petang dan kami memulakan pendakian turun dan menaiki semula kapal untuk ke jeti semula sebelum menaiki van untuk pulang ke Hanoi. Disebabkan akan sampai di Hanoi jam 8 atau 9 malam maka solat zuhur dan asar perlulah dibuat semasa di atas kapal. Bawalah sejadah dan kompas siap-siap dan minta izin dari tour guide untuk menggunakan bilik yang ada di atas deck kapal untuk bersolat.

antara kapal yang berlabuh di kawasan gua
Hampir jam 9 malam kami sampai semula ke hotel membawa keseronokan berkunjung Halong Bay. Kami yang sudah keletihan mengambil keputusan untuk mandi, solat dan berehat di bilik sahaja untuk aktiviti keesokan harinya pula. Makan malam kami hanya di bilik sahaja dengan biskut dan kopi yang sedia ada.

kapal yang membawa pelancong yang memilih untuk tidur di atas kapal

Day 3
Kami bersarapan agak lewat kerana agak kepenatan malam tadi. Sebelum jam 8 pagi receptionist sudah menghubungi kami kerana katanya van yang akan membawa kami ke Tam Coc Village sudah tiba. Jam 8.30 pagi kami seramai 12 orang menuju ke tam coc yang terletak kira-kira 120km dari Hanoi. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam kerana bas dan van hanya dibenarkan speed limit paling tinggi ialah 60km berikutan trafik yang banyak dan sibuk di jalanraya. Rombongan kami diketuai oleh Mr Sunny dan dipandu oleh Mr Mickey. Dalam perjalanan kami diberi taklimat ringkas oleh Sunny tentang negara dan budaya vietnam. Kami ditunjukkan bendera vietnam yang membawa maksud darah dan kulit rakyatnya (merah dan kuning).

di Hoa Lu, Vietnam
Kami singgah sebentar di sebuah restoran untuk ke happy room atau tandas yang menurut sunny seseorang yang keluar tandas mesti gembira setelah selesai menunaikan hajat. Huhu. Jam 10 pagi kami sampai di Hoa Lu, tempat kerajaan maharaja Vietnam memerintah satu ketika dulu. Ia merupakan satu bandar lama yang penuh bersejarah. Hujan renyai-renyai dan suasana berkabus tidak mematahkan semangat kami berjalan sekitar bandar lama tersebut.

pintu masuk ke bandar lama Hoa Lu
Menurut Sunny, raja pertama mati pada usia yang masih muda dan meninggalkan 3 orang anak lelaki tetapi anak lelaki sulungnya pada ketika itu baru berusia 3 tahun. Jadi tidak ada pewaris yang dapat menggantikannya. Disebabkan itu, seorang pembesar dari kalangan rakyat biasa telah menaiki takhta menjadi raja kedua. Selepas 3 dinasti memerintah maka berkuburlah dinasti diraja bagi negara Vietnam dan pusat pemerintahan terus beralih ke bandar Hanoi.

petani dengan lembunya di Hoa Lu
antara tempat bersejarah di Hoa Lu
Jam 11 pagi kami ke restoran di Tam Coc Village untuk makan tengahari yang dihidangkan secara buffet. Kami kemudiannya mengikuti aktiviti cycling sekitar kampung ini menikmati keindahan bukit bukau yang diliputi kabus, sungai-sungai yang mengalir tenang, sawah padi yang menghijau dan ternakan yang bebas ke sana ke mari.

cycling activity di Tam Coc Village
Pemandangan sebegitu amat menerujakan dan ketenangan kampung tersebut amat mendamaikan. Sambil kami berbasikal ada beberapa orang lelaki tempatan menaiki motosikal mengambil gambar kami. Perkara ini sudahpun dimaklumkan oleh tour guide kami yang telahpun berpesan sekiranya kami mahu bolehlah membeli gambar tersebut dan sekiranya tidak mahu maka tolaklah secara baik.

sawah padi yang menghijau
Hampir sejam berbasikal dan kami sampai semula di depan restoran. Kami membeli gambar yang diambil sebagai kenangan. Walaupun harganya agak mahal iaitu RM4 sekeping tapi memikirkan usahanya yang bersungguh dan sebagai tanda kenangan berbasikal disana maka kami beli juga sebagai kenangan untuk dibawa pulang. Yang bagusnya kami boleh membayar gambar tersebut menggunakan duit RM sahaja, huhu.

wanita muda inilah pendayung sampan kami
Seterusnya pula ialah aktiviti bersampan yang didayung oleh pendayung menggunakan kaki. Aktiviti ini mengambil masa kira-kira 2 jam dan kami dinasihatkan untuk ke tandas terlebih dahulu sebelum menaiki sampan kerana tidak ada kemudahan toilet sepanjang aktiviti tersebut. Kami bersampan dengan seorang pendayung wanita yang masih muda. Walaupun pada mulanya saya agak skeptikal dengan kebolehan dan kemampuannya tapi dia membuktikan sebaliknya. Dia mendayung dengan tenang dan melakukannya dengan begitu baik melalui 3 buah gua yang sangat indah bentuknya.

antara gua batu kapur di sini

sekumpulan peniaga yang menjual pelbagai barangan di gua yang ketiga
Di gua ketiga terdapat sekumpulan peniaga yang akan mempromosikan barangan jualan dan minuman yang menurut mereka harus dibeli sebagai hadiah buat pendayung sampan yang keletihan mendayung. Sekiranya kita tidak mahu membelinya maka tolaklah secara baik.

kabus tebal sepanjang aktiviti bersampan

Saya sekadar bertanya harga bagi secawan kopi dan sebungkus makanan ringan yang keduanya berharga hampir RM20. Harga yang sangat mahal dan melampau pada saya. Mujur juga telah saya bawa siap-siap makanan ringan yang telah saya niatkan untuk diberi pada pendayung sampan kami. Melihatkan wajahnya yang tersenyum riang mendapat makanan ringan tersebut serta tips yang kami berikan padanya sungguh menggembirakan hati saya.

pendayung yang menggunakan kakinya mendayung sampan
Hampir 2 jam bersampan kami tiba semula ke jeti berhampiran restoran tadi dan dibawa pulang semula ke Hanoi. Kenangan indah di Tam Coc Village dengan pemandangan yang sungguh menakjubkan amat menyeronokkan kami. Sampai di Hanoi kami segera solat, makan dan berehat seketika.

hasil kraftangan penduduk vietnam

produk tembikar yang dijual disini

Jam 8 malam, kami keluar semula berjalan kaki ke pasar malam yang diadakan berdekatan Hang Gai Street hingga ke Dong Xuan Market. Kami membeli barangan kraftangan seperti gambar, sulaman, lacquer dan beberapa barangan lain. Saya juga membeli kuaci bunga matahari dan kacang pistachios yang sangat sedap di kawasan pasar malam ini. Kami kemudiannya lepak sebentar di Cafe Highland Coffee untuk minum ice blended mocha dan capucino dan membeli coffee disini untuk dibawa pulang.

lepaking sambil minum kopi huhu
Jam 9.30 malam kami berjalan pulang ke hotel dan berehat serta mengemas beg untuk check out keesokan harinya.

hasil kreativiti yang sangat menakjubkan
Day 4
Pagi ini selesai bersarapan kami bersiar-siar sekitar kawasan Hang Gai Street. Suami sempat membeli beg North Face yang  menurutnya akan dipakai untuk trip ke morocco hujung tahun ini. Harga yang kami dapat sangat berpatutan kerana membelinya pada ketika pekedai baru ingin memulakan perniagaan. Huhu. Pastikan membeli North Face yang mempunyai hologram untuk memastikan bahawa yang dibeli itu adalah original. Kami berjalan pulang ke hotel dan mengambil luggage turun ke lobi. Jam 10.30 pagi sebuah MPV datang menjemput kami untuk dibawa ke airport. Staf hotel mengiringi kami dan mengucapkan selamat jalan dan semoga bertemu kembali di masa akan datang.

penginapan kami yang amat selesa selama 3 malam di Hanoi

Hanoi kami tinggalkan dengan kenangan yang indah kerana dapat berehat menikmati nature tour yang sungguh menyeronokkan. Sudah tentu kami plan untuk nature tour ke destinasi seperti guilin, china dan tempat-tempat lain pula di masa akan datang, insya Allah. Semoga bertemu lagi.

9 comments:

  1. Tq, satu usaha yang baik mendokumenkan pengembaraan..seronok baca..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Assalamualaikum.wr.wb. perkenalkan nama saya Ibu Anita Tki Malaysia, saat menulis ini saya teringat memory masa lalu.saya sangat tergugah hati melihat coretan hati yang Ibu tulis. saya jadi teringat tentang masa-masa sulit dulu,karena iktiar dan usaha , seolah2 menjadi dendam bukan lagi motivasi, cuma satu tujuan saya pada saat bagaiman caranya untuk bangkit..singkat kata berbagai macam iktiar dan cara yang saya lalui, mengingat pada saat itu hutang saya 1,2m yang tidak sedikit, belum lagi bunga renternir yang bertambah. karena usaha, kesungguhan hati, akhirnya menemukan jalan /solusi . saya percaya ALLAH ITU TIDAK DIAM MAHA PENYAYANG , cobaan itu bukan lah ujian tapi hadiah yang tersilmut untuk kebahagiaan yang sebenar2nya. Sudah banyak para normal yg kami mintai angka togel dan uang gaib cuma Ki Witjaksno yg berhasil alhamdulillah itu betul-betul terbukti tembus. jika anda ingin seperti saya silahkan hubungi Ki Witjaksno:+62852_2223_1459. ingat kesempatan tidak akan datang untuk yang kedua kalinya
      SUPAYA LEBIH JELAS KLIK-> PESUGIHAN TOGEL TANPA TUMBAL

      Delete
  2. Replies
    1. bajet rsnya subjektif kan. tp saya dh bentangkan hotel, flight dan aktiviti kt sana so boleh agak2 kot huhu

      Delete
  3. Sana ada 4 musim.. teringin nak pg. U punya blog kemas

    ReplyDelete
    Replies
    1. tq. semoga awk dpt ke sana jgk one day..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...