Wednesday, July 22, 2015

Pengalaman bercuti ke Negara Turki Part 3

sambungan dari Part 1 dan Part 2

Day 5
Sarapan pagi hari ini agak awal iaitu pada jam 6 pagi kerana jam 7 pagi kami perlu daftar keluar dan bertolak ke bandar Konya dan melawat tempat-tempat menarik disana pula. Sepanjang perjalanan kami disajikan pemandangan yang berbukit bukau dengan kebun-kebun sayuran di kiri dan kanan jalan. Ada pelbagai jenis tanaman seperti pokok zaitun, delima, jagung, anggur dan epal. Saya amat teruja melihat kebun-kebun seperti ini disini.

Mevlana Museum di Konya
Perjalanan kami menuju bandar Konya mengambil masa kira-kira 6 jam dengan 3 kali berhenti rehat. Perhentian yang ketiga kami berhenti untuk makan tengahari dan solat. Di sini, untuk menggunakan tandas atau dipanggil WC, pengguna perlu membayar sebanyak 1tl bersamaan RM1.50, harga yang sangat mahal untuk penggunaan tandas yang tidaklah terlalu bersih. Ingin mengambil wudhuk juga adalah di tandas tersebut dan perlu membayarnya sekali lagi.

pintu masuk ke makam mevlana
Apa yang kami perhatikan di Turkey ini, air minumannya amat berharga kerana air paipnya terasa payau apabila kita berkumur untuk wudhuk mahupun memberus gigi. Mungkin juga dek kerana rasa airnya yang sebegitu membuatkan harga air botol agak mahal. Untuk kumpulan kami yang 14 orang ini, kami hanya diberi 4 botol 1500ml untuk setiap kali waktu makan.

taman sekitar makam mevlana
Apabila kami minta untuk tambah air botol tersebut kami dikehendaki membayar lebih. Sudahlah di semua hotel yang kami singgah tidak diberi air botol minuman percuma, apabila masak air paipnya pula menggunakan cerek yang dibawa terasa payau dan pelik. Dalam sehari, kami diberikan satu botol air mineral 500ml sahaja setiap orang, terpaksa juga membeli sendiri air botol di kedai runcit dengan harga yang agak mahal sehingga mencecah 5tl atau rm10 untuk 500ml botol air!

derwish show di muzium mevlana
Selesai makan tengahari dan bersolat, kami singgah di Mevlana Museum untuk melawat makamnya. Maulana atau dikenali sebagai rumi oleh orang putih merupakan pengasas kepada ajaran sufi, sebuah ajaran bagi mengajak umat islam mendekati Allah. Kami diberi masa selama 30 minit disini untuk bergambar dan melawat makamnya.

karavansery
Seterusnya kami meneruskan perjalanan untuk ke bandar Cappadocia dan singgah di Karavansery, sebuah hotel lama yang menjadi contoh dan panduan untuk pembinaan hotel moden pada zaman sekarang.

di bahagian dalam keravansery
Bentuknya seakan penjara kerana tidak mempunyai tingkap, tetapi mempunyai laman yang luas di bahagian dalam dengan ditengah-tengahnya terletak sebuah masjid. Menariknya, hotel ini pada zaman dahulu memberi penginapan percuma kepada pengunjung yang miskin dan tidak punya wang untuk mencari tempat berteduh.

anak tangga menuju ke bilik hotel bahagian atas
Sempat juga masing-masing membeli tshirt turkey yang harganya agak murah disini, beli 5 helai percuma sehelai tshirt. Harga bagi sehelai tshirt iaitu 15tl sahaja berbanding tempat lain yang agak mahal harganya. Kualiti kainnya juga agak baik.

Kami sampai di Hotel Ramada Cappadocia jam 8 malam dan terus check in dan makan malam. Jam 8.45 malam, kami perlu terus ke pusat bandar Cappadocia untuk menyaksikan Turkish Night yang memaparkan pelbagai tarian dari pelbagai daerah di Turkey ini termasuk highlight malam tersebut iaitu belly dance.


salah satu tarian di turkish night
Jam 11 malam kami pulang ke hotel dan perlu bangun seawal jam 4 pagi bagi aktiviti belon panas keesokan harinya pula.

Day 6
Kami dikehendaki bangun dan bersiap-siap jam 4 pagi, sempat solat subuh yang masuk waktunya jam 5 pagi dan seterusnya bertolak menaiki van untuk ke kawasan belon udara panas untuk aktiviti tersebut pagi ini.

menanti sunrise dari hot air ballon 
Jam 6 pagi kami sudah pun berada di dalam bakul belon udara panas dan diberi sedikit taklimat ringkas dari kapten belon kami bernama Sureyya. Taklimat ringkasnya merangkumi aspek keselamatan semasa pelayaran dan pendaratan yang merupakan saat paling kritikal dalam pelayaran belon panas.

matahari sudah mulai naik
Jam 6.30 pagi saat belon sedang berada 500 meter di atas, kami dapat menyaksikan panorama indah matahari terbit dan segala bentuk muka bumi di Cappadocia ini, Subhanallah, Maha Suci Allah! Memang amat mengagumkan sekali ciptaan Allah yang Maha Esa.

melalui bentuk muka bumi yang sangat unik
Satu-satunya bentuk muka bumi sebegini hanya terdapat di Cappadocia ini dan hanya boleh dinikmati pemandangannya menggunakan belon udara panas. Memang amat menerujakan sekali pengalaman menaiki belon udara panas di sini. Hilang segala risau, cuak dan takut dan pengalaman ini benar-benar terbayar melihat keindahan bumi Cappadocia.

pemandangan bukit yang didalamnya dibina rumah
Saya yang sejak dari bumi Malaysia lagi mati-matian tidak mahu menaiki belon udara ini kerana penakut dan gayat merupakan orang yang paling gembira dan teruja kerana tidak melepaskan peluang ini. Mujur juga dapat saya buang perasaan takut itu bila berada disana dan sesungguhnya memang tidak rugi untuk merasai pengalaman ini yang entahkan bila dapat saya merasainya lagi selain disini.

beratus-ratus belon udara yang sedang terbang
Buang segala perasaan resah gelisah, banyakkan berdoa, dan nikmatilah pemandangan ketika belon udara perlahan-lahan terbang ke udara. Sedar tidak sedar, anda sudah berada jauh ke udara, langsung tidak terasa gayat atau takut apabila mata dan fikiran tertumpu sepenuhnya pada suasana yang sungguh cantik di Cappadocia ini. Pastinya pengalaman ini tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila.

pemandangan yang sungguh menakjubkan
Selepas mendarat dengan selamatnya, kami dijamu dengan sedikit sambutan dan dihidangkan dengan jus oren. Sureyya, kapten kami membuka sebuah botol dan menggoncangkannya dan menghalakan semburan air tersebut ke arah kami. Habis basah baju kami dibuatnya, mujurlah bukan minuman beralkohol yang digunakankannya. Masing-masing bersyukur dan gembira dengan penerbangan belon udara yang mengambil masa kira-kira sejam 15 minit tersebut. Sureyya menyampaikan sijil kepada kami, sempat juga kami bergambar kenangan bersamanya.

demonstrasi pembuatan seramik
Kami kemudiannya pulang semula ke hotel jam 7.30 pagi dan terus bersarapan di restoran hotel. Jam 9 pagi kami bertolak ke destinasi kami pagi ini iaitu ke Vanessa Ceramic Factory yang pernah juga dikunjungi oleh pelakon hollywood terkenal Nicholas Cage.

pelajar yang sedang melukis corak di seramik
Kami ditunjukkan cara-cara membuat seramik, dimana terdapat 2 jenis seramik disini iaitu black and white seramik. Yang putih diambil dari tanah berbukit dan yang hitam diambil dari tanah sungai. Ia kemudiannya diproses dengan dibakar selama beberapa jam dengan suhu yang tinggi dan diukir dengan corak-corak asli daripada Turki dan beberapa proses lain lagi sebelum diletakkan di bilik pameran untuk dijual kepada pelanggan.

koleksi masterpiece
Terdapat 3 jenis koleksi di bilik pameran kilang ini iaitu koleksi masterpiece yang dibuat oleh master yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun, koleksi khas kilang dan juga koleksi dari para pelajar yang baru belajar mengukir dan membuat seramik. Koleksi daripada master adalah yang paling mahal harganya, ada yang sehingga mencapai ribuan Ringgit Malaysia. Kami diberi diskaun sebanyak 30% kepada sesiapa yang berminat membelinya.

taklimat tentang kualiti dan keaslian produk seramik
Kami sekadar membeli 2 piring sederhana, satu dari koleksi masterpiece dan satu lagi dari koleksi pelajar dan diberi diskaun hampir 50%, piringnya cantik kerana coraknya yang asli dari Turki yang memang terkenal dengan seramik sejak beribu tahun dahulu. Cukuplah untuk dibuat sebagai tanda kenangan dari Cappadocia, huhu.

pintu masuk kaymakli underground city
Kemudian kami melawat Kaymakli Underground City, tempat tinggal rahsia di bawah tanah yang pernah didiami oleh masyarakat Kristian yang lari dari pemerintahan Roman di Italy dan mencari perlindungan di sini. Tempat yang dibina dibawah tanah ini baru sangat dijumpai oleh orang tempatan pada tahun 1968 dan mereka masih menjalankan kajian mendalam mengenainya. Kami menghabiskan masa kira-kira 20 minit di bawah tanah ini cuba memahami kehidupan mereka pada zaman dahulu yang lengkap mempunyai tempat menyimpan binatang ternakan, sistem pengaliran udara yang baik, dapur, bilik tidur, ruang istirehat dan dibina bertingkat-tingkat hingga jauh ke bawah tanah.

bahagian dalam rumah bawah tanah
Seterusnya kami singgah makan tengahari di Restoran Han dan solat di sini. Kemudian, kami dibawa ke Jewellery Factory yang terletak berhampiran dengan restoran tempat makan tengahari kami. Di sini kami diterangkan tentang batu turkuaz, yang sememangnya berasal dari sini kerana turkuaz itu sendiri bermaksud batu turki. Warnanya seakan-akan biru laut itu memang amat cantik tetapi corak dan koleksi yang ada di sini tidak menarik hati kami.

di Goreme Open air museum
Selepas kilang barangan perhiasan tersebut kami singgah di Goreme Open Air Museum yang merupakan tempat beberapa gereja yang dibina oleh golongan yang lari dari pemerintahan roman tersebut. Kami sekadar masuk untuk melihat-lihat peninggalan tersebut dan kemudian keluar untuk bergambar di sekitar tempat tersebut.

pintu masuk kilang karpet
penerangan tentang kualiti karpet sutera
Seterusnya pula, kami singgah di Carpet Factory menyaksikan pembuatan karpet sutera. Harga bagi karpet sutera bersaiz alas kaki dijual pada harga RM3k apatah lagi yang bersaiz karpet di ruang tamu yang pastinya mencecah puluhan ribu ringgit. Kami masing-masing hanya tersenyum sahaja mendengarkan harganya. Mujur juga tidak ada yang berminat membelinya. huhu

makan aiskrim di sini
Kemudian, agen kami Usman membawa kami ke kedai aiskrim Kaptan Osman untuk menikmati aiskrim turki yang original. Terdapat 4 perisa yang boleh dipilih iaitu pistachios, coklat, lemonade dan vanilla. Aiskrim yang dijual dengan harga 4tl itu boleh dibeli dengan 2 perisa kesukaan. Kami menikmati aiskrim tersebut berlatarbelangkan pemandangan yang sangat cantik di Cappadocia ini.

Seterusnya, kami melawat pula Uchisar Castle yang terletak di atas bukit tetapi agak curam untuk mendakinya. Menurut usman, 2 tahun lepas terdapat seorang pelancong dari Jepun telah mati kerana jatuh ketika mendakinya.

uchisar castle
Kami yang masing-masing sudah kepenatan memilih untuk tidak mendakinya dan sekadar menghabiskan masa di gerai-gerai souvenier berdekatan untuk membeli beberapa lagi tanda kenangan untuk dibawa pulang. Sempat juga saya dan suami membeli alas meja makan yang harganya 2x ganda lebih murah berbanding di tempat lain dan juga 2 biji mangkuk ceramic untuk dibawa pulang. Memang berbaloi shopping disini, hehe.

Jam sudahpun menghampiri pukul 6 petang, kami kemudiannya dibawa ke Derwish Show, sebuah pertunjukan spiritual oleh ahli sufi. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar ketika pertunjukan berlangsung dan juga tidak dibenarkan bercakap apatah lagi membuat bising.

derwish show
Pertunjukan yang memaparkan ahli sufi yang menari mengelilingi pentas berpakaian serba putih itu mengambil masa kira-kira 45 minit dalam keadaan lampu yang dimalapkan. Selesai pertunjukan kami dibenarkan mengambil gambar dan dijamu teh cinnamon yang rasanya agak pedas-pedas kelat, huhu.

Selesai aktiviti kami hari ini di bandar Cappadocia, kami dibawa pulang ke hotel dan menikmati makan malam kami. Masing-masing tidak menunggu lama untuk pulang berehat ke bilik dek kepenatan aktiviti yang sangat padat pada hari ini.

bersambung di  Part 4

11 comments:

  1. turki, oh turki: banyaknya pemandangan yang ingin dilihat, makanan yang ingin dijamah, tamadun yang ingin diimbau, kebudayaan yang ingin diselami, aktiviti yang ingin dialami, kegemilangan yang ingin dikembalikan..terima kasih atas posting menarik yang membangkitkan keinginan mengembara menyaksikan keindahan alam ciptaan Nya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Turki mmg sebuah negara yg indah dan menyeronokkan. Makanan, budaya dan sejarahnya banyak yg boleh diterokai. Terima kasih krn sudi baca dan komen 😊

      Delete
  2. Replies
    1. Terima kasih.ye memang sgt seronok melawat negara turkey. 😊

      Delete
  3. Parents dah sampai, saya belum lagi huhu. Cantik sangat pemandangan dari atas belon tuh ya. Tapi terkejut baca harga air mineral mahal benar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Huhu tula.tak pnh lagi saya jmpa negara yg air mineralnya begitu berharga huhu.mudah2an nti sarah akan dpt kesana pula. 😊

      Delete
  4. Parents dah sampai, saya belum lagi huhu. Cantik sangat pemandangan dari atas belon tuh ya. Tapi terkejut baca harga air mineral mahal benar

    ReplyDelete
  5. Best nye dpat rsa naik belon tu...tp nak tny la skali naik tu brapa byaran nye ek?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Akak dh xbpe ingat bpe cajnya.tapi rasanya dlm 200usd sekali naik utk seorg.agak mahal tapi berbaloi2 sbb bkn semua tmpat menawarkn hot air ballon dgn pemandangan yg sungguh menakjubkan.huhu

      Delete
  6. akak, naik belon panas tu...dh dlm pakej atau byr asing?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Naik hot air ballon tu optional, pilihan sendiri sebab tak termasuk dlm pakej.

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...