Wednesday, April 16, 2014

Pengalaman bercuti ke Brunei Darussalam


Assalamualaikum sahabat dan pembaca semua, hari ni saya nak kongsikan serba sedikit pengalaman saya bercuti ke negara Brunei. Percutian yang tidak dirancang ini telah kami sempurnakan selepas pulang bercuti dari Osaka, Jepun selama 3 hari 2 malam dek kerana bajet berjalan-jalan yang masih berbaki, hehe.

Hari Pertama
Seawal jam 2.30 pagi kami telah bangun dan bersiap-siap. Sejam kemudian, kami terus bertolak ke LCCT dan parking di Zon A dan terus masuk ke boarding hall. Kami ingatkan LCCT senyap sunyi tetapi jam 4.30 pagi sudah seperti peak hours sahaja, penuh dengan umat manusia yang ingin travel. Selesai urusan luggage dan imigresen kami terus ke boarding hall untuk menanti masa pelepasan. Sempat juga membeli minuman panas dan sarapan ringan dengan bekalan roti gardenia yang saya bawa dari rumah. Jam 6.10 pagi kami sempat menunaikan solat subuh dan bergegas ke pintu berlepas yang hanya beberapa minit lagi akan ditutup kerana penerbangan kami adalah pada 6.45 pagi. Dalam flight, saya order combo B yang ada hidangan roti canai 2 keping dan kari ayam, dapat percuma kopi o. Saya tambah mineral water, kesemuanya berharga RM13.

Jam 9.05 pagi kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. Selesai urusan imigresen dan luggage, kami keluar ke balai ketibaan, namun sedikit hampa kerana tiada wakil dari pihak hotel yang menunggu walaupun telah kami uruskan awal-awal untuk airport pickup. Kami bergegas ke kaunter teksi, namun yang ada hanya kaunter, orangnya tidak ada, teksi yang menunggu pula hanya ada 2 buah sahaja yang telahpun ada penumpangnya. Hampir setengah jam menunggu teksi sambil call hotel bertanyakan airport pickup, datanglah sebuah teksi yang dipandu seorang wanita. Lega sedikit rasa hati, kebetulan pemandu teksi ini pandai bersembang bertanyakan tujuan kami ke Brunei dan mengatakan tidak ada apa di Brunei melainkan masjidnya yang cantik! Kami sekadar senyum, sampai di hotel, tambang teksinya kami bayar bnd25.

Kami sampai di Hotel Radisson Brunei jam 10 pagi, saya sudah mula berkira-kira untuk 'menghambur' receptionist tersebut kerana servis menunggu di airport tidak ada. Namun saya sedikit lega apabila dia terus memberikan kunci bilik untuk kami segera check in, tidak perlulah kami menunggu hingga jam 3 petang untuk check in. Lega sedikit apabila dapat berehat kerana bangun awal sangat pagi tadi, huhu.

Jam 12 tengahari kami bersiap-siap untuk keluar menerokai bandar seri begawan. Destinasi pertama kami ialah Masjid Sultan Omar, yang merupakan masjid tertua di Brunei yang kubahnya bersalut dengan emas. Kami hanya berjalan kaki sahaja ke bandarnya yang terletak hanya kira-kira 5 minit sahaja dari hotel penginapan kami.

Masjid kubah emas atau Masjid Sultan Omar Saifudin
Kami melewati Menara Jam hadiah daripada kerajaan Malaysia yang terletak di simpang empat sebuah jalan. Kemudian ke jeti Kampung Ayer untuk meninjau-ninjau sebelum singgah di Kompleks Yayasan Sultanah Bolkiah, sebuah gedung membeli belah yang terletak bersebelahan dengan Masjid Sultan Omar. Di sini, kami singgah makan di foodcourt, saya oder nasi goreng ayam bbq dan suami order nasi ayam goreng. Saya bernasib baik kerana hidangan saya agak sedap berbanding suami yang tidak dapat menghabiskan hidangannya. Mujur minuman ABC agak sedap, dapat juga menghilangkan rasa lapar.

Menara Jam yg terletak di simpang jalan
Selesai menjamu selera kami singgah di pasaraya yang terletak di tingkat bawah shopping complex tersebut. Tujuan saya adalah untuk melihat-lihat harga dan pilihan coklat yang dijual disini. Menurut beberapa laman web dan blog-blog yang saya baca, katanya harga coklat disini agak murah kerana tidak dikenakan cukai. Pada saya memang benar ada coklat yang harganya agak murah berbanding di pasaraya Malaysia seperti coklat berjenama Toblerone dan Merci. Tetapi jenama yang lainnya, harganya biasa sahaja, jauh lebih murah yang dijual di Langkawi!  Pilihan coklat juga tidak banyak. Selain dua jenama yang saya sebutkan tadi, jenama lain ialah Cadbury, Kit Kat, Alfredo, M&M, Bounty, Ritter Sport, Kinder Bueno dan kebanyakannya made in Malaysia! huhu. Kami kemudiannya masuk ke kedai souvenier untuk melihat-lihat dan mencari idea untuk dibeli nanti.

Bangunan berwarna coklat itulah yayasan shopping mall
Beberapa buah kedai menjual kain juga sempat kami singgah untuk membuat perbandingan harga selain survey jenis-jenis kain sutera yang ada. Seperti coklat, kain sutera disini juga tidak banyak pilihan corak dan warna. Dari segi harga, harga kain sutera memang amat murah berbanding di Malaysia. Kalau di Euro Moda, Gulatis harga bagi kain Pure Italian Silk boleh mencecah hingga Rm1,000 sepasang tetapi disini boleh didapati dengan harga 70-85% lebih murah. Bolehlah dibeli untuk dibuat kenangan, untuk memborong tidak pada saya kerana tidak banyak pilihan yang ada. Untuk jenis kain-kain lain harganya lebih kurang sahaja di Malaysia, malah pilihan kain di Malaysia jauh lebih banyak jenisnya.

Kami seterusnya ke Pasar Tamu Kianggeh yang terletak di tepi sungai tetapi mendapati tempat tersebut hanyalah sebuah pasar lama seperti pasar menjual ikan di tepi sungai, tidak ada sebarang bangunan seperti sebuah pasar, cuma gerai-gerai usang peniaga yang menjual barangan mereka. Melewati beberapa buah gerai, kami segera keluar dari pasar tersebut kerana tidak ada barangan yang ingin dibeli.

Nama kedai semuanya bertulisan jawi
Sepanjang bersiar-siar di Bandar Seri Begawan ini, satu keunikan yang dapat saya lihat ialah hampir kesemua kedai atau bangunan bertulis tulisan jawi, sama seperti di negeri Kelantan. Nama syarikat dan perkhidmatan juga agak unik kerana diterjemah ke bahasa melayu.

kedai farmasi yang namanya agak unik
Bandar ini kecil sahaja, kebanyakan bangunannya adalah bangunan lama tanpa sentuhan moden, sama seperti bandar Seremban di negeri Sembilan.

nama kedai ini juga agak kelakar bunyinya, hehe
Kami pulang ke hotel berjalan kaki untuk berehat dan sempat juga kami booking pengangkutan percuma yang disediakan oleh pihak hotel untuk ke The Mall Shopping Centre yang terletak kira-kira 15 minit menaiki kereta. Jam 7 malam, kami dihantar oleh pemandu ke The Mall dan diberi masa 2 jam untuk berjalan-jalan sementara dia menunggu kami diluar.

restoran yang cukup segala mewahnya, hehe
Kami malam malam di foodcourt the Mall, sengaja kami pilih foodcourt kerana ingin merasa tempat makan di mana rakyat tempatan menjamu selera. Kami membuat pilihan yang tepat dengan memesan makanan arab iaitu mixed grill yang ada daging kambing, daging lembu dan ayam yang rasanya lebih kena dengan selera kami yang sukakan makanan berempah dan pedas. Sempat juga saya survey beberapa buah kedai kain lagi yang ada dalam shopping mall ini dan membeli beberapa jenis coklat di supermarket di level bawah.

Jam 9 malam, kami dibawa pulang ke hotel dan melalui sebuah lagi masjid yang cantik di Brunei iaitu Masjid Sultanah Bolkiah. Memang cantik sekali pemandangannya pada waktu malam. Sampai di hotel, kami rehat dan tidur untuk aktiviti keesokan harinya.

Hari Kedua

Kami bersarapan di hotel yang menghidangkan pilihan makanan yang agak sedap, terdiri daripada pilihan makanan Jepun, Mexican, French, Western dan Melayu. Selesai sarapan, kami bersiap-siap untuk ke Kampung Ayer. Sampai di jeti, kami duduk berehat sambil melihat-lihat pemandu bot dan akhirnya membuat keputusan untuk menaiki bot seorang lelaki bertopi putih yang umurnya sudah hampir separuh abad dan perwatakannya yang sederhana. Kami mendekatinya dan bertanyakan tambang, katanya bnd15 untuk kami berdua dalam sebuah bot untuk perjalanan mengelilingi Kampung Ayer selama 30 minit.

di Jeti Kampung Ayer
Sebaik melangkah ke dalam bot, dia menegur kami dan bertanyakan adakah kami dari semenanjung, rupanya pemandu bot ini merupakan rakyat brunei dan juga memiliki kad pengenalan Malaysia. Dia dilahirkan di Sarawak kerana ibu bapanya yang warganegara Brunei pernah bekerja di Kuching. Dia kemudiannya berkahwin dengan wanita Brunei dan menetap di Brunei.

antara rumah di kampung ayer yang masih diduduki
Sementara berkenal-kenalan, kami ditunjukkan tempat Istana Nurul Iman, yang hanya dibuka kepada umum 2 kali sahaja dalam setahun, waktu-waktu lain rakyat tidak dibenarkan masuk ke dalam Istana yang terbesar di dunia itu.

masjid di kg ayer
Sambil melewati rumah-rumah di Kampung Ayer, banyak yang kami sembangkan dengan pemandu bot, kebanyakan perbualan berkisar tentang perbandingan negara Malaysia dan Brunei. Kami sangkakan rakyat Brunei hidup mewah dan senang namun sangkaan kami ternyata meleset. Menurut lelaki ini, yang kaya dan hidup mewah di Brunei ini hanyalah sultan dan menteri-menterinya. Rakyat yang lain hidup susah. Memang benar rakyat Brunei ada dibantu tetapi hanyalah rakyat yang miskin dan sakit. 

rumah penduduk brunei di kg ayer
Berbanding di Malaysia, rakyat kita mampu membeli rumah berharga RM200k, tetapi di Brunei kebanyakan rumah mereka berharga bnd50k tetapi itupun tidak ramai yang mampu membelinya. Lelaki ini juga mengakui pencen yang diterimanya dari pihak kerajaan Brunei setiap bulan hanyalah bnd250, memang tidak cukup untuk menampung hidupnya. Disebabkan itulah menurutnya walau sudah di usia emas, di harus terus mencari rezeki dengan tidak mengharapkan anaknya yang juga sudah punya keluarga.

sekolah di kg ayer
Kami terpana seketika memikirkan "masalah rakyat". Kami sangkakan orang Brunei hidup mewah dan kaya raya kerana hasil minyaknya sangat banyak dan rakyatnya tidaklah ramai, sekitar lebih kurang setengah juta penduduk sahaja, tentu sahajalah rakyatnya hidup mewah dan kaya raya. Ternyata sangkaan kami selama ini meleset, ia hanyalah sebuah kenyataan 'hearsay', realitinya rakyat negara ini kebanyakannya hidup sederhana dan susah. Hanya sebahagian kecil sahaja yang hidup mewah, yang lainnya ibarat kais pagi makan pagi sahaja. Berulang kali pemandu bot ini mengatakan betapa bertuahnya menjadi rakyat Malaysia kerana pemimpin kita sering membantu rakyatnya untuk keluar dari kemiskinan dan kesusahan. 

Kami tinggalkan pakcik itu dengan seribu bebanan dalam kepala, memikirkan tentang apa yang kami sangka berbanding dengan kenyataan yang sebenarnya. Terlalu banyak yang perlu kami 'digest' dari perbualan selama 30 minit dengan pemandu bot tersebut.

Kami kemudiannya singgah lagi di Yayasan Shopping Complex untuk membeli coklat buat sanak saudara, kemudian singgah pula di kedai souvenier membeli beberapa tanda kenangan di kedai depan waterfront kerana harganya lebih murah dan lebih banyak pilihan. Kami seterusnya singgah pula di kedai kain untuk membeli sepasang sutera Italy yang saya kira amat murah sekali harganya berbanding yang dijual di Gulatis, Euro Moda atau Jakel di Kuala Lumpur.

Restoran Mama Nasi Ayam Katok
Kami singgah makan tengahari di Restoran Mama Nasi Ayam Katok, yang terletak berdekatan dengan Pasar Tamu Kianggeh. Makanan ini agak popular di Brunei dan kami berhasrat mencuba hidangannya di sini. Hidangannya terdiri daripada nasi putih, ayam goreng dan sambal sahaja. Akhirnya saya dan suami hanya meratah ayam kerana hidangan tersebut agak kurang kena dengan selera kami. Apabila selesai makan dan membayarnya, kami terkejut kerana rupanya hidangan nasi tadi berharga bnd1 sahaja! Memang amat murah, patutlah dengan hidangan sebegitu simple, ramai yang datang singgah makan di kedai tersebut. 

Selesai makan tengahari, kami berjalan kaki pulang ke hotel untuk berehat dan solat. Sempat juga menonton sebuah DVD yang kami beli di sebuah kedai menjual cd dalam perjalanan ke Jeti Kg Ayer. Kami sangkakan DVD tersebut original, rupanya yang pirated punya. Sudahlah dijual terang-terangan di dalam kedai, patutlah harganya juga agak murah, bnd5 sahaja!

Selesai menonton, kami bersiap-siap untuk keluar makan malam. Sempat juga berjalan-jalan di sekitar kawasan masjid untuk bergambar kenangan. Kami makan malam di sebuah Restoran Pakistan berdekatan Yayasan Shopping Mall tersebut sahaja dan berjalan-jalan di gerai jualan yang telah siap didirikan untuk tujuan pertunjukan Regatta keesokan harinya. Penat bersiar-siar kami pulang berehat-rehat di lobi hotel sebelum pulang ke bilik untuk berehat dan berkemas-kemas kerana esok merupakan hari terakhir kami di Brunei.

Hidangan di sini agak menyelerakan
Hari Ketiga


Regalia Museum di bandar seri begawan
Selesai bersarapan dengan menu yang lebih kurang sama dengan pagi sebelumnya, kami memulakan tour kami pagi ini untuk ke Regalia Museum atau Muzium Koleksi Diraja Brunei yang terletak berhadapan dengan hotel penginapan kami sahaja. Tiada sebarang bayaran masuk ke muzium ini tetapi pengunjung tidak dibenarkan membawa kamera, henfon ataupun beg ketika melihat2 koleksi diraja ini. Pengunjung juga dikehendaki menanggalkan kasut di luar muzium dan memakai kasut khas apabila berjalan-jalan di dalam muzium.

Kamera hanya dibenarkan untuk koleksi di lobi muzium sahaja
Terdapat banyak koleksi diraja yang disimpan disini termasuk pemberian dan hadiah dari pelbagai negara. Koleksi yang paling menarik minat kami sudah tentulah hadiah dari pemimpin negara Malaysia juga pemberian dari sultan dan raja-raja dari Malaysia kepada Sultan Brunei.

Koleksi semasa adat pertabalan sultan
Selesai melihat koleksi di raja, kami berjalan kaki ke Jetty Kampung Ayer melihat Regatta atau Perlumbaan Perahu atau Kapal Layar. Begitu ramai rakyat Brunei yang turun melihat pertandingan tersebut yang julung-julung kali diadakan. Agak bosan dan panas di bawah khemah penonton, kami masuk ke Galeri Kesenian melihat pameran koleksi manik dari Borneo dan koleksi dari negara yang dijemput khas iaitu China.

Regata Brunei 2014
Jam 12 tengahari kami pulang semula ke hotel untuk bersiap-siap untuk check out dan ke airport. Kami telahpun menempah teksi untuk membawa kami ke airport pada jam 2 petang. Selesai mandi dan solat, kami check out dan terus ke airport. Sempat juga pemandu teksi berbual dengan kami sepanjang perjalanan tersebut. 

Pameran manik borneo di Galeri seni
Katanya minggu hadapan dia akan ke Kuala Lumpur membawa keluarganya berjalan-jalan. Dia menceritakan yang dahulunya dia bekerja dengan pihak kerajaan sebagai pegawai forensik, setelah berkali-kali dijanjikan kenaikan pangkat oleh pihak atasan tetapi janji hanya tinggal janji, dia terus meminta pencen awal kerana kecewa dengan pihak atasan yang tidak menghargai kerjanya. Dia meninggalkan kerjayanya sebagai pegawai forensik dan beroleh pencen sebanyak bnd750 dan bekerja sendiri membawa teksi walaupun usianya baru menjangkau lewat 40-an. Ceritanya hampir bernada sama dengan pemandu bot Kampung Ayer yang kami temui, iaitu nada seorang yang KECEWA.

antara koleksi manik di galeri seni
Sekali lagi, kami renungi nasib rakyat Brunei dan rakyat Malaysia dan berasa bertuah dilahirkan di negara ini. Benar kata orang, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, biarlah elok di negara sendiri. Bermusafir di negara orang banyak mengajar kami erti syukur, syukur dengan kurniaan rezeki dan nikmat yang Allah berikan.

Tengahari tersebut, kami singgah makan di Royal Brunei Restaurant di airport sementara menunggu kaunter check in yang ditutup waktu lunch hour, sesuatu yang agak asing bagi saya di sebuah lapangan terbang antarabangsa. Selesai urusan luggage dan imigresen, kami menunggu ketibaan flight dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur. Brunei kami tinggalkan dengan 1001 cerita, suka dan duka yang akan tersemat dalam ingatan sampai bila-bila.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...