Friday, May 10, 2013

Hadiah Hari Lahir

Salam sahabat semua, saya percaya semua di antara kita pernah mendapat hadiah hari lahir. Tidak kiralah hadiah tersebut dari sekecil-kecil alatulis hinggalah kepada barang-barang mewah yang lain. Tidak kiralah juga hadiah tersebut daripada kawan, ibubapa, saudara mara, mahupun daripada suami atau isteri masing-masing...

Antara kad ucapan hari lahir dari suami
Saya masih ingat zaman sekolah rendah dulu, kawan sekelas saya menghadiahkan saya pemadam pada hari lahir saya. Ketika itu, hadiah pemadam dianggap kanak-kanak sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana mungkin dia sudah jemu melihat saya meminjam pemadamnya! Maklum sajalah kanak-kanak. Alatulis memang sentiasa sahaja tidak cukup atau hilang lalu kawan yang duduk sebelah di kelas lah yang selalu menjadi mangsa pinjaman. hehehe...

Zaman persekolahan dulu, saya juga pernah dengan tidak malunya meminta hadiah harijadi daripada ibu dan bapa saya iaitu sebuah kamera. Walaupun agak lambat mendapat hadiah tersebut iaitu di harijadi yang ke-15 tahun, namun saya amat seronok sekali memilikinya. Saya yang amat gemar bergambar dan mengambil gambar memang teringin untuk mempunyai kamera sendiri pada ketika itu.

antara kad ucapan hari lahir daripada sahabat
Banyak antara hadiah hari jadi yang diberikan oleh kawan-kawan masih saya simpan elok sampai hari ini. Malah kad ucapan hari jadi juga masih saya simpan rapi dalam sebuah kotak untuk kenang-kenangan. Saya masih simpan dan guna sebuah mug yang dihadiahkan oleh sahabat saya Norazlina pada tahun 1997. Bayangkanlah mug tersebut masih elok dan masih saya guna hingga sekarang walaupun sudah beberapa kali juga terjatuh.

Mug yang dihadiahkan pada tahun 1997
Tahun yang sama juga, abah menghadiahkan saya sebuah buku autograph di hari lahir saya. Menurut abah, saya gemar menulis, jadi hadiah buku amat sesuai untuk anaknya ini. Masa itu saya rasa agak sedih juga sebab kakak saya mendapat hadiah hari lahir yang lebih mahal daripada saya iaitu sebuah pen jenama Sheaffer. hehehe.. Tapi abah memujuk saya. Katanya bila saya sudah sedikit dewasa, abah akan membelikan sesuatu yang lagi bagus daripada pen. huhu...

Buku autograph hadiah daripada abah
Menginjak sedikit dewasa dan memasuki alam universiti, saya sudah tahu malu untuk tidak meminta hadiah daripada abah dan mama. Setiap kali hari lahir, cukup sekadar memotong kek sahaja dan sesekali belanja keluarga makan di luar. Bila anak-anak sudah dewasa, maka tugas anaklah pula yang membelikan hadiah buat hari lahir ibu dan bapa mereka. Seronok sesekali dapat menggembirakan ibu dan bapa kita dengan sedikit hadiah di hari istimewa mereka. Senyuman yang terukir di wajah mereka itulah yang paling manis untuk dikenang walaupun pemberian tersebut hanyalah seutas jam tangan atau sehelai baju sahaja.

hari lahir yang biasanya kami sambut sekali dengan hari ibu
Jika ditanya hadiah apakah yang paling bermakna yang pernah dihadiahkan oleh suami kepada saya, tentu sahaja jawapan saya ialah seutas jam tangan. Harganya tidaklah sampai beribu-ribu lemon, tetapi kenangan memilikinya itulah yang paling indah. Walaupun jam tersebut pernah hampir rosak kerana kealpaan saya membawanya bersama mandi di kolam, mujurlah ianya dapat diselamatkan dan masih berfungsi sehingga kini.

Bagi saya, hadiah apapun yang kita dapat, sesiapa pun yang memberinya, yang paling penting ialah ingatan si pemberi pada kita tentang hari istimewa tersebut. Kata orang putih, it's the thought that counts. 

6 comments:

  1. Memang seronok kalau harijadi disambut apatahlagi jika bersama keluarga dan orang tercinta.. Hadiah tu tak seberapa yang penting ingatan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yela btul tu, menyambut hari lahir mmg seronok bersama keluarga, kawan2 dan orang tersayang.. Rasulullah SAW sendiri menggalakkan kita menggembirakan pasangan kita pd hari-hari istimewa spt hari lahir dsb. :-)

      Delete
  2. Birthday is a milestone in a journey of life, time to look back and to look forward, and enjoy the thoughts of the loved one, family, and friends..ye betul, hadiah ialah manifestasi ingatan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. yes, agree. a birthday is just the first day of another 365 days journey. Lets enjoy the ride. hehe.. hadiah juga selain manifestasi ingatan, ia juga manifestasi sayang dan cinta. huhu..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...