Thursday, April 18, 2013

Percutian Musim Salji di Beijing dan Shanghai Part 3

Sambungan dari Part 1 dan Part 2

Hari Kelima

Selesai sarapan, kami memulakan lawatan pertama kami di Shanghai dengan mengunjungi Muzium Shanghai. Cuaca pagi itu agak sejuk tapi tidaklah sesejuk seperti di Beijing. Di Shanghai, kami masih perlu memakai baju sehingga 4 lapis, bezanya di sini sudah tidak bersalji.

Muzium Shanghai 
Dalam perjalanan ke muzium, kami melewati bangunan Theater Hall dan City Hall yang kebanyakan bangunan di Shanghai ini semuanya unik dan moden.

Bangunan muzium yang unik dari luar
Hujan yang turun renyai-renyai tidak memutuskan semangat kami untuk mengenali bandar moden ini dengan lebih lanjut.

Terdapat pelbagai galeri di dalam muzium
Sebelum masuk ke muzium, terdapat security check point. Air botol yang dibawa masuk ke dalam muzium diarahkan untuk diminum sedikit oleh pihak keselamatan bagi memastikan bahawa air tersebut ialah air minuman, bukan bahan letupan cecair. Begitu sekali tahap keselamatan di sini, walaupun yang dimasuki hanya sebuah muzium! Kemasukan pelancong ke muzium ini juga hanya terhad kepada 8000 pengunjung sahaja sehari.

Salah satu koleksi syiling dari zaman Umayyah
Di Muzium Shanghai ini terdapat koleksi pelbagai jenis barangan sejak zaman penjajahan oleh beberapa pihak seperti Perancis, Jepun dan Amerika Syarikat. Pameran yang paling menarik minat kami ialah koleksi syiling pada zaman laluan sutera dan beberapa lagi koleksi lain.

The Bund, Shanghai
Kemudian, kami dibawa melawat The Bund dan bergambar sakan disini berlatar belakangkan bangunan-bangunan moden. Setiap daripada kami tidak melepaskan peluang bergambar walaupun dalam keadaan sejuk dan hujan yang semakin lebat. Selesai bergambar, kami terus ke kedai di bawah dataran iaitu Pearl and Jade Centre. Di sini, kami sekali lagi diberi penerangan bagaimana proses mutiara terjadi dan beza mutiara yang diternak di air tawar dan air masin.

Pearl and Jade Center
Menariknya di sini, kami diberi peluang melihat mutiara yang masih dalam cengkerangnya dan bagaimana ia diproses menjadi barangan perhiasan untuk kaum wanita. Ada pelbagai jenis, warna dan bentuk mutiara yang dapat kami lihat disini. Yang paling mahal ialah black pearl, spesis yang jarang-jarang ditemui. Mutiara mengambil masa 7 tahun untuk matang sepenuhnya dan yang paling matang itulah yang paling mahal harganya.

Proses mengeluarkan mutiara dari cengkerangnya
Selesai penerangannya, kami ditawarkan untuk membeli barangan perhiasan disini dengan harga yang agak berpatutan. Apa lagi, setiap dari kami semuanya tidak melepaskan peluang membeli untuk diri masing-masing buat kenang-kenangan beli belah di Shanghai.

Pelbagai koleksi mutiara yang dijual disini
Kemudian, kami singgah makan tengahari di sebuah restoran muslim di Shanghai. Lauknya boleh dikatakan semuanya pedas-pedas kerana masak menggunakan cili kering yang dipotong namun masakan memang sangat sedap. Kami memuji-muji layanan dan makanan disini yang memang sangat bagus sekali.

Salah satu restoran muslim yang kami singgah di Shanghai
Selesai makan, kami singgah membeli buah-buahan seperti buah strawberi yang besar-besar, buah epal besar dan sedikit limau mandarin dengan harga kesemuanya berjumlah 50yuan.

Kedai buah yang menjual durian made in Malaysia
Masa sudah menginjak ke waktu zohor, kami singgah di Masjid Fuyou untuk solat jamak sebelum ke Old Town Shanghai untuk membeli belah. Di Masjid ini juga, kami terpaksa mengambil wudhuk menggunakan air yang teramat sejuk, memang tahap beku kami dibuatnya. hehe..

Masjid Fuyou, Shanghai
Selesai solat, kami berjalan kaki beramai-ramai memasuki Old Town Shanghai. Disini terdapat banyak kedai menjual pelbagai barangan dan kami diberi masa lebih kurang 2 jam untuk membeli belah.

Kedai-kedai di Old Town Shanghai
Bagi yang membeli belah disini, memang perlu shop around dulu untuk mendapatkan harga terbaik. Untuk kedai yang kecil masih boleh tawar menawar tetapi di kedai yang besar, harganya sudah fixed dan sudah tidak boleh tawar menawar.

Old Town Shanghai
Untuk tawar menawar, perlu tawar dengan harga yang kita rasa reasonable dengan barang tersebut. Banyak juga hasil beli belah kami disini buat ole-ole pulang ke Malaysia kerana harganya memang agak murah dan berpatutan.

Ukiran nama pada pendant
Selain membeli tshirt, baju ceogsam, cap, magnetic fridge, dan pelbagai barang souvenier yang lain, kami sempat juga membeli frame yang ditulis nama kami dalam bahasa cina dan juga cop nama kami dalam bahasa mereka. Sesuatu yang unik bagi kami untuk dibawa pulang nanti.

Pelbagai pilihan untuk membuat cop nama
Masa 2 jam yang diberi memang cepat sahaja berlalu, kami harus terus ke destinasi seterusnya untuk menaiki River Cruise Hangpu River. Tiket bagi seorang dewasa ialah 100yuan dan mengambil masa kira-kira sejam mengelilingi sungai dan melewati panorama indah kota Shanghai di waktu malam dengan lampu yang berwarna warni.

Kaunter tiket river cruise
Memang amat menakjubkan pemandangan waktu malam di kotaraya ini. Walaupun dengan cuaca yang sejuk di luar, kami naik ke atas deck kapal untuk bergambar sakan.

Inilah kapal yang kami naiki untuk aktiviti river cruise
Puas bergambar, kami duduk di deck kapal tersebut sambil menikmati keindahan suasananya yang agak romantis dan mendamaikan.

Pemandangan kotaraya Shanghai yang amat cantik pada waktu malam
Setelah hampir sejam, kapal berlabuh dan kami terus ke restoran muslim berdekatan hotel untuk makan malam. Lauk di restoran ini juga menyajikan makanan yang agak kena dengan selera kami.

Pelayan restoran muslim disini 
Walaupun agak kepenatan dengan aktiviti untuk hari ini, lauk pauk yang disajikan berjaya dihabiskan oleh kumpulan kami. hehehe..

Pinggan mangkuk di kebanyakan restoran muslim di Shanghai mempunyai tanda halal

Selesai makan malam, kami pulang ke hotel untuk berehat dan menyambung aktiviti terakhir keesokan harinya pula.

Hari Keenam

Selesai sarapan pagi yang tidak banyak pilihannya, kami ke destinasi pertama pagi itu iaitu ke Tea House. Di sini, kami diberi penerangan dan diajar cara-cara meminum teh dan juga mengenali budaya orang China yang memang amat sinonim dengan teh.

Tea House, Shanghai
Terdapat pelbagai jenis teh yang dijual disini antaranya teh bittersweet yang dijual dengan harga 150yuan untuk botol kecil dan 300yuan untuk botol besar. Kami tidak membeli teh yang dijualnya kerana kurang gemar meminum teh.

Daun teh yang disusun meninggi
Kemudian, kami ke tempat membeli belah yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli rombongan kami iaitu ke Han Market atau juga dipanggil Fake Market oleh pemandu pelancong kami berikutan barang-barang disini adalah ASPAL iaitu Asli Tapi Palsu. Barangan disini memang branded tetapi dijual dengan harga yang teramat murah, yang biasa kita panggil barangan Made in China. hehe.. Kami diberi masa 2 jam disini, namun kedai yang banyak disini membuatkan kami leka hingga masa yang diberikan memang tidak mencukupi.

Barangan yang dijual di kedai disini boleh ditawar hingga 70% dan kalau berani cuba minta hingga 90%. huhuhu.. Ada antara ahli rombongan kami memborong kasut, luggage, jaket dan pelbagai barangan lain. Saya dan suami hanya membeli beberapa barangan souvenier bagi mencukupkan apa-apa yang belum berkesempatan dibeli.

Restoran masakan muslim
Leka membeli belah, masa sudahpun menginjak ke tengahari. Perut sudah mulai lapar lalu kami singgah makan tengahari di restoran muslim yang sama seperti semalam. Kemudian, kami ke Masjid Xiao untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar. Masjid di sini agak moden dan cantik.

Masjid Xiao, Shanghai
Di perkarangan masjid terdapat sebuah kedai menjual set pinggan mangkuk bone china yang tertulis kaligrafi islam, dan kami sempat membeli 2 set tersebut bagi membantu sesama Islam yang bersaudara. Rakan serombongan kami yang lain turut memborong set cawan dan pinggan yang dijualnya sehingga habis licin kesemuanya. Seronok sekali wanita penjual itu kerana sekelip mata barangannya habis dijual.

Maklumat berkenaan Masjid Xiao
Selesai solat, kami ke Nanjing Road. Disini merupakan satu jalan yang menempatkan pelbagai gedung beli besar yang ternama, sebagaimana Malaysia mempunyai Jalan Bukit Bintang.

Salah satu pemandangan di underground Nanjing Road
Kami sekadar berjalan-jalan sekitarnya untuk menjamu mata dan tidak membeli apa-apa. Kemudian, kami makan malam di tempat yang sama seperti waktu tengahari itu.

Shanghai in old days
Semasa makan malam, terdapat beberapa permintaan daripada ahli rombongan kami yang belum puas membeli belah. Kesempatan yang ada hanyalah pada malam itu sahaja berikutan esok akan pulang ke Malaysia.

Underground Shanghai
Setelah perbincangan dibuat, akhirnya 10 orang dari kami bersetuju untuk pergi sendiri ke Han Market dan pulang menaiki teksi ke hotel. Saya dan suami termasuk dalam 10 orang tersebut, dan turut serta ialah ketua rombongan dan juga tour guide kami bagi menjaga keselamatan kami.

Wanita ini melukis menggunakan tapak tangannya sahaja.
Kunjungan kami kali kedua ke Han Market, kami tidak melepaskan peluang menghabiskan baki wang yuan kami di sini. Banyak juga yang diborong termasuklah winter boot dan kasut yang memang sangat murah dan berkualiti, barangan elektronik, beg, alat permainan, lukisan dan pelbagai lagi. Kami yang pada mulanya teragak-agak ingin turut serta dalam rombongan shopping last minute ini merupakan orang terakhir yang naik teksi pulang ke hotel bersama tour guide kami, Mr Joe. hehe..

antara koleksi winter boot yang dijual disini
Masing-masing berpuas hati dengan shopping yang dibuat malam itu. Sampai di hotel, kami membayar harga teksi yang dinaiki tiga orang sebanyak 18yuan. Naik ke bilik hotel, kami mempunyai tugas yang lain pula iaitu packing segala hasil shopping kami kerana pagi esoknya kami perlu check out jam 7 pagi untuk ke airport.

Hari Ketujuh

Hari terakhir kami di Shanghai dan juga di China, kami check out seawal jam 7 pagi dan selesai bersarapan, kami terus ke Lapangan Terbang Shanghai yang mengambil masa kira-kira sejam ke sana. Sampai di airport, setelah bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada tour guide kami, kami segera ke kaunter check in untuk urusan daftar masuk.

Holiday Inn Shanghai, penginapan kami selama 4 hari di sini
Jam 11 pagi, flight kami berlepas ke Hong Kong dan seterusnya ke Kuala Lumpur. Masing-masing kelihatan seronok dan puas hati dengan percutian kali ini. Ada juga suara-suara yang sudah rindukan roti canai, teh tarik, gulai ketam dan pelbagai lagi masakan Malaysia tatkala kapal terbang mendarat dengan selamatnya di KLIA.

Di Shanghai Pudong International Airport
Syukur Alhamdulillah, percutian kali ini memang sangat-sangat menyeronokkan. Banyak pengalaman baru yang saya dan suami lalui sepanjang percutian kami di Beijing dan Shanghai. Bukan sahaja kami dapat belajar tentang kehidupan masyarakat China tetapi juga dapat menambah kenalan baru yang mengikuti rombongan ini. Selain keseronokan membeli belah dengan harga yang amat murah juga, pengalaman memanjat tembok besar China dan pertama kali bermain salji juga sesuatu yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Mudah-mudahan di masa akan datang, kami berkesempatan pula melawat Guangzhou, Guilin dan beberapa daerah lain lagi di negara China ini, Insya Allah...

12 comments:

  1. Very enlightening, especially on the facilities for Muslim travellers to China...semoga dengan pertambahan pelancong Islam ke sana permintaan terhadap restoran halal dan kemudahan lain akan turut meningkat lantas mempercepat perkembangan Islam di sana... Tq for the posting..

    ReplyDelete
  2. Seronoknyer dari gaya bercerita, masjid pun senang, kemudahan2 makanan halal utk org islam pun seperti mudah didapati, jadi takde masalah sangat klu org islam nak melancong ke sana.. Bilalah sampai masa kami pulak ye,hu3

    ReplyDelete
    Replies
    1. insya Allah ada rezeki nnti giliran awk lak sampai sana huhu

      Delete
  3. Replies
    1. tq jugak adawiyyah sudi singgah sini, =)

      Delete
  4. Replies
    1. Tq atas sokongan dan dorongan. 😊

      Delete
  5. Akak. Tak tau nk tegur ke nak tnya. Hihi. Tapi ibu ayah sy tggal di Beijing. Setahu kami. Bone china ni cmpuran yg ada tulang khinzir. Tpi xtau la kenapa boleh ada tulisan arab etc.

    ReplyDelete
  6. Akak. Tak tau nk tegur ke nak tnya. Hihi. Tapi ibu ayah sy tggal di Beijing. Setahu kami. Bone china ni cmpuran yg ada tulang khinzir. Tpi xtau la kenapa boleh ada tulisan arab etc.

    ReplyDelete
  7. Akak. Tak tau nk tegur ke nak tnya. Hihi. Tapi ibu ayah sy tggal di Beijing. Setahu kami. Bone china ni cmpuran yg ada tulang khinzir. Tpi xtau la kenapa boleh ada tulisan arab etc.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aliena, tq sudi tegur n tanya.akak pn sedia maklum ttg hukum bone china tu.refer kt majlis fatwa kebangsaan. Yg akak beli di masjid shanghai ni rsnya bkn bone china pn cuma seramik yg tulis kaligrafi islam.ada cop halal oleh majlis agama shanghai dibawahnya.btw tq sudi singgah dan baca blog akak. 😊

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...