Friday, March 15, 2013

Percutian Musim Salji di Beijing dan Shanghai Part 2

Hari Ketiga

Selepas bersarapan pagi, tepat jam 7.40 pagi kami bertolak ke Great Wall yang mengambil masa kira-kira 2 jam sekiranya jalan tidak sesak. Dalam perjalanan ke sana, kami singgah di Jade Centre atau Muzium Jade. Kami diberikan sedikit taklimat mengenai pelbagai jenis batu jade yang dijual disini, cara memakainya dan cara mengenali batu jade antara yang asli dengan tiruan.

Seorang wanita sedang mengukir batu jade
Batu jade yang dijual disini adalah semurah 100yuan tetapi ia hanyalah sebiji pendant yang amat kecil. Bagi saya, harganya agak mahal dan kami tidak membelinya lantaran kurang berminat.

Antara batu jade yang dijual
Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Great Wall dan Johan iaitu tour guide kami ada memberi kami sample makanan dari China yang terdiri daripada kekacang, gula-gula dan pelbagai lagi. Johan mengatakan dia ingin membantu kawannya menjual kalau-kalau kami mahu membelinya. Ianya dijual 10yuan sepeket, saya dan suami menempah sebanyak 15 paket buat ole-ole pada keluarga di Malaysia.

Dalam perjalanan, kami singgah pula di Bafouling iaitu tempat menjual pelbagai jenis ubat termasuk satu jenis ubat yang agak popular iaitu Burning Cream. Di sini, kami dikehendaki duduk dalam sebuah bilik untuk mendengar ceramah mengenai kesihatan dan pelbagai jenis ubat-ubatan yang dijual.

Kedai yang menjual Burning Cream dan pelbagai lagi ubat
Kami juga ditunjukkan demo tentang tangan yang melecur dan disapu segera dengan Burning Cream tersebut. Memang tidak ada parut yang tertinggal, walaupun saya dan suami agak skeptikal dengan demo tersebut. Kami diberikan koyok percuma sebanyak 2 keping seorang sebagai hadiah kenang-kenangan.

Dua keping koyok percuma dan penerangan ubat dalam bahasa indonesia
Waktu sudah menginjak tengahari dan kami singgah makan di salah sebuah restoran muslim di sini. Lauk yang dihidangkan agak sedap. Di sini juga ada disediakan kemudahan surau dan kami berkesempatan menunaikan solat di sini. Di tingkat bawah restoran ada sebuah kedai souvenier, walaupun kami sudah diingatkan awal-awal agar tidak singgah membeli belah namun kami sempat juga membeli sedikit cenderahati disini. hehe..

antara souvenier yang dijual disini
Kemudian, kami terus ke Tembok Besar China melalui pintu masuk JuYong dan diberi masa sejam sahaja disini. Saya dan suami berkesempatan memanjat tembok sehingga ke Menara Kedua dan bergambar dari atas sana.
Salah satu pintu masuk ke Great Wall of China
Pemandangannya memang amat menakjubkan dan saya bagaikan tidak percaya apabila sampai disini dan menyaksikan salah sebuah keajaiban dunia.

Tangga yang agak curam, licin dan berais
Disebabkan lantai dan tangganya yang licin dan berais kami tidak berani meneruskan pendakian ke atas lagi. Kami hanya bergambar dan menikmati keindahan tempat tersebut.

Pemandangan Tembok Besar China dari kejauhan
Disini juga pengunjung yang ingin 'mengunci cinta' mereka bolehlah meletak mangga atau padlock dan buang kuncinya ke bawah tembok. Kononnya, dengan cara tersebut cinta itu akan kekal abadi dan tidak dapat dipisahkan. Harga sebiji mangga yang dijual disini ialah 80yuan.

padlock yang digantung disini kononnya sebagai tanda cinta
Selain meletak mangga yang terukir nama anda dan pasangan, terdapat juga pengunjung yang mengukir namanya di atas tembok tersebut bagi mengabadikan nama mereka disana.

Menara Kedua Tembok Besar China
Selesai menikmati keindahan Tembok Besar China, kami bertolak ke Ski Resort untuk bermain ski. Ini adalah optional bagi yang ke Beijing pada musim sejuk. Entrance fee untuk bermain ski adalah sebanyak 160yuan dan bagi yang ingin masuk ke dalam resort sahaja untuk bergambar dikenakan bayaran sebanyak 40yuan bagi seorang dewasa.

pakaian untuk bermain ski
Kemudian, untuk bermain ski perlu pula menyewa pakaian seperti kasut, baju, seluar dan alatan ski yang kesemuanya berjumlah 40yuan seorang. Disini juga ada disediakan loker bagi menyimpan barangan berharga dan harga sewaannya adalah 20yuan untuk sebiji loker.

kasut ski atau ski boot yang disewa disini
Pengalaman pertama kali bermain ski adalah pengalaman yang amat menyeronokkan. Pada mulanya, agak sukar mengenakan pakaiannya terutamanya kasut. Apabila berjalan menggunakan kasutnya terasa seperti robot yang berjalan, memang agak sukar membiasakan diri berjalan menggunakan kasut ski. Kemudian, apabila keluar ke lapangan ski, kami diberi peralatan ski dan mula membiasakan diri berjalan di atas papan ski tersebut. Memang amat susah bagi kami yang pertama kali mencuba bermain ski sehinggakan saya jatuh terlentang, sakitnya bahagian belakang memang amat terasa!

Seronoknya bermain ski
Mujurlah ada teman serombongan saya yang berpengalaman bermain ski di Korea Selatan membantu saya dengan memimpin dan mengajar saya berjalan dengan cara mengangkat papan ski tersebut., berhenti dan cara mengawal pergerakan menggunakan kayu ski. Terjerit-jerit kami dibuatnya kerana takut terjatuh lagi. Hehehe.. Akhirnya berjaya juga kami merasa menggelungsur dan berhenti diatas ais tersebut walaupun tidak berkesempatan bermain ski dalam tempoh yang lama.

Hari yang sudah mulai petang di Ski Resort
Jam sudahpun berinjak ke 5.30 petang dan kami tidak punya masa yang banyak untuk meneruskan aktiviti tersebut kerana waktu sudahpun hampir maghrib. Walaupun agak terkilan dek masa yang mencemburui, namun kami amat seronok dengan pengalaman pertama bermain ski kerana dengan pengalaman itulah yang akan membawa kita mencubanya lagi di masa akan datang.

Selesai menukar pakaian, kami ke destinasi seterusnya iaitu ke restoran makanan halal untuk menikmati makan malam kami. Perut sudah mulai lapar dan kami juga agak kepenatan dek seharian memanjat tembok besar china dan bermain ski. Malam ini juga kami harus berkemas untuk check out awal pagi keesokan harinya dan kemudiannya akan ke Shanghai pula pada waktu petangnya.

Hari Keempat

Selesai bersarapan pagi dengan menu yang sama untuk hari ketiga iaitu roti bakar dan buah-buahan, kami check out dan meneruskan aktiviti seterusnya untuk hari terakhir kami di Beijing. Destinasi kami pagi ini ialah ke Jewellery Centre yang terletak berdekatan Bird Nest Stadium. Menurut tour guide kami, kedai ini adalah milik saudara mara yang ada kaitan dengan Goh Tong, pemilik resort di Genting Highlands.

Jewellery Centre berdekatan Stadium Olimpik Beijing
Di sini kami sekali lagi diberi ceramah mengenai pelbagai jenis batu permata terutama sekali batu Jade dan Mutiara. Selesai mendengar ceramah yang lebih kurang sama dengan apa yang telah kami dengar sebelumnya di kedai semalam, kami diberi buah tangan setiap seorang iaitu loket jade dan harus berjanji tidak akan memberikannya kepada orang lain mahupun menjualnya.

Loket Jade yang dihadiahkan pada kami
Di luar kedai ini terdapat orang menjual pelbagai jenis souvenier. Saya sempat membeli tshit dan magnetic fridge di sini kerana harga yang ditawarkan memang paling murah berbanding di tempat lain. Leka memilih souvenier, kami tidak sempat ke Stadium Olimpik Beijing, hanya sekadar meilhatnya dan mengambil gambar dari jauh sahaja dek kekangan masa.

Bird Nest Stadium di Beijing
Disebabkan kesuntukan masa jugalah, kami semua bersetuju untuk tidak ke Summer Palace pada hari ini. Walaupun agak terkilan, namun memikirkan kami belum berkesempatan membeli belah lagi disini, semua yang mengikuti rombongan bersetuju untuk menghabiskan masa yang ada untuk pergi ke dua tempat membeli belah di Beijing.

Pintu masuk Silk Street Shopping Complex
Tempat pertama yang kami kunjungi ialah Silk Street Shopping Complex. Di sini kami hanya berkesempatan membeli sedikit cenderahati dan beberapa helai tshirt lagi buat ahli keluarga. Membeli belah disini memang memerlukan tahap kesabaran yang tinggi kerana anda perlu membuang masa dengan tawar menawar yang berpanjangan hingga mendapat harga yang dikehendaki. Pada kebanyakan penjual, tawar menawar itu adalah seni dan mereka seronok dengan keadaan tersebut. Bagi yang ingin mengambil jalan mudah, belilah di tempat rakan kita membeli belah, pasti kita akan dapat harga yang sama dan menjimatkan masa untuk tawar menawar lagi!

antara pakaian yang dijual disini
Selesai membeli belah, kami singgah makan tengahari di sebuah restoran muslim dan terus menunaikan solat di situ sahaja bagi menjimatkan masa. Sekali lagi, kami terlepas peluang ke Masjid Nuijie, iaitu masjid tertua di China. Masa yang ada adalah lebih kurang 45minit lagi dan kami harus segera ke stesen keretapi untuk ke Shanghai. Dengan masa yang berbaki kurang sejam, kami singgah di tempat membeli belah yang kedua iaitu di Hang Qiao Market.

Di pintu masuk Hang Qiao Market, Beijing
Disini juga kami sempat memborong di sebuah kedai yang terletak di Level 1 bersebelahan escalator kerana salegirl tersebut amat peramah dan tidak kedekut memberikan harga yang kami minta. Harga yang diberikan memang agak murah berbanding di kedai lain yang telahpun kami survey harganya. Disebabkan itu, kami memborong tissue cover, table runner, cushion cover dan beberapa barangan lain. Sebagai tanda terima kasih kerana memudahkan pembelian kami, kami menghadiahkan duit RM5 yang baru kepadanya untuk dijadikan cenderahati dan kenang-kenangan.

Salegirl yang peramah dan mesra
Setelah masing-masing berkumpul di bas, kami terus bertolak ke stesen keretapi untuk menaiki Bullet Train ke Shanghai. Tiket yang ditempah adalah bagi kelas pertama yang berharga 900yuan atau Rm450 seorang bagi perjalanan sehala.

Dalam Bullet Train ke Shanghai
Tempat duduknya agak luas dan selesa lengkap dengan kemudahan power point, air panas dengan cawan kertas, ruang kaki yang luas, ruang meletak luggage dan pelbagai kemudahan lagi. Tren ke Shanghai mengambil masa kira-kira 5 jam dengan purata kelajuan 305 km/h.

Kelajuan tren
Makanan snek juga disediakan percuma bagi penumpang kelas pertama dengan pilihan air teh, orange juice atau air mineral dan sekotak biskut. Dalam tren juga ada dijual kopi atau teh yang dijual dengan harga 15yuan secawan.

Snek percuma untuk penumpang kelas pertama Bullet Train
Bagi yang berkesempatan menaiki tren ini nanti, bolehlah membawa bekalan seperti Milo 3 in 1, kopi atau teh sendiri dan juga maggi in a cup kerana kemudahan air panas boleh didapati dalam tren ini dengan percuma. Perjalanan yang lama juga memungkinkan untuk kita berasa lapar dan snek seperti biskut, roti atau maggi amat penting untuk dibawa.

Kemudahan air panas dalam tren
Kami sampai di Stesen Keretapi Shanghai jam 11 malam dan dijemput oleh Mr Joe yang akan menjadi pemandu pelancong kami sepanjang 3 hari di Shanghai. Kami dibawa menaiki bas ke Hotel Holiday Inn Express dan selesai check in kami berehat sepuasnya untuk aktiviti keesokan harinya pula.

Stesen Keretapi Shanghai

>>>bersambung di Part 3

12 comments:

  1. interesting...kalau tak silap kakitangan jade muzeum biasanya akan ajar cara menguji jade asli dan tiruan untuk menarik perhatian pelawat supaya membeli sebutir dua..

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu.tq.a'ah yela.tq for the info...

      Delete
  2. wahhh, menarik infonyer dan cara penceritaan seolah-olah membawa pembaca ke sana juga.. jade memang batu yang paling disukai org china dan mereka mempunyai kepercayaan khas mengenai batu jade tu kan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'ah org china mmg suka sangat dgn jade, mgikut kepercayaan dorg ianya membawa tuah. btw, tq for your comment. nantikan sambungannya di part 3 plak.hehe..

      Delete
    2. ada part 3 lagi rupanya.. yerlaa, seminggu disana, mesti byk yg nak diceritakan ye.. huhu..

      Delete
    3. a'ah part 3 tu yg last skali. part 1 ngan part 2 baru citer pengalaman di beijing. kat shanghai belum cover lagi.hehe..panjang betul karangan ni...

      Delete
  3. assalam,selamat berjumpa kembali....Lawatan anda berdua ke negeri China di ibaratkan Jauh Perjalanan Banyak Pengalaman. Tahniah buat anda. Rupanya ada banyak lagi yang belum di ceritakan tentu ada lagi cerita-cerita menarik yang dapat di kongsi bersama...dan akan menunggu epilog seterusnya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalam, a'ah part 3 tu akan diceritakan ttg pengalaman di shanghai pulak. apapun, tq sbb sudi baca dan komen. hehe..

      Delete
  4. wah membacanya..seolah2 sedang mengembara ke sana...tak sabar menunggu part 3..

    ReplyDelete
    Replies
    1. huhu terima kasih krn sudi membacanya..

      Delete
  5. Replies
    1. tq sudi baca dan follow blog ni. ;-)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...