Thursday, February 28, 2013

Percutian Musim Salji di Beijing dan Shanghai Part 1

Assalamualaikum sahabat dan pembaca semua,
sudah hampir 2 bulan lebih saya dan suami pulang dari percutian di negara tembok besar China namun baru berkesempatan menulis dan berkongsi pengalaman di ruangan ini. Percutian kali ini memang sangat-sangat dinantikan oleh kami terutamanya saya yang pertama kali ingin merasai percutian di musim salji.

Alhamdulilah, kunjungan kami kali ini memungkinkan kami bermain salji dan juga pertama kali bermain ski di sana. Negara China menjadi destinasi pilihan kerana saya amat-amat teringin melihat dan mendaki salah satu keajaiban dunia iaitu Tembok Besar China.

Beijing-Shanghai 7 hari 6 malam
Berbeza dengan percutian kami sebelum ini, kali ini kami mengikuti pakej berkumpulan dari Poto Travel & Tours yang diadakan pada musim salji di akhir bulan Disember 2012.

Hari Pertama

Group kami disertai oleh seramai 22 orang termasuk seorang tour leader, menaiki flight ke Hong Kong dan seterusnya ke Beijing. Flight Cathay Pacific ke Hongkong jam 1.45petang mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sampai sahaja di Hongkong, kami harus terus ke pintu berlepas untuk menaiki flight ke Beijing. Perjalanan mencari pintu berlepas di airport juga mengambil masa kira-kira 25minit kerana airport hongkong yang memang agak luas. Dalam flight menuju ke Beijing, hidangannya agak sedap dan kami dijamu dengan aiskrim Haagen Daaz. Dalam cuaca yang sejuk, menikmati aiskrim yang sedap memang tidak terasa kesejukannya. huhu

Kami selamat mendarat di lapangan terbang Beijing jam 10 malam dan keadaan di luar airport, masya Allah memang sangat sejuk! Menurut tour agent yang dilantik oleh pihak Poto iaitu Mr Johan dari Halal Tours yang membawa kami berjalan-jalan disana, suhu pada hari kami sampai ialah -22 darjah celcius iaitu suhu paling sejuk yang direkodkan dalam masa 30 tahun!

Kesejukan yang teramat sangat tidak menghalang keterujaan kami yang selamat sampai dan mendarat di Beijing. Selepas selesai urusan imigresen dan bagasi, kami dibawa menaiki bas dan sampai di Hotel Wu Huan, Beijing dan check in. Seterusnya kami berehat untuk aktiviti keesokan harinya.

Hari Kedua

Selesai sarapan pagi dengan buah-buahan dan roti bakar jam 7 pagi, kami bersiap sedia menunggu di lobi. Dengan pakaian tebal sebanyak 4 lapis iaitu sepasang longjohn, baju blouse/tshirt dan seluar, cardigan dan winter jacket, memang terasa agak berat bila berjalan. Itu belum dikira sarung tangan yang tebal, pashmina dan stokin yang tebal dengan boot dan kasut yang sememangnya sangat penting apabila bercuti di musim sejuk. Dalam beg sandang telah saya sediakan barang-barang yang penting seperti air mineral, termos yang berisi kopi, wet tissue, telekung solat, kamera, dompet duit, botol air kosong, dan pelbagai lagi barangan penting yang lain.

Tianmen Square yang amat luas
Destinasi pertama kami pagi itu ialah ke Tianmen Square dimana tempatnya sangat luas. Kami diturunkan oleh pemandu bas di hujung jalan dan akan masuk ke Tianmen Square dan Forbidden City yang terletak berhadapan Tianmen Square melalui pintu selatan dan akan keluar di pintu utara. Kami perlu berjalan kaki sejauh 7km atau mengambil masa kira-kira 3 jam berjalan di sini dan melawat Forbidden City.

Tianmen Square
Keadaan di Tianmen Square pada pagi itu sangat sejuk dengan suhu sekitar -5 darjah celcius disertai angin kencang yang sangat-sangat sejuk. Ada antara ahli rombongan kami yang membawa anak-anak kecil tidak tahan dengan keadaan yang terlampau sejuk menangis dan meraung kesejukan. Akhirnya mereka terpaksa pulang ke hotel menaiki teksi bagi menenangkan anak-anaknya.

Berhadapan pintu masuk di Forbidden City
Selesai bergambar di Tianmen Square, kami dibawa Johan yang fasih berbahasa Indonesia memasuki Forbidden City yang mempunyai keluasan sebanyak 72 hektar melalui pintu selatan. Di sini merupakan tempat tinggal atau istana maharaja dan gundik-gundiknya yang seramai 3000 orang. Menurut Johan, sebelum seseorang lelaki dibenarkan bekerja di istana ini, kemaluannya akan dipotong terlebih dahulu untuk mengelakkan mereka bermesra-mesra dengan gundik maharaja.

Salah sebuah pintu masuk ke dalam istana maharaja
Kebanyakan lelaki yang bekerja di istana ini adalah dari kalangan orang tawanan perang. Menurut Johan lagi, apabila seseorang maharaja mati maka kesemua gundiknya akan dimasukkan ke dalam sebuah bilik yang kurang oksigen dan dibiarkan sahaja mereka didalamnya beramai-ramai sehingga mati kerana apabila maharaja mati maka gundiknya juga harus mati bersamanya.

Forbidden City yang amat luas
Selesai melawat kedua-dua tempat tersebut, kami berjalan keluar dari pintu utara dan melewati sungai yang sudah beku. Sepanjang perjalanan menuju ke tempat parkir bas di seberang jalan, ada beberapa penjual menawarkan barangan mereka.

Imperial Garden, berdekatan pintu utara
Tetapi kami sudah dinasihatkan awal-awal agar jangan membeli dengan mereka kerana dikhuatiri pulangan baki wang adalah dari duit palsu. Penat juga berjalan berjam-jam lamanya dalam cuaca yang amat sejuk. Seterusnya kami singgah makan tengahari di sebuah restoran muslim. Lauk yang dihidangkan agak sedap dan kena dengan selera kami.

Restoran muslim, tempat makan tengahari kami di Beijing
Selesai menjamu selera, kami singgah di Masjid Fuyuan untuk solat jamak dan qasar Zohor dan Asar. Di masjid ini, tidak ada kemudahan air panas untuk mengambil wudhuk, maka kami terpaksa menahan kesejukan mengambil wuduk menggunakan air yang teramat sejuk. Mujurlah tidak sampai tahap beku kami dibuatnya.hehe..

Masjid Fayuan, Beijing
Menurut tour leader kami dan juga beberapa pembacaan, lawatan ke China atau lebih spesifik lagi ke Beijing menggunakan khidmat tour agent tidak sah kalau tidak ke kedai kerajaan mereka. Lalu kedai milik kerajaan yang pertama kami singgahi ialah Silk Centre.

Silk Centre, Beijing
Di sini, kami diterangkan proses membuat kain sutera dari ulat sutera sehingga menjadi kain oleh salah seorang agen disini iaitu Sarah yang kami gelarkan Sarah Lai Lai kerana gemar menggunakan perkataan Lai Lai yang menbawa maksud "ikut saya".

Harga yang ditawarkan di sini
Menurut Sarah, sutera yang dijual disitu adalah 100% asli manakala yang dijual diluar hanyalah 20-30% sahaja yang asli, selebihnya dicampur dengan bahan lain. Barangan sutera yang utama yang dijual disini ialah bedding. Harga bagi satu set saiz Queen ialah 1380yuan dan saiz King sebanyak 1580yuan termasuk quilt, sarung bantal, cadar, sarung quilt dan percuma 2 biji bantal tahi ulat sutera. Kami hanya membeli kain pasang sutera asli cina yang berharga 360yuan untuk 4 meter sebagai kenang-kenangan.

Pelbagai pilihan corak dan warna
Destinasi kedai kerajaan seterusnya ialah ke Department of Health atau juga dikenali sebagai Reflexology Centre. Kami ditempatkan dalam sebuah bilik yang besar dan diminta merendam kaki dalam sebuah besen yang telah diletakkan air panas 40 darjah celcius dan uncang herba. Selepas setengah jam, kami diberi minum air teh jasmin dan diberi sedikit penerangan tentang pelbagai penyakit yang sering dialami oleh kebanyakan orang.

Setiap org diberikan sebuah besen untuk merendam kaki
Bagi yang air rendaman kaki dibesennya keruh maka ini bermakna banyak toksik yang telah keluar dari badannya melalui kaki. Manakala bagi yang airnya jernih atau kurang keruh maka tidak banyak toksik dalam badannya.

Selepas sesi penerangan berakhir, masuk sekumpulan lelaki dan wanita untuk mengelap kaki setiap dari kami dan mengurutnya. Orang yang akan mengelap kaki saya adalah seorang lelaki, walaupun saya minta tukar kepada wanita tetapi dia berkeras mahu memegang kaki saya. Mujurlah saya juga berkeras tidak mahu kaki saya diurut. Reaksinya agak marah, tapi saya tidak peduli.

antara informasi di dinding bilik Reflexology Centre 
Kemudian, datang pula sekumpulan doktor/professor memeriksa tapak tangan kami dan memberitahu apa penyakit kami setiap seorang. Yang paling kelakar, hampir setiap dari kami mempunyai penyakit! Bagi yang berbadan gempal, perutnya agak buncit dikatanya mempunyai kolestrol yang tinggi, darah tinggi dan pelbagai lagi penyakit walaupun tidak semuanya begitu. Bagi yang perempuan pula, diagnosa standard nya adalah mengenai kesihatan dalaman wanita. Mujur juga sekumpulan dari kami tidak termakan dengan diagnosa mereka. Kami menolak secara baik dan mengatakan tidak berminat dengan perubatan mereka dan menolak juga ubatnya yang ingin dijualnya dengan harga 900yuan! Itu belum lagi rakan serombongan kami yang dipujuk membeli bekalan ubat untuk bekalan selama 3 bulan berharga 7000yuan!

Sambil menunggu rakan lain yang berjaya dipujuk untuk membeli ubat mereka, kami turun ke bawah dan sempat juga mengambil gambar berlatar belakangkan pemandangan yang bersalji. Saya yang memang sudah amat teruja ingin bermain salji juga tidak melepaskan peluang bermain salji dan bergambar sakan. hehehe...

Pemandangan sekitar Department of Health : sungai yang membeku
Jam 4.30 petang, kami ke destinasi seterusnya iaitu petunjukan akrobatik. Memang sangat menakjubkan pertunjukan tersebut dan inilah pertunjukan yang paling menyeronokkan untuk hari ini. Bagi yang bercuti ke Beijing, pengalaman menonton pertunjukan akrobatik ini amat disyorkan dan amat berbaloi. Sayangnya, DVD yang dijual selepas pertunjukan ini sebagai tanda kenangan harganya agak mahal iaitu 100yuan dan kami tidak jadi membelinya.

Salah satu aksi akrobatik yang menakjubkan
Selesai menonton akrobatik, kami makan malam di restoran muslim berdekatan sahaja. Menu yang dihidangkan ada pelbagai jenis lauk namun rasanya agak sama sahaja kerana masak menggunakan kicap dan telur. Rasanya pula agak masin. Ramai diantara kami tidak dapat menghabiskan makanan yang dihidangkan. Selesai makan malam, kami pulang ke hotel untuk berehat bagi menyambung aktiviti yang panjang keesokan harinya pula.

>>>bersambung di Part 2 dan Part 3

10 comments:

  1. wahh, menariknya.. dan seronoknya dapat main salji, tgk org main akrobatik secara live..
    tp tak sangka ye maharaja china dulu2 agak kejam,huhu.. nnti tggu part 2 dan part 3 pulak nak baca sambungan seterusnya.. ;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. a'ah seronok sgt dpt main salji.akrobatik tu pn best gak.hehe..ok, nti tggukn sambungan part 2 dan part 3 k..

      Delete
  2. Replies
    1. a'ah beijing pn best kalo gi musim sejuk dapat merasa main salji.hehe..

      Delete
  3. salam puan....menarik sungguh... saya mmg nak kesana pada bulan 4 ni... dimana saya nak cari kasut salji tu? yang sesuai,yang murah,dan waterproof la.. maknanya kena pakai 4 lapis baju lah ya?? maaf bertanya puan... tapi baca kisah puan.... excited gila pulak jadinya.. hehehehhe

    ReplyDelete
    Replies
    1. salam mohd silmi, tq sudi singgah sini. hehe, saya faham perasaan excited giler tu! kasut salji atau winter boot tu blh beli dimana2 kedai yg jual pakaian musim sejuk mcm universal traveller atau winter time. pakai any sport shoes atau any walking shoes pn dh ok utk berjalan dlm musim sejuk, yg penting cari yg waterproof. saya beli di kedai sport direct di sogo. btw, kalau pergi bln 4 nti dh tak perlu pakai sampai 4 lapis dh. just pkai 3 lapis je sudah mencukupi sbb suhu pn masa tu dh xsejuk tahap beku dh.hehe. memadai dgn tshirt, sweater dan jacket.

      Delete
  4. posting yang menarik dan informative..dengan memasukkannya dalam itinerary pelancung mereka dapat terus menghidupkan budaya mereka..

    ReplyDelete
  5. Salam...saya bcadang nak ke Beijing bulan 12...tapi...khabarnya pergi musim sejuk ni tak begitu seronok. Selain cuaca yg sgt sejuk..aktviti pun terbatas..betul ke?....nak tanya...banyak tak kos persiapan sblm berangkat..terutama ttg pakaian n makanan?...apa keperluan asas yg mesti dibawa ye?..

    ReplyDelete
  6. Salam... saya bercadang ke Beijing pada 12 Disember nnt.... agak takut juga kerana anak yang paling kecil berusia 6 tahun....apa pandangan dan cadangan yang terbaik ya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...