Tuesday, December 24, 2013

Percutian ke Padang dan Bukit Tinggi

Assalamualaikum,

Lama menyepikan diri, hari ni saya nak kongsikan pengalaman saya bercuti ke Padang dan Bukit Tinggi selama 4 hari 3 malam pada bulan September yang lalu. Kami memilih untuk ke sini agar dapat mengenali lebih dekat budaya dan adat minangkabau, yang mana adat dan budaya mereka lebih dekat dengan masyarakat melayu di Negeri Sembilan yang pernah mengamalkan adat pepatih. Semoga perkongsian ini ada manfaatnya, Insya Allah.



replika rumah minangkabau di Bukit Tinggi

Hari Pertama

Kami bertolak ke KL Sentral menaiki teksi yang telah kami tempah awal-awal lagi dan terus ke tingkat bawah KL Sentral menaiki bas ke LCCT. Sepanjang perjalanan saya dan suami hanya tersenyum mengenangkan kami yang pertama kali travel sebagai rakyat marhaen, maklum saja ini kali pertama saya dan suami menaiki penerbangan tambang murah Air Asia. Pastinya satu pengalaman yang berbeza yang tidak dapat kami lupakan.

Sampai di LCCT, kami bersarapan terlebih dahulu dengan nasi lemak dan bihun. Selesai sarapan barulah kami menghantar bagasi kami untuk urusan check in. Mujur juga saya telah print siap-siap boarding pass kami di rumah agar senang urusan kami di sini. Selesai menghantar luggage, kami lepak di Marrybrown sambil membaca suratkhabar dan menunggu masa untuk pelepasan.

Jam 1.25pm, pesawat Air Asia berlepas ke Padang dan sejam kemudian kami selamat mendarat di Bandar Udara Ranah Minangkabau. Selepas urusan imigresen dan mengambil semula luggage kami, kami keluar dari airport dan berjumpa wakil dari pihak Narasindo Tour yang menjemput kami yang bernama Adi.

Kami berkenal-kenalan dan segera Adi bawa kami singgah makan tengahari di Rumah Makan Lamun Ombak. Dalam perjalananan, sempat Adi bercerita tentang asal usul minangkabau yang berasal daripada perkataan "menang kerbau" dimana masyarakatnya pernah memenangi pertandingan berlawan kerbau. Bumbung atau atap rumah minangkabau juga melambangkan tanduk kerbau, dimana kerbau amat sinonim dengan masyarakat minangkabau.

singgah lunch di sini
Kebetulan, kami yang memang sangat lapar ketika itu, dihidangkan dengan 22 jenis lauk pauk di restoran ini. Uniknya masakan padang ini, mana-mana lauk yang tidak diusik atau disentuh oleh kita, tidak akan dikira atau dicaj. Mereka hanya kira apa yang kita makan sahaja. Saya dan suami mengenepikan 14 jenis lauk yang tidak kami makan dan hanya makan 8 jenis lauk sahaja, itupun sudah cukup membuatkan kami kenyang sangat. hehe... Lauk pauknya "lamak bana", ajar Adi pada kami yang bermaksud masakannya sedap sangat. huhu

ada 22 lauk semuanya
Selepas lunch, kami singgah solat jamak qasar di surau yang disediakan oleh pihak restoran kerana bimbang akan sampai lewat ke Bukit Tinggi. Kami meneruskan perjalanan ke Bukit Tinggi yang mengambil masa kira-kira 2 jam kerana akan berada 2 malam di sini dan satu malam di Padang iaitu malam yang ketiga. Kami singgah di Air Terjun Batang Anai, melalui Padang Panjang.

air terjun batang anai
Kemudian kami singgah di Kedai Puteri Minang dan membeli sehelai blaus sulam dan singgah pula di Kedai Linduang Bulan membeli telekung 3 pasang yang dikirim oleh adik saya, telekung sulam goyang dan telekung travel. Menariknya, di kedai-kedai bordir ini kami mempunyai pilihan membeli menggunakan wang ringgit atau rupiah. Mana yang untung menggunakan ringgit Malaysia, kami membayar menggunakan matawang Malaysia, begitulah sebaliknya. Ini pastinya menguntungkan kedua-dua belah pihak.

kedai pertama kami singgah membeli belah
Sampai di Bukit Tinggi, kami check in Hotel Royal Denai View dan jam 7.30malam, Adi menjemput kami untuk makan malam di Rumah Makan Gon Raya. Baru sahaja kami ingin menjamah nasi, tiba-tiba blackout, gelap gelita restoran tersebut. Rupanya kami dimaklumkan, di Bukit Tinggi ini kejadian blackout sudah sering mereka lalui dek kerana arus eletrik yang tidak dapat menampung keperluan penduduk.

makan malam kami di sini
Selesai menjamu selera, kami terus ke Pusat Kebudayaan untuk melihat persembahan tradisional minang. Tiket masuk bagi seorang dewasa ialah sebanyak Rp50,000 yang harus dibayar sendiri oleh kami kerana tidak termasuk dalam pakej. Memang amat seronok melihat persembahan mereka, walaupun mengambil masa hampir 2 jam tetapi persembahan mereka amat menghiburkan.

persembahan kebudayaan minang di bukit tinggi
Saya dan suami pastinya paling menyukai tarian piring dan silatnya. Sempat juga membeli CD dan serunai yang dijual setiap satunya berharga Rp100,000 sebagai tanda kenang-kenangan. Paling tidak dapat dilupakan ialah suami yang dijemput untuk sama-sama menari. Memang sangat kelakar kerana itulah kali pertama saya melihatnya menari! hehehe

Malam itu kami pulang ke hotel dengan perasaan gembira dan terhibur. Tidak sabar pula menanti hari esok untuk menerokai bumi minang ini.

Hari Kedua

Selesai bersarapan di hotel dengan nasi goreng dan beberapa jenis kuih muih, Adi membawa kami berjalan-jalan di Danau Singkarak. Dalam perjalanan kami singgah di Kedai Annisa, tempat menjual sulaman berkualiti tinggi yang menurut Adi sering disinggahi oleh Siti Nurhaliza. Memang benar, harga barangan jualan di dalam butik ini memang harga untuk Siti Nurhaliza! hehehe.

Bordir Annisa, Bukit Tinggi
Kami meneruskan perjalanan dan Adi singgah di gerai menjual bika, sejenis bingka yang kalau di kelantan dipanggil kuih beko. Sedap dimakan panas-panas, setiap satu dijual Rp3,000 dan terdapat dua jenis iaitu yang diperbuat daripada gula merah dan gula putih.

Bika Talago
Perjalanan diteruskan lagi dan kami singgah pula di Kedai Oke, butik menjual barangan sulaman. Masuk ke kedai ini, kami terasa kemesraan mereka dan barangan yang dijual juga harganya sangat Ok, sesuai dengan nama kedainya. Disebabkan masih awal pagi, kami diberi harga "pecah telur" iaitu istilah peniaga pada pelanggan pertama. Sempat juga memborong telekung solat dan beberapa helai kain pasang sulaman untuk dibuat baju kurung.

kedai Oke, harganya juga ok!
Kemudian, kami singgah pula di Pusat Tenunan Pandai Sikek. Disini juga kami memborong telekung solat travel, kopiah, tudung bawal dan beberapa barangan lain untuk dibuat cenderahati. Selesai membeli belah, kami meneruskan perjalanan ke Danau Singkarak dan singgah pula di gerai menjual durian. Rasanya seperti tidak lengkap kalau berjalan di Indonesia tanpa mencuba durian disini, hehehe.

gerai durian yang kami singgahi
Perjalanan diteruskan lagi melalui bukit bukau yang penuh ditanam padi. Padi yang ditanam bertingkat-tingkat disini memang amat cantik sekali pemandangannya. Sampai di Danau Singkarak, kami mengambil gambar sambil menghirup kopi panas di tepi tasik ini. Memang amat mendamaikan sekali suasananya.

Danau Singkarak
Kami meneruskan perjalanan ke Pagar Ruyung untuk melihat Istana Pagar Ruyung. Memang besar sekali istananya yang telahpun dibina semula berikutan istana lama telah hangus terbakar dijilat api dek litar pintas. Istana baru telahpun siap dibina tapi kami tak berkesempatan naik ke atas kerana belum dirasmikan lagi. Kami sekadar bergambar kenangan sekitar perkarangan istana dan turun semula ke bawah bertemu Adi yang telahpun menunggu dalam toyota kijang.

Istana Besar Pagar Ruyung
Makan tengahari kami pada hari ini agak istimewa kata Adi. Kami akan singgah makan tengahari di restoran tengah sawah, pasti menarik sekali pengalamannya.

Restoran tengah sawah

Di restoran ini menu istimewanya adalah ikan talapia bakar. Kami order es jeruk dan es teller dan menikmati hidangan tengahari kami dengan enak sekali.

menu istimewanya ikan bakar

Selesai menjamu selera dan bergambar kenangan, kami singgah pula di Kinicko, tempat menjual kopi dan teh yang diperbuat daripada daun kopi.

Kiniku, kedai menjual kopi dan teh

Teh daun kopi dihidangkan secara percuma untuk para pelanggan mencubanya tapi apabila kami mencubanya masya Allah, memang tidak tertahan rasa kelatnya. hehe. Kami cuma membeli serbuk biji kopinya sahaja disini untuk dibawa pulang.

Teh yang diperbuat daripada daun pokok kopi dimasak dalam tempayan besar
Kami turun semula ke Bukit Tinggi dan singgah di Jam Gadang dan Pasar Atas. Dek kerana shopping telahpun kami buat di kedai-kedai yang telah kami singgahi, di Pasar Atas saya dan suami hanya membeli table runner dan tisu cover sahaja.

Jam Gadang atau menara jam besar, landmark bukit tinggi
Lagipun harga di Pasar Atas tidaklah semurah yang saya dapat di kedai-kedai yang telah kami singgahi. Kemudian kami turun ke pasar bawah mencari souvenier. Mujur juga bertemu satu buah gerai yang pekedainya pandai mengambil hati saya memborong di kedainya. Harga yang ditawarkan juga berpatutan. Saya dapat membeli beberapa helai tshirt dengan harga Rp20,000 sehelai, replika istana pagar ruyung juga dengan harga yang sama serta fridge magnetic dengan harga rp50,000 untuk 6 biji.

Pasar Atas, Bukit Tinggi
Kemudian kami pulang ke hotel untuk mandi, solat dan berehat. Selesai solat maghrib, Adi menjemput kami untuk makan malam di Rumah Makan Sederhana. Kami minta dengan Adi untuk menghabiskan malam kedua kami di Bukit Tinggi sekitar Jam Gadang untuk merasai suasana malam di sekitarnya sebelum bertolak ke Padang keesokan harinya. Sempat juga masuk ke Pusat Beli Belah Ramayana, melihat-lihat sekeliling dan singgah di Texas Chicken untuk menikmati aiskrim disini. Sejam kemudian, Adi datang menjemput kami untuk pulang ke hotel.

Hari Ketiga


Lubang Jepun, Bukit Tinggi


Selesai bersarapan dengan menu yang lebih kurang sama seperti semalam, kami check out dan singgah di Lubang Jepang.

Terowong Lubang Jepang
Kami tidak berkesempatan untuk masuk ke terowong berikutan saya yang agak penakut untuk masuk ke dalamnya dan hanya bersiar-siar sekitar kawasan tersebut sahaja dan bergambar disitu.

Ngarai Sianok atau Grand Canyon, Bukit Tinggi
Sempat juga saya membeli kain songket disitu yang dijual dengan harga yang amat murah iaitu Rp50,000. Tidak sampai hati saya untuk tawar menawar lagi, huhu.

Lukisan atau painting yang banyak dijual disini
Kami juga berkesempatan membeli painting yang saya minta tawar dengan harga amat murah, sampaikan lelaki yang menjualnya kepada kami tidak sanggup lagi angkat muka memandang saya berikutan hatinya yang sedih melepaskan lukisannya dengan harga tersebut. Walaupun pada mulanya saya berkeras tidak mahu membelinya kerana dia tidak mahu memberikan harga yang saya mahu, tetapi akhirnya dia mengalah walaupun dengan perasaan berat hati. Sampai hari ini pun, walau saya gembira memiliki lukisan tersebut tetapi saya masih lagi rasa bersalah padanya kerana menawarkan harga yang amat murah. Pasti, setiap kali menatap lukisan tersebut kami akan terkenangkannya yang nun jauh di Bukit Tinggi sana!

Di kedai souvenier di Lubang Jepang ini juga saya sempat membelikan 2 helai tshirt buat dua orang anak buah saya di Kuala Lumpur. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Danau Maninjau dan singgah di kedai membuat silver.

Kami singgah minum kopi di Landia Highlands sambil menikmati pemandangan ala-ala Cameron Highlands. Udaranya sejuk dan sungguh mendamaikan, bak kata suami alangkah seronok kalau dapat bermalam disini untuk satu malam, huhu.

perarakan khatam quran yang kami temui dalam perjalanan ke Padang

Perjalanan diteruskan lagi dan kami singgah di Kelok 37 untuk mengambil gambar Danau Maninjau. Pemandangan disini amat menakjubkan sekali! Lama saya dan suami duduk menikmati pemandangan ciptaan Yang Maha Esa tersebut.

Pemandangan Danau Maninjau dari Kelok 37
Rasa syukur dengan nikmat kerana dapat menikmati keindahan bumi Allah ini. Selesai bersantai menikmati pemandangan, kami singgah di gerai berdekatan untuk membeli apam yang diperbuat daripada labu dan singgah pula di Kedai Ibu Kanduang untuk makan cendol labu dan pengat labu.

Selesai di Danau Maninjau, kami meneruskan perjalanan turun ke bandar Padang. Sempat lagi kami singgah di Kedai Linduang Bulan dan Kedai Oke untuk menambah hasil beli belah kami sebelum kami pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Rumah Makan Pak Datuk
Kami singgah makan tengahari di Rumah Makan Pak Datuk dan meneruskan perjalanan ke Padang. Jam 4 petang kami check in Hotel Sriwijaya di Padang dan berehat, mandi dan solat.

Selepas solat maghrib, Adi datang menjemput kami untuk makan malam. Makan malam kami agak kurang enak di Rumah Makan Mama Restu kerana dihidangkan secara buffet, makanannya juga sudah agak sejuk dan kurang menyelerakan lagi. Selesai makan malam, kami minta Adi turunkan kami di Pusat Membeli Belah, sempat juga kami mencari padlock. Sejam kemudian Adi datang membawa kami pulang ke hotel.

Hari Keempat

Sarapan pagi kami pada hari ini agak enak berbanding ketika di Bukit Tinggi kerana hidangannya banyak dan sedap. Pagi ini kami menghabiskan masa berehat dan packing beg sahaja sebelum kami check out jam 10 pagi. Selesai urusan daftar keluar, Adi sudah menunggu kami di lobi untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar bandar Padang.

Pantai Padang

Tidak banyak yang ada di bandar Padang. Kami sekadar melewati kawasan Chinatown, Pantai Padang, Masjid dan Jambatan Siti Nurbaya. Sempat juga bergambar sekitar jambatan yang keadaannya serupa sahaja seperti jambatan-jambatan lain.

Jambatan Siti Nurbaya

Bezanya jambatan ini mempunyai sejarah tersendiri kerana menurut lagenda, seorang gadis bernama Siti Nurbaya telah terjun disini kerana cintanya yang tidak kesampaian. Dia yang telah dipaksa berkahwin dengan bukan pilihan hatinya nekad terjun membunuh diri. Perkuburan Siti Nurbaya juga terletak tidak jauh dari jambatan ini.

Jam 12 tengahari Adi membawa kami makan tengahari di Rumah Makan Lamun Ombak, restoran yang sama kami singgahi apabila mula-mula sampai pada hari pertama yang lepas. Selesai menjamu selera, Adi terus menghantar kami ke airport. Hubby menghulurkan tips padanya, dan selepas bersalam-salaman kami terus masuk ke kaunter daftar masuk dan lepak di boarding hall.

Kami selamat pulang ke tanah air membawa kenangan indah dari Padang dan Bukit Tinggi. Pastinya setiap tempat di Indonesia mempunyai keunikan dan tarikannya yang tersendiri. Istimewanya percutian kali ini, kami banyak menikmati keindahan bumi Allah yang terbentang luas dan mensyukuri nikmat yang diberi oleh-Nya.

Keindahan dan kedamaian Bukit Tinggi menggamit hati kami untuk datang ke sini lagi satu hari nanti. Yang pastinya, percutian ke Indonesia belum berakhir di sini kerana insya Allah kami akan ke Surabaya dan Malang pula tahun hadapan. Semoga bertemu lagi.

Thursday, September 19, 2013

Trip Sehari di Brussels, Belgium

Assalamualaikum, apa khabar semua? Entry ni sudah lama saya sediakan tapi baru berkesempatan post hari ini berikutan kesibukan dan kemalasan mengupload gambarnya.hehe. Kami berkesempatan ke Brussels yang terletak di Belgium pada bulan Febuari 2013, hampir 7 bulan yang lalu.

Kami bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap dan bersarapan pada jam 6.30 pagi. Jam 7.30 pagi kami meredah kesejukan pagi di kota Paris untuk ke stesen keretapi Gare Du Nord yang terletak kira-kira 5 minit berjalan kaki dari hotel kami. Sampai di stesen keretapi kami terus membeli tiket untuk ke Brussels, Belgium untuk menghabiskan cuti hujung minggu kami di sana.

Brussels, Belgium

Brussels menjadi destinasi kami dari Paris kerana perjalanan ke sana boleh dibuat dalam masa sehari sahaja menggunakan keretapi laju. Selain itu, Brussels juga merupakan kota yang menjadi pusat bagi Kesatuan Eropah (EU) dan antara negara pengeluar coklat Made in Belgium. Hehehe...

pemandangan bersalji sepanjang jalan
Perjalanan dari Paris ke Brussels menaiki keretapi laju Thalys mengambil masa 1 jam 20 minit sahaja. Tiket pergi balik untuk seorang dewasa berharga Eur200 bersamaaan RM800.

Sampai di tren station di Brussels, kami terus ke Information Centre bertanyakan mengenai stesen metro atau LRT utk ke pusat bandar. Tiket metro yang kami beli merangkumi metro, bus dan tram untuk 24 jam berharga 6.50euro bagi seorang dewasa. Amat berbaloi bagi kami yang ingin menghabiskan seharian di Brussels ini. Berbekalkan sebuah peta dan sedikit penerangan dari pegawai di kaunter tiket metro kami terus menaiki tren ke pusat bandar.

Sampai di Brussels

Tempat-tempat menarik disini terletak dalam kawasan berpetak empat segi dan kami hanya perlu turun di satu stesen keretapi dan berjalan kaki melawat kawasan-kawasan menarik di sini. Cuaca yang dingin tidak menyukarkan perjalanan kami kerana cuaca di Brussels lebih mesra pelancong berbanding di Paris pada ketika ini.
antara bangunan yang terdapat di sini

Sampai di pusat bandar kami berjalan-jalan di sekitar kawasan tersebut dan singgah di kedai-kedai melihat pelbagai barangan yang dijual disitu seperti kasut, beg dan pelbagai barangan fesyen yang lain.

salah satu souvenier yang boleh dibawa pulang

Harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding di kota Paris yang serba serbi overpriced. Saya dan suami sempat juga membeli kasut, beg dan pakaian di sini.

Kita window shopping dulu di sini, hehe

Kemudian kami berjalan di sekitar kawasan tersebut mencari Manneken Pis yang amat terkenal di Brussels ini. Kami sampai di dataran yang menempatkan Muzium Negeri atau State Museum dan Hotel yang mempunyai sejarahnya tersendiri.

dataran yang menempatkan muzium dan beberapa bangunan bersejarah

Suasana di dataran ini lebih kurang sama sahaja di mana-mana kota eropah yang lain, penuh dengan pelancong, pelukis, kedai menjual coklat, souvenier, aiskrim, cafe dan pelbagai lagi.

muzium brussels, belgium

Kami bergambar sakan disini sambil sempat juga saya singgah membeli souvenier dan beberapa jenis coklat. Selesai bergambar dan membeli belah kami meneruskan perjalanan mencari Manneken Pis, salah satu tumpuan pelancong dan simbol kepada bandar ini.

salah satu bangunan bersejarah di dataran

Manneken Pis merupakan sebuah patung budak kecil atau sculpture yang sedang membuang air kecil. Saya pun kurang pasti apa yang menarik sangat tentang patung tersebut tetapi ianya merupakan trademark kepada kotaraya ini.

Manneken Pis yang memakai costume CNY

Puas juga mencari patung tersebut, akhir sekali kami terpaksa masuk ke Novotel Hotel dan bertanya dengan receptionist tersebut arah jalan kami. Dengan bantuannya, bertemu juga kami dengan Manneken Pis.

Karl Marx pernah datang ke sini

Kami ingatkan patungnya besar, rupanya kecil sahaja dan sudah berpakaian sempena Chinese New Year. Melihatkan saya dan suami bersusah payah mengambil gambar, ada seorang minah salleh menawarkan untuk mengambil gambar kami berdua. hehe..

salah satu monumen yang ada di sini

Kemudian kami singgah makan dan minum sementara menyambung beli belah dan lawatan kami. Makanan yang wajib dicuba ialah Brussels Waffles yang hanya berharga 1euro sahaja.


jalan-jalan mencari souvenier

Dan jangan lepaskan peluang membeli coklat Made in Belgium seperti jenama Guylian, Cote d 'Or, yang kalau di Malaysia harganya agak mahal, tapi disini memang murah.

Jangan lupa mencuba waffle disini. 

Makanan halal juga banyak terdapat di sini. Paling popular ialah Sultans of Kebab yang restoran atau kiosk nya boleh didapati di hampir setiap kawasan tumpuan pelancong. Jam sudah menunjukkan jam 1 tengahari, kami singgah makan di Sultans of Kebab, portion makanannya punyalah banyak dan harganya jauh lebih murah berbanding di Paris. Selesai makan, kami singgah lagi di kedai souvenier untuk membeli beberapa lagi barangan seperti magnetic fridge, keychain, tshirt dan beg.


masih bersalji di atomium
Kami meneruskan perjalanan menaiki tren ke destinasi tumpuan pelancong yang seterusnya. Kalau di Kuala Lumpur kita ada menara berkembar Petronas yang kita banggakan, di Belgium ni mereka ada Atomium. Atomium ni merupakan sebuah menara yang menempatkan menara tinjau dan bentuknya seperti atom nuklear. Berdekatan kawasan ini juga terdapat satu tempat hiburan keluarga iaitu Mini-Europe Park. Kami menghabiskan baki masa petang kami disini bergambar sakan dan menikmati keindahan tempatnya.

The Atomium, Brussel

Jam 6 petang kami terus ke stesen keretapi untuk pulang ke Paris. Tiket keretapi yang dibeli adalah pada jam 7.30 petang dan sementara menunggu di stesen tersebut sempat lagi saya dan suami membeli beberapa jenis coklat lagi kerana harganya yang lebih murah disini berbanding di Paris apatah lagi di Malaysia. Dalam perjalanan, kami yang sudah amat keletihan tertidur hinggalah sampai di Paris jam 9 malam.

Dalam kedinginan malam yang mencengkam hingga ke tulang, kami berjalan pulang ke hotel dan berpuas hati dengan outing kami seharian di Brussels, Belgium pada hari tersebut. Moga beroleh kesempatan lagi untuk berjalan-jalan di negara Eropah yang lain pula, insya Allah.

Friday, May 10, 2013

Hadiah Hari Lahir

Salam sahabat semua, saya percaya semua di antara kita pernah mendapat hadiah hari lahir. Tidak kiralah hadiah tersebut dari sekecil-kecil alatulis hinggalah kepada barang-barang mewah yang lain. Tidak kiralah juga hadiah tersebut daripada kawan, ibubapa, saudara mara, mahupun daripada suami atau isteri masing-masing...

Antara kad ucapan hari lahir dari suami
Saya masih ingat zaman sekolah rendah dulu, kawan sekelas saya menghadiahkan saya pemadam pada hari lahir saya. Ketika itu, hadiah pemadam dianggap kanak-kanak sebagai sesuatu yang menyeronokkan kerana mungkin dia sudah jemu melihat saya meminjam pemadamnya! Maklum sajalah kanak-kanak. Alatulis memang sentiasa sahaja tidak cukup atau hilang lalu kawan yang duduk sebelah di kelas lah yang selalu menjadi mangsa pinjaman. hehehe...

Zaman persekolahan dulu, saya juga pernah dengan tidak malunya meminta hadiah harijadi daripada ibu dan bapa saya iaitu sebuah kamera. Walaupun agak lambat mendapat hadiah tersebut iaitu di harijadi yang ke-15 tahun, namun saya amat seronok sekali memilikinya. Saya yang amat gemar bergambar dan mengambil gambar memang teringin untuk mempunyai kamera sendiri pada ketika itu.

antara kad ucapan hari lahir daripada sahabat
Banyak antara hadiah hari jadi yang diberikan oleh kawan-kawan masih saya simpan elok sampai hari ini. Malah kad ucapan hari jadi juga masih saya simpan rapi dalam sebuah kotak untuk kenang-kenangan. Saya masih simpan dan guna sebuah mug yang dihadiahkan oleh sahabat saya Norazlina pada tahun 1997. Bayangkanlah mug tersebut masih elok dan masih saya guna hingga sekarang walaupun sudah beberapa kali juga terjatuh.

Mug yang dihadiahkan pada tahun 1997
Tahun yang sama juga, abah menghadiahkan saya sebuah buku autograph di hari lahir saya. Menurut abah, saya gemar menulis, jadi hadiah buku amat sesuai untuk anaknya ini. Masa itu saya rasa agak sedih juga sebab kakak saya mendapat hadiah hari lahir yang lebih mahal daripada saya iaitu sebuah pen jenama Sheaffer. hehehe.. Tapi abah memujuk saya. Katanya bila saya sudah sedikit dewasa, abah akan membelikan sesuatu yang lagi bagus daripada pen. huhu...

Buku autograph hadiah daripada abah
Menginjak sedikit dewasa dan memasuki alam universiti, saya sudah tahu malu untuk tidak meminta hadiah daripada abah dan mama. Setiap kali hari lahir, cukup sekadar memotong kek sahaja dan sesekali belanja keluarga makan di luar. Bila anak-anak sudah dewasa, maka tugas anaklah pula yang membelikan hadiah buat hari lahir ibu dan bapa mereka. Seronok sesekali dapat menggembirakan ibu dan bapa kita dengan sedikit hadiah di hari istimewa mereka. Senyuman yang terukir di wajah mereka itulah yang paling manis untuk dikenang walaupun pemberian tersebut hanyalah seutas jam tangan atau sehelai baju sahaja.

hari lahir yang biasanya kami sambut sekali dengan hari ibu
Jika ditanya hadiah apakah yang paling bermakna yang pernah dihadiahkan oleh suami kepada saya, tentu sahaja jawapan saya ialah seutas jam tangan. Harganya tidaklah sampai beribu-ribu lemon, tetapi kenangan memilikinya itulah yang paling indah. Walaupun jam tersebut pernah hampir rosak kerana kealpaan saya membawanya bersama mandi di kolam, mujurlah ianya dapat diselamatkan dan masih berfungsi sehingga kini.

Bagi saya, hadiah apapun yang kita dapat, sesiapa pun yang memberinya, yang paling penting ialah ingatan si pemberi pada kita tentang hari istimewa tersebut. Kata orang putih, it's the thought that counts. 

Thursday, April 18, 2013

Percutian Musim Salji di Beijing dan Shanghai Part 3

Sambungan dari Part 1 dan Part 2

Hari Kelima

Selesai sarapan, kami memulakan lawatan pertama kami di Shanghai dengan mengunjungi Muzium Shanghai. Cuaca pagi itu agak sejuk tapi tidaklah sesejuk seperti di Beijing. Di Shanghai, kami masih perlu memakai baju sehingga 4 lapis, bezanya di sini sudah tidak bersalji.

Muzium Shanghai 
Dalam perjalanan ke muzium, kami melewati bangunan Theater Hall dan City Hall yang kebanyakan bangunan di Shanghai ini semuanya unik dan moden.

Bangunan muzium yang unik dari luar
Hujan yang turun renyai-renyai tidak memutuskan semangat kami untuk mengenali bandar moden ini dengan lebih lanjut.

Terdapat pelbagai galeri di dalam muzium
Sebelum masuk ke muzium, terdapat security check point. Air botol yang dibawa masuk ke dalam muzium diarahkan untuk diminum sedikit oleh pihak keselamatan bagi memastikan bahawa air tersebut ialah air minuman, bukan bahan letupan cecair. Begitu sekali tahap keselamatan di sini, walaupun yang dimasuki hanya sebuah muzium! Kemasukan pelancong ke muzium ini juga hanya terhad kepada 8000 pengunjung sahaja sehari.

Salah satu koleksi syiling dari zaman Umayyah
Di Muzium Shanghai ini terdapat koleksi pelbagai jenis barangan sejak zaman penjajahan oleh beberapa pihak seperti Perancis, Jepun dan Amerika Syarikat. Pameran yang paling menarik minat kami ialah koleksi syiling pada zaman laluan sutera dan beberapa lagi koleksi lain.

The Bund, Shanghai
Kemudian, kami dibawa melawat The Bund dan bergambar sakan disini berlatar belakangkan bangunan-bangunan moden. Setiap daripada kami tidak melepaskan peluang bergambar walaupun dalam keadaan sejuk dan hujan yang semakin lebat. Selesai bergambar, kami terus ke kedai di bawah dataran iaitu Pearl and Jade Centre. Di sini, kami sekali lagi diberi penerangan bagaimana proses mutiara terjadi dan beza mutiara yang diternak di air tawar dan air masin.

Pearl and Jade Center
Menariknya di sini, kami diberi peluang melihat mutiara yang masih dalam cengkerangnya dan bagaimana ia diproses menjadi barangan perhiasan untuk kaum wanita. Ada pelbagai jenis, warna dan bentuk mutiara yang dapat kami lihat disini. Yang paling mahal ialah black pearl, spesis yang jarang-jarang ditemui. Mutiara mengambil masa 7 tahun untuk matang sepenuhnya dan yang paling matang itulah yang paling mahal harganya.

Proses mengeluarkan mutiara dari cengkerangnya
Selesai penerangannya, kami ditawarkan untuk membeli barangan perhiasan disini dengan harga yang agak berpatutan. Apa lagi, setiap dari kami semuanya tidak melepaskan peluang membeli untuk diri masing-masing buat kenang-kenangan beli belah di Shanghai.

Pelbagai koleksi mutiara yang dijual disini
Kemudian, kami singgah makan tengahari di sebuah restoran muslim di Shanghai. Lauknya boleh dikatakan semuanya pedas-pedas kerana masak menggunakan cili kering yang dipotong namun masakan memang sangat sedap. Kami memuji-muji layanan dan makanan disini yang memang sangat bagus sekali.

Salah satu restoran muslim yang kami singgah di Shanghai
Selesai makan, kami singgah membeli buah-buahan seperti buah strawberi yang besar-besar, buah epal besar dan sedikit limau mandarin dengan harga kesemuanya berjumlah 50yuan.

Kedai buah yang menjual durian made in Malaysia
Masa sudah menginjak ke waktu zohor, kami singgah di Masjid Fuyou untuk solat jamak sebelum ke Old Town Shanghai untuk membeli belah. Di Masjid ini juga, kami terpaksa mengambil wudhuk menggunakan air yang teramat sejuk, memang tahap beku kami dibuatnya. hehe..

Masjid Fuyou, Shanghai
Selesai solat, kami berjalan kaki beramai-ramai memasuki Old Town Shanghai. Disini terdapat banyak kedai menjual pelbagai barangan dan kami diberi masa lebih kurang 2 jam untuk membeli belah.

Kedai-kedai di Old Town Shanghai
Bagi yang membeli belah disini, memang perlu shop around dulu untuk mendapatkan harga terbaik. Untuk kedai yang kecil masih boleh tawar menawar tetapi di kedai yang besar, harganya sudah fixed dan sudah tidak boleh tawar menawar.

Old Town Shanghai
Untuk tawar menawar, perlu tawar dengan harga yang kita rasa reasonable dengan barang tersebut. Banyak juga hasil beli belah kami disini buat ole-ole pulang ke Malaysia kerana harganya memang agak murah dan berpatutan.

Ukiran nama pada pendant
Selain membeli tshirt, baju ceogsam, cap, magnetic fridge, dan pelbagai barang souvenier yang lain, kami sempat juga membeli frame yang ditulis nama kami dalam bahasa cina dan juga cop nama kami dalam bahasa mereka. Sesuatu yang unik bagi kami untuk dibawa pulang nanti.

Pelbagai pilihan untuk membuat cop nama
Masa 2 jam yang diberi memang cepat sahaja berlalu, kami harus terus ke destinasi seterusnya untuk menaiki River Cruise Hangpu River. Tiket bagi seorang dewasa ialah 100yuan dan mengambil masa kira-kira sejam mengelilingi sungai dan melewati panorama indah kota Shanghai di waktu malam dengan lampu yang berwarna warni.

Kaunter tiket river cruise
Memang amat menakjubkan pemandangan waktu malam di kotaraya ini. Walaupun dengan cuaca yang sejuk di luar, kami naik ke atas deck kapal untuk bergambar sakan.

Inilah kapal yang kami naiki untuk aktiviti river cruise
Puas bergambar, kami duduk di deck kapal tersebut sambil menikmati keindahan suasananya yang agak romantis dan mendamaikan.

Pemandangan kotaraya Shanghai yang amat cantik pada waktu malam
Setelah hampir sejam, kapal berlabuh dan kami terus ke restoran muslim berdekatan hotel untuk makan malam. Lauk di restoran ini juga menyajikan makanan yang agak kena dengan selera kami.

Pelayan restoran muslim disini 
Walaupun agak kepenatan dengan aktiviti untuk hari ini, lauk pauk yang disajikan berjaya dihabiskan oleh kumpulan kami. hehehe..

Pinggan mangkuk di kebanyakan restoran muslim di Shanghai mempunyai tanda halal

Selesai makan malam, kami pulang ke hotel untuk berehat dan menyambung aktiviti terakhir keesokan harinya pula.

Hari Keenam

Selesai sarapan pagi yang tidak banyak pilihannya, kami ke destinasi pertama pagi itu iaitu ke Tea House. Di sini, kami diberi penerangan dan diajar cara-cara meminum teh dan juga mengenali budaya orang China yang memang amat sinonim dengan teh.

Tea House, Shanghai
Terdapat pelbagai jenis teh yang dijual disini antaranya teh bittersweet yang dijual dengan harga 150yuan untuk botol kecil dan 300yuan untuk botol besar. Kami tidak membeli teh yang dijualnya kerana kurang gemar meminum teh.

Daun teh yang disusun meninggi
Kemudian, kami ke tempat membeli belah yang ditunggu-tunggu oleh semua ahli rombongan kami iaitu ke Han Market atau juga dipanggil Fake Market oleh pemandu pelancong kami berikutan barang-barang disini adalah ASPAL iaitu Asli Tapi Palsu. Barangan disini memang branded tetapi dijual dengan harga yang teramat murah, yang biasa kita panggil barangan Made in China. hehe.. Kami diberi masa 2 jam disini, namun kedai yang banyak disini membuatkan kami leka hingga masa yang diberikan memang tidak mencukupi.

Barangan yang dijual di kedai disini boleh ditawar hingga 70% dan kalau berani cuba minta hingga 90%. huhuhu.. Ada antara ahli rombongan kami memborong kasut, luggage, jaket dan pelbagai barangan lain. Saya dan suami hanya membeli beberapa barangan souvenier bagi mencukupkan apa-apa yang belum berkesempatan dibeli.

Restoran masakan muslim
Leka membeli belah, masa sudahpun menginjak ke tengahari. Perut sudah mulai lapar lalu kami singgah makan tengahari di restoran muslim yang sama seperti semalam. Kemudian, kami ke Masjid Xiao untuk menunaikan solat jamak zohor dan asar. Masjid di sini agak moden dan cantik.

Masjid Xiao, Shanghai
Di perkarangan masjid terdapat sebuah kedai menjual set pinggan mangkuk bone china yang tertulis kaligrafi islam, dan kami sempat membeli 2 set tersebut bagi membantu sesama Islam yang bersaudara. Rakan serombongan kami yang lain turut memborong set cawan dan pinggan yang dijualnya sehingga habis licin kesemuanya. Seronok sekali wanita penjual itu kerana sekelip mata barangannya habis dijual.

Maklumat berkenaan Masjid Xiao
Selesai solat, kami ke Nanjing Road. Disini merupakan satu jalan yang menempatkan pelbagai gedung beli besar yang ternama, sebagaimana Malaysia mempunyai Jalan Bukit Bintang.

Salah satu pemandangan di underground Nanjing Road
Kami sekadar berjalan-jalan sekitarnya untuk menjamu mata dan tidak membeli apa-apa. Kemudian, kami makan malam di tempat yang sama seperti waktu tengahari itu.

Shanghai in old days
Semasa makan malam, terdapat beberapa permintaan daripada ahli rombongan kami yang belum puas membeli belah. Kesempatan yang ada hanyalah pada malam itu sahaja berikutan esok akan pulang ke Malaysia.

Underground Shanghai
Setelah perbincangan dibuat, akhirnya 10 orang dari kami bersetuju untuk pergi sendiri ke Han Market dan pulang menaiki teksi ke hotel. Saya dan suami termasuk dalam 10 orang tersebut, dan turut serta ialah ketua rombongan dan juga tour guide kami bagi menjaga keselamatan kami.

Wanita ini melukis menggunakan tapak tangannya sahaja.
Kunjungan kami kali kedua ke Han Market, kami tidak melepaskan peluang menghabiskan baki wang yuan kami di sini. Banyak juga yang diborong termasuklah winter boot dan kasut yang memang sangat murah dan berkualiti, barangan elektronik, beg, alat permainan, lukisan dan pelbagai lagi. Kami yang pada mulanya teragak-agak ingin turut serta dalam rombongan shopping last minute ini merupakan orang terakhir yang naik teksi pulang ke hotel bersama tour guide kami, Mr Joe. hehe..

antara koleksi winter boot yang dijual disini
Masing-masing berpuas hati dengan shopping yang dibuat malam itu. Sampai di hotel, kami membayar harga teksi yang dinaiki tiga orang sebanyak 18yuan. Naik ke bilik hotel, kami mempunyai tugas yang lain pula iaitu packing segala hasil shopping kami kerana pagi esoknya kami perlu check out jam 7 pagi untuk ke airport.

Hari Ketujuh

Hari terakhir kami di Shanghai dan juga di China, kami check out seawal jam 7 pagi dan selesai bersarapan, kami terus ke Lapangan Terbang Shanghai yang mengambil masa kira-kira sejam ke sana. Sampai di airport, setelah bergambar dan mengucapkan terima kasih kepada tour guide kami, kami segera ke kaunter check in untuk urusan daftar masuk.

Holiday Inn Shanghai, penginapan kami selama 4 hari di sini
Jam 11 pagi, flight kami berlepas ke Hong Kong dan seterusnya ke Kuala Lumpur. Masing-masing kelihatan seronok dan puas hati dengan percutian kali ini. Ada juga suara-suara yang sudah rindukan roti canai, teh tarik, gulai ketam dan pelbagai lagi masakan Malaysia tatkala kapal terbang mendarat dengan selamatnya di KLIA.

Di Shanghai Pudong International Airport
Syukur Alhamdulillah, percutian kali ini memang sangat-sangat menyeronokkan. Banyak pengalaman baru yang saya dan suami lalui sepanjang percutian kami di Beijing dan Shanghai. Bukan sahaja kami dapat belajar tentang kehidupan masyarakat China tetapi juga dapat menambah kenalan baru yang mengikuti rombongan ini. Selain keseronokan membeli belah dengan harga yang amat murah juga, pengalaman memanjat tembok besar China dan pertama kali bermain salji juga sesuatu yang saya tidak akan lupa sampai bila-bila. Mudah-mudahan di masa akan datang, kami berkesempatan pula melawat Guangzhou, Guilin dan beberapa daerah lain lagi di negara China ini, Insya Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...