Tuesday, December 18, 2012

Pengalaman Melancong ke Jakarta dan Bandung

Assalamualaikum semua,
lama betul saya tak menjeguk blog ini dek kerana kesihatan yang tidak mengizinkan dan juga laptop yang buat hal minta direformat. Habis mood saya nak menaip cerita-cerita di sini. Banyak juga entry saya yang tertangguh yang belum sempat saya postkan lagi.


Kali ini saya nak berkongsi cerita terbaru dari Bandung dan Jakarta yang disertai oleh kami berlima iaitu saya dan suami, mama dan abah serta adik bongsu saya. Niat membawa adik bongsu saya berjalan-jalan timbul kerana dia tidak berkesempatan mengikuti kami ke Sarawak bulan Mei lepas dek kesibukan dengan exam pertengahan tahunnya di MRSM.


Bagi memujuknya, saya berjanji membawanya berjalan ke Bandung dan membawa sekali mama dan abah untuk bercuti ke luar negara. Nampak keterujaan adik saya yang pertama kali menaiki kapal terbang dan bercuti di luar negara. Alhamdulillah, hasrat membawa ketiga-tiga mereka tercapai ditambah pula saya dan suami juga yang pertama kali ke sini. Percutian 4 hari 3 malam ke Jakarta dan Bandung ini kami tempah melalui travel agent yang sama semasa kami melawat ke Medan tahun lepas iaitu Narasindo Tour.

28/11/2012 Jakarta-Bandung
Flight kami ke Jakarta menaiki KLM Airlines adalah pada jam 5.05 petang. Adik yang pertama kali naik flight nampak tenang dan teruja. Mana tidaknya, flight yang kami naiki adalah flight jumbo yang siap ada inflight entertainment lagi. Sempat jugalah melayan movies dan lagu-lagu sementara waktu.

keceriaan adik dalam flight
Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Jakarta jam 7.30 malam, tapi dek kerana urusan tuntutan bagasi yang lambat, kami terpaksa menunggu hampir sejam sambil berdiri. Kemudian, harus sekali lagi menunggu supir kami yang rupanya menunggu di pintu yang lain.

mama dan abah yang ceria menikmati makanan yang dihidangkan dalam flight
Selesai berjumpa supir yang bernama Sigit, kami menaiki Toyota Kijang/Innova dan terus ke Bandung dan singgah makan malam di Rumah Makan Sederhana 19 di hentian rehat lebuhraya menuju ke Bandung. Walaupun masih terasa kenyang dengan makanan dalam flight tadi, namun hidangan nasi padang dan teh tawar licin dihabiskan kami berlima.

Lauk masakan padang
Dalam perjalanan, kami berbual tentang perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Laos yang sedang berlangsung di Malaysia. Saya sibuk menghantar mesej kepada kakak saya untuk mengetahui tentang perkembangan bola sepak. Jam 11.00 malam, kami tiba di Hotel Cemerlang, Bandung. Selesai check in, masing-masing yang kepenatan membersihkan diri dan berehat untuk aktiviti seterusnya keesokan harinya.

Hotel penginapan kami selama 2 malam di Bandung
29/11/2012 Bandung-Tangkuban Perahu
Selesai sarapan pagi di hotel, kami lihat supir sudah bersedia di hadapan lobi untuk membawa kami bersiar-siar untuk hari tersebut. Destinasi pertama kami pagi itu adalah ke Tangkuban Perahu, sebuah kawah gunung berapi yang terletak di Gunung Sunda Purba. Di sini terdapat 7 buah kawah dimana hanya satu kawah yang masih aktif manakala yang 6 lagi sudah tidak lagi aktif. Perjalanan dari Bandung mengambil masa kira-kira 45 minit dan cuacanya agak dingin dan sejuk tapi tidaklah sampai perlu memakai sweater.
abah bergambar kenangan di Tangkuban Perahu
Sebaik kami sampai di sini, ramai yang berkerumun untuk menjual pelbagai barangan mereka. Keadaan tersebut membuatkan kami agak rimas dan lemas sehingga tidak dapat menikmati sepenuhnya keindahan kawasan tersebut.

antara peniaga yang tidak jemu-jemu mengekori kami di Tangkuban Perahu
Kemana saja kami pergi pasti ada yang menghampiri untuk menjual barangan mereka yang rata-rata harga yang ditawarkan sungguh tidak masuk akal.

Pemandangan sekitar Tangkuban Perahu
Di sini juga ada disediakan kemudahan seperti surau dan toilet. Harga bagi menggunakan toilet adalah Rp2,000 bersamaan 70sen duit Malaysia, yang saya rasakan agak mahal berbanding dengan kemudahan yang ditawarkan. Kami menghabiskan masa di sini kira-kira sejam untuk bergambar dan berehat-rehat dan bertolak ke destinasi seterusnya iaitu di Ciater Hotspring.

Sebahagian pemandangan kawah gunung berapi
Ciater Hotspring adalah kolam air panas tempat kita merendam kaki. Sebaik masuk sahaja di sini, kami diekori oleh 2 orang lelaki yang berpakaian kuning yang menjual aiskrim. Dia berbual-bual sambil menawarkan diri untuk mengurut kaki yang kita rendam dalam air panas tersebut.

Ciater atau Sari Ater Hotspring
Kebetulan mama dan abah yang sakit kaki kerana banyak berjalan diurut oleh mereka. Sambil merendam kaki, abah menawarkan untuk belanja aiskrim untuk kami berlima termasuk supir kami.

Tukang urut sedang mengurut kaki abah
Kami makan aiskrim sambil merendam kaki di kolam air panas itu dan diminta merasa air kolam tersebut yang mempunyai 3 rasa. Ya, benar 3 rasa. Ada rasa masam, masin dan payau. Pelik tapi itulah hakikatnya.

Pemandangan sekitar kolam air panas
Selesai merendam kaki disitu, kami dicaj Rp260,000! Harga tersebut adalah untuk aiskrim Rp20,000 atau RM7 setiap satu dan urutan Rp70,000 seorang. Memang harga yang tidak masuk akal untuk harga aiskrim tersebut! Tetapi disebabkan sudahpun menerima perkhidmatan dan aiskrim tersebut maka kami terpaksa membayarnya.

Selesai di kolam merendam kaki, kami ke kebun strawberi untuk membeli strawberi yang boleh dipetik sendiri. Kami bayangkan tempatnya adalah seperti di Cameron Highlands tapi amat jauh berbeza kerana tempatnya hanyalah sebuah halaman yang sebesar halaman rumah, ada beberapa batas pokok strawberi sahaja.

Adik yang sedang posing sambil memetik strawberi
Oleh kerana teringin dan alang-alang sudah sampai, kami memetik strawberi dan dapatlah dikumpul sebanyak 1/2 kilogram. Cukuplah untuk kami makan dalam perjalanan sambil menunggu lunch. Harga bagi 100 gram strawberi adalah Rp7,000, lebih murah berbanding di Cameron Highlands yang menjualnya dengan harga RM30 sekilogram.

Restoran masakan sunda
Kemudian, kami singgah makan tengahari di Rumah Makan Saung Balibu yang menghidangkan makanan sunda. Inilah yang kami nantikan kerana makanan sunda terkenal dengan ikan gourami gorengnya. Kami dihidangkan dengan pelbagai jenis lauk termasuk ikan gourami ini.

Ikan gourami goreng yang terkenal di sini
Memang sedap dan enak sekali makanannya. Kebetulan di hadapan restoran ini ada sederet gerai buah-buahan. Sempat juga kami membeli sesikat pisang, buah alpukat (avocado) dan buah jeruk (limau). Harganya murah dan berpatutan.

Gerai buah-buahan berhadapan restoran
Setelah selesai lunch, kami pulang semula ke Bandung dan singgah di Rumah Mode. Di sini terdapat pelbagai barangan fesyen yang terkini seperti pakaian, beg tangan dan pelbagai lagi. Tempatnya cantik dan moden dihias ala Bali. Kami tidak membeli apa-apa disini, sekadar mencuci mata dan bergambar di sekitar kawasan ini.

abah dan mama bergambar kenangan di Rumah Mode
Satu pengalaman yang agak kurang menyeronokkan ialah tentang tandasnya. Setiap tandas mempunyai pintu tetapi tidak mempunyai dinding di belakangnya. Ini bermakna, orang sebelah boleh mengintai atau pergi ke bilik air sebelahnya melalui bahagian belakang yang tidak mempunyai dinding. Keadaan tandas dengan rekaan sebegitu menyebabkan ketidakselesaan kepada pengguna dimana mereka sepatutnya lebih prihatin dengan keadaan tersebut kerana majoriti penduduknya beragama Islam.

abah bergambar kenangan dengan supir kami, Sigit
Supir membawa kami ke destinasi seterusnya iaitu di The Summit, Jalan Riau. Di sini juga dijual barangan dengan rekaan dan fesyen terkini dan masing-masing sempat membeli sehelai seorang baju dan blaus sebagai kenang-kenangan. Harga barangan disini berpatutan dengan pilihan design yang agak menarik. Oleh kerana kepenatan, kami meminta untuk pulang dahulu ke hotel untuk berehat sebelum makan malam.

Lauk pauk di Restoran D' Cost
Jam 7 malam, kami minta untuk makan di Restoran D' Cost, tempat yang dicadangkan oleh Yani, kenalan yang kami jumpa sewaktu dalam penerbangan ke sini. Yani yang sudah 8 kali berkunjung ke Bandung mencadangkan kami mencuba masakan di restoran ini yang menurutnya sedap dan harganya berpatutan. Kami dihidangkan dengan ikan gurami masak asin, sayur kangkung, sotong goreng, ikan bakar, dan beberapa jenis lauk lagi.

antara menu yang disediakan disini
Pada pendapat kami, rasa makanan disini tidaklah sesedap seperti yang diharapkan. Kami ada order tomyam tapi rasanya seperti sup kosong sahaja. Memang jauh berbeza dengan apa yang biasanya kita makan di Malaysia. Selesai makan malam, kami pulang berehat di hotel untuk aktiviti keesokan harinya.

30/11/12 Bandung-Jakarta
Selesai bersarapan di hotel, kami check out dan supir membawa kami ke tempat yang tidak sabar-sabar kami ingin kunjungi iaitu di Pasar Baru. Pasar Baru ini adalah sebuah gedung beli belah yang terdiri daripada 7 tingkat.

Pasar Baru Trade Center
Ia menjual pelbagai barangan seperti kain batik, kain pelikat, kopiah, telekung solat, jubah dengan pelbagai saiz dan corak, kaftan, baju batik, kain pasang, souvenier bandung, beg tangan, luggage dan macam-macam lagi.

harga beg yang memang murah di Pasar Baru
Pendek kata, semua barangan untuk dijadikan souvenier ataupun untuk keperluan diri sendiri ada dijual di sini. Harganya memang sangat-sangat murah. Ada yang murahnya 4 kali ganda berbanding Malaysia!

antara fesyen kain pasang terkini
Supir kami memperuntukkan masa 3 jam untuk shopping disini, tapi oleh kerana leka dan seronok sangat membeli belah, kami minta tambah lagi sejam kerana masih ada yang belum dibeli. Disini, sempat juga kami membeli kain pasang, telekung solat, jubah, baju batik, kaftan, beg, souvenier bandung seperti tshirt, keychain dan magnetic fridge. Abah pula sempat membeli blazer yang memang berganda-ganda murahnya berbanding di Malaysia.

Selesai di Pasar Baru, kami singgah lunch di Rumah Makan Sederhana Nasi Padang. Dek kelaparan dan kepenatan shopping, habis licin lauk yang dihidangkan.

trademark nasi padang dengan lauk pauk yang disusun atur
Jus jeruk yang dihidangkan juga memang sedap sekali. Selesai lunch, di hadapan restoran terdapat orang menjual buah durian.

Gerai durian depan restoran
Oleh kerana teringin mencubanya, kami meminta penjual membuka sebiji durian. Isinya tidaklah sesedap mana tapi harganya mak aiii mahal giler. Rp55,000 sebijik, hampir RM20 kalau di Malaysia.

Di Kartika Sari, tempat menjual brownies
Kemudian, kami singgah di Kartika Sari di Dago, Bandung untuk membeli brownies yang dikatakan sedap disini. Harga bagi sekotak brownies ialah Rp44,000 dan tahan untuk seminggu manakala harga bagi brownies kukus pula agak mahal tetapi mempunyai tarikh luput hanya 3 hari sahaja.

antara pilihan brownies di Kartika Sari
Kami membeli brownies almond, chocolate chips dan cheese kerana menurut supir, ketiga-tiganya adalah yang paling popular di sini.

Brownies yang selesai diborong oleh kami, hehe
Selesai membeli brownies, kami meneruskan perjalanan ke Jakarta pula. Dalam perjalanan, hubby minta untuk singgah di Institut Teknologi Bandung (ITB) untuk melihat kawasannya kerana menurutnya ada beberapa kenalannya yang pernah belajar di situ.

Institut Teknologi Bandung
Perjalanan ke Jakarta mengambil masa lebih lama berbanding masa kami datang dahulu. Hampir 5 jam kami dalam kenderaan berbanding hanya 3 jam masa yang sepatutnya. Dengan jem yang hampir tidak bergerak, kami terlepas makan malam kerana kebanyakan restoran hanya beroperasi sehingga jam 9 malam sahaja. Oleh kerana perut yang tidak berapa lapar ditambah kami yang sudah amat keletihan, kami meminta supir membawa kami ke restoran makanan segera Mc Donalds sahaja. Selesai mengalas perut ala kadar, kami check in Hotel Orchardz, Jakarta untuk berehat dan packing barang-barang shopping di pasar baru pagi tadi memandangkan esok kami akan pulang ke Malaysia.

Di Lobi Hotel Orchardz
1/12/2012 Jakarta
Kami bersarapan di hotel yang menyediakan makanan yang agak kurang kena dengan selera kami. Sudahlah tempatnya bising, ruang merokok dan ruang tidak merokok pun hanya bersebelahan meja sahaja seperti tidak ada bezanya ruang yang tidak merokok itu kerana turut dicemari asap rokok yang berkepul-kepul. Memang sungguh tidak selesa sekali keadaan tersebut. Sudahnya, kami hanya duduk berbual di restoran itu sahaja sambil menunggu masa berlalu untuk check out dan bersiar-siar di Jakarta pula pagi ini.

Selesai urusan check out, supir membawa kami bersiar-siar melawat kota Jakarta. Kami singgah di Masjid Istiqlal, iaitu sebuah masjid yang terbesar di Southeast Asia yang boleh memuatkan kira-kira 120,000 orang jemaah. Kemudian, kami melewati kediaman Presiden Indonesia, dan singgah di Monas iaitu singkatan bagi Monumen Nasional.

Masjid Istiqlal, Jakarta
Monas merupakan sebuah menara yang terdapat pelantar diatasnya untuk melihat seluruh kota Jakarta. Kami tidak berkesempatan naik ke menara Monas dek kekangan masa. Kami hanya sekadar bergambar kenangan di padang merdekanya sahaja dengan  berlatarbelakangkan bangunan ini. Sempat juga membeli tshirt Jakarta disini dan harganya masih sama seperti harga tshirt yang dibeli di Bandung.

adik bergambar kenangan di Monas, Jakarta
Kami kemudiannya ke destinasi seterusnya iaitu Taman Mini Indonesia. Ianya merupakan sebuah tempat yang menempatkan rumah dan adat budaya dari 33 daerah di Indonesia. Bagi mengenali lebih dekat kebudayaan dan adat setempat memang sangat elok berkunjung ke sini.

Rumah Minangkabau di Taman Mini Indonesia
Disebabkan tempatnya amatlah besar dan rumah-rumah disusun mengikut peta Indonesia, kami hanya berkesempatan melawat kepulauan Sumatera dan bergambar di rumah Minangkabau (Padang), Batak dan Melayu (Medan) serta Acheh.

Rumah Batak Karo di sebelah kiri manakala Rumah Melayu di sebelah kanan
Rumah di sekitar kepulauan Jawa, Kepulauan Sulawesi dan Kalimantan kami hanya mengambil gambar dari luar sahaja.

Di Daerah Jawa Tengah, tempat kelahiran supir kami
Supir membawa kami mengenali tempat asal usulnya iaitu di Jawa Tengah dan sempat juga kami melihat replika candi Borubudur dan minum Es Dawet Ayu Banjarnegara atau dalam bahasa Melayunya Cendol! hehehe...

Inilah Es Dawet Banjarnegara aka cendol
Matahari semakin terik dan perut sudah mula kelaparan. Jalan pula jem dek kesibukan kota Jakarta dan kebetulan pula ada demonstrasi jalanan yang lebih menambahkan kesesakan.

Demonstrasi di Jakarta
Kami sampai di Restoran Salero Jumbo dan dihidangkan dengan masakan padang. Kali ini hidangannya agak istimewa kerana ada kari kepala ikan merah.

Ada pelamin di restoran ini utk bergambar kenangan
Selesai makan dan bergambar di sekitar restoran ini, supir membawa kami ke pusat membeli belah Mangga Dua.

Kari kepala ikan, menu istimewa kami tengahari itu
Jam semakin menghampiri 4 petang dan flight kami adalah pada jam 7.25petang. Melihatkan keadaan yang sesak untuk masuk ke pusat beli-belah tersebut kami mengambil keputusan untuk berpatah balik dan terus sahaja ke airport. Bimbang juga kalau-kalau kami terperangkap dalam kesesakan dan terlewat ke airport. Lagi pula, rata-rata shopping telah pun kami lakukan di Bandung. Kalau adapun yang ingin dicari mungkin sedikit sahaja yang tidaklah begitu penting berbanding kerisauan kami dengan kesesakan di Jakarta pada waktu itu.

Kami sampai di airport jam 4.30 petang dan jam 5.30 petang kami masuk ke kaunter check in yang telahpun panjang barisannya. Mujur juga seat telahpun kami booking awal-awal jadi tidaklah terlalu risau. Selesai check in dan membayar airport tax di kaunter check in sebanyak Rp150,000 seorang, kami terus ke kaunter imigresen dan menunggu di balai berlepas. Sempat juga membeli kek lapis dengan penjual sebelum masuk ke balai berlepas bagi menghabiskan baki rupiah yang ada buat ole-ole pulang ke Malaysia.

antara ole-ole yang dibeli di Bandung
Indonesia kami tinggalkan dengan seribu satu kenangan. Yang pastinya kenangan paling menyeronokkan setiap dari kami adalah melihat dan belajar tentang kebudayaan sesuatu bangsa dan sesungguhnya kami rasa bertuah dilahirkan sebagai anak Malaysia. Kenangan membeli belah di Bandung juga amat menyeronokkan dan pastinya itulah sesuatu yang kami ingin ulangi lagi di masa-masa akan datang. Insya Allah, andai berkesempatan kami ingin pula melawat Padang dan Bukit Tinggi untuk mengenali lebih dekat budaya orang sana pula. Sampai jumpa lagi...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...