Friday, August 3, 2012

Hanya Kerana Wang...


Salam semua, hari ini saya nak kongsi satu kisah dan teladan yang saya baca dari akhbar Utusan Malaysia sisipan jawi yang saya terjemahkan dan salin semula di sini untuk perkongsian ilmu. Mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat kita renungkan dan ambil pengajaran daripadanya, insya Allah...

Seorang lelaki kaya sering termenung setiap petang di sebuah padang bola memikirkan tentang kehidupannya. Dia melihat kanak-kanak begitu gembira bermain bola dan tidak berkecil hati walaupun pasukan mereka tewas.

Lelaki itu mula terkenangkan kebahagiaan dan keindahan hidup semasa kecil. Tidak ada beban masalah, hidup bebas, ketawa riang dan sering bergurau senda. Ketika sedang termenung, tiba-tiba seorang lelaki tua menghampirinya dan menegurnya.
"Apa yang dirisaukan anak muda?", tanya lelaki tua itu.
"Saya ingin hidup seperti anak-anak itu, riang gembira, ceria, bebas, bahagia dan tidak ada masalah. Bagaimana caranya?", ujar lelaki kaya itu.

Lelaki tua itu kemudiannya mengambil wisel dari poket seluar dan meniupnya dengan kuat. Serentak dengan itu, permainan bola sepak terhenti dan lelaki tua itu memanggil kanak-kanak tersebut.
"Permainan yang bagus, anak-anak! Pakcik puas hati melihat perlawanan tadi. Mahukah anak-anak bermain lagi? Lelaki kaya itu ingin melihatnya. Kali ini dia akan menghadiahkan RM10 kepada penjaring gol", kata lelaki tua itu.

Kanak-kanak itu menerima permintaan itu dan dengan penuh semangat mereka memulakan perlawanan. Kali ini corak permainan berubah mendadak. Mereka menjadi serius, tidak ada gelak tawa lagi seperti perlawanan awal. Lelaki tua itu tersenyum melihat perubahan corak permainan.

Kedua-dua pasukan bermain dengan serius. Lelaki kaya itu masih tidak faham apa yang dimaksudkan oleh lelaki tua itu. Salah seorang pemain dijatuhkan oleh lawan. Dia sangat marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada rakan sepermainannya. Lelaki tua itu tersenyum.

Satu gol dijaringkan. Pasukan yang ketinggalan saling memaki dan menyalahkan antara satu sama lain. Mereka bukan lagi sebagai satu pasukan, hilang kepercayaan antara mereka dan memutuskan untuk bermain sendiri-sendiri. Lelaki tua itu tersenyum lagi.

Ketika permainan separuh masa kedua, pemain-pemain pasukan ketinggalan membawa bola sendiri-sendiri, tidak mahu mengagihkan kepada rakan kerana tamak dan mahu mengejar "hadiah" yang ditawarkan. Mereka tidak menghiraukan rakan sepasukan lagi. Keadaan ini menyebabkan bola mudah direbut lawan dan terhasil gol kedua.

Suasana permainan semakin teruk. Pasukan yang ketinggalan itu saling maki-memaki dan memarahi yang lain, selain cuba memukul rakan-rakan. Permainan itu benar-benar tidak menarik untuk ditonton. Lelaki tua itu meniup wisel menamatkan permainan. Dia memberi wang RM10 seorang kepada dua penjaring gol itu. Pemain-pemain kemudian balik ke rumah masing-masing sambil memaki hamun dan menyalahkan rakan-rakan sepasukan.

Lalu lelaki tua itu menjelaskan; "Kau lihat, hanya kerana RM10 permainan berubah mendadak. Daripada permainan santai kepada serius. Permainan yang mementingkan setiakawan dan kerjasama kepada yang mementingkan diri sendiri. Permainan yang sering hantar menghantar bola untuk satu matlamat berubah menjadi permainan penuh tamak demi mengejar kepentingan peribadi. Kau sedang berada pada tahap itu. Hidupmu gelisah, cemas, was-was, tidak aman dan sebagainya."

"Ini terjadi kerana kau terlalu beri keutamaan kepada satu perkara sehingga melupakan segala keindahan yang kau perolehi. Kita memang perlukan wang tetapi janganlah kerana wang kita meninggalkan segalanya"

"Lihat hanya kerana RM10, semangat anak-anak itu turun, mereka memaki hamun rakan-rakan. Tidak mustahil kalau esok lusa, tidak akan ada lagi permainan indah seperti sebelum ini", ujar lelaki tua itu mengakhiri perbualan.

Sumber: Utusan Malaysia, sisipan jawi di bahagian Kisah dan Teladan, 30/6/2012

2 comments:

  1. good n3..panduan buat semua..moga hati kita tidak di gelapkan ALLAH

    ReplyDelete
    Replies
    1. amin..mudah2an kita sntiasa bersyukur dgn apa yg dikurniakan oleh-Nya..

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...