Wednesday, June 27, 2012

What to buy in Kuching, Sarawak

1. Ikan Terubuk Masin
Ikan Terubuk Masin yang dijual di Sarawak ini terdiri daripada Ikan Terubuk Tempatan dan Ikan Terubuk Import. Harga bagi ikan tempatan biasanya lebih mahal berbanding yang diimport. Ikan ini sebenarnya adalah ikan terubuk segar yang disapu garam bagi menjaga kesegarannya. Harga bagi setiap terubuk pula adalah bergantung kepada saiznya. Terubuk yang dibeli akan diletakkan ke dalam plastik dan dibungkus rapi ke dalam kotak untuk di bawa pulang ke semenanjung.

Terubuk masin di Pasar Satok
Pembeli dinasihatkan agar mengeluarkan terubuk tersebut daripada bungkusan sebaik sahaja sampai ke rumah dan membasuh bersih-bersih ikan tersebut bagi menghilangkan garam yang ada. Kemudiannya, terubuk tersebut direndam selama 20 minit dan disimpan ke dalam freezer. Apabila hendak masak, barulah dikeluarkan ikan tersebut 30 minit lebih awal. Ini merupakan tips yang diberikan kepada kami oleh penjual ikan terubuk di Pasar Satok. Masakan yang bersesuaian pula adalah Asam Pedas Ikan Terubuk, Masak Lemak Cili Api, Gulai Kuning atau boleh juga digoreng atau dibakar mengikut selera masing-masing.

2. Kek Lapis Sarawak

Terdapat pelbagai pengusaha kek lapis di Kuching ini antaranya Kek Lapis Dayang Salhah, Kek Lapis Liza, dan Kek Lapis Rabiah Amit. Saya sekeluarga biasanya akan membeli di Dayang Salhah sahaja kerana lokasinya yang mudah dicari. Ianya hanya terletak di seberang sungai atau boleh memandu sendiri ke sini.

Pelbagai jenis kek lapis yang boleh dicuba
Menurut pekerja disini, kek lapis yang paling mahal yang dijual disini adalah Kek Lapis India kerana menggunakan coklat Cadbury cair yang agak mahal harganya. Harga bagi kek lapis india tersebut ialah RM25 bagi sebiji kek. Kek lapis terbahagi kepada dua jenis iaitu yang menggunakan butter atau marjerin. Kek yang menggunakan butter lebih lembab dan lemak rasanya berbanding yang menggunakan marjerin. Pelbagai jenis kek lapis dijual disini dan pengunjung boleh mencuba semua jenis kek yang dijual disini seperti menjamu kuih muih di Hari Raya. huhu.. Antara kek yang menjadi pilihan kami ialah Cadbury, Dragon Cheese, Sisik Ikan, Lapis India, Sayang Sarawak dan Nur Kasih.

3. Sarawak Pepper
Sarawak Pepper yang kami beli di Bazar Waterfront, Kuching
Perkara ketiga yang perlu ada dalam senarai beli belah apabila melawat ke Kuching ialah Sarawak Pepper. Pelbagai jenis pepper yang dijual yang telah siap dibungkus di dalam plastik atau botol ada di sini. Harga bagi Lada putih kebiasaannya lebih mahal sedikit berbanding Lada Hitam.

4. Rempah Laksa Sarawak
Perencah Laksa Sarawak Hj Manan
Rempah Laksa Sarawak menjadi satu kemestian bagi saya setiap kali berkunjung ke Kuching kerana saya sekeluarga amat gemarkan Laksa Sarawak. Rempah pilihan kami sudah semestinya Rempah Laksa Sarawak Haji Manan yang dijual dengan harga RM3.50 sebungkus dan satu rempah boleh dimasak untuk 6 orang dewasa. Kadang-kadang saya memborongnya hingga 6 bungkus untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur. hehehe...

5. Pua Kumbu
Pua Kumbu sebagai hiasan dinding
Pua Kumbu ini pada suatu ketika dulu amat popular di kalangan pelancong yang berkunjung ke Sarawak. Selain boleh dijadikan alas meja, ianya juga boleh digantung di dinding ataupun sekadar perhiasan yang dihias mengikut kreativiti masing-masing. Harganya juga tidaklah mahal kalau sekadar ingin membawa pulang sebagai cenderehati buat ahli keluarga dan para sahabat.

6. Pasu Sarawak
Pasu Sarawak yang dibeli 5 tahun dulu sebagai cenderahati
Saya tidak pasti senarai ini masih relevan untuk dimasukkan disini. Seingat saya lima tahun yang lepas ramai juga yang membeli pasu sarawak untuk dibawa pulang ke semenanjung tetapi sekarang agak berkurangan berbanding dulu. Mungkin trend pasu sarawak sudah menjadi perkara biasa dan pelancong sudah mula inginkan kelainan dalam shopping list mereka.

7. Tikar Sarawak
Tikar Sarawak pelbagai corak dan saiz
Tikar Sarawak juga menjadi satu kemestian bagi pelancong yang pulang dari bercuti di Kuching. Selain harganya yang berpatutan dan kemasan yang cantik, pembeli diberi pilihan untuk membawanya pulang sendiri atau boleh juga dipos ke semenanjung menggunakan perkhidmatan Pos Malaysia. Pelbagai jenis corak dan saiz ada ditawarkan dan pembeli hanya perlu memilih dan tawar menawar harganya dengan penjual tikar sarawak ini.

8. Souvenier
Gula-gula lada hitam
Satu kemestian apabila berjalan ke mana-mana cenderehati seperti keychain dan magnetic fridge sering menjadi pilihan popular di kalangan para pelancong. Selain harganya yang murah, ia juga mudah dibawa dan tidak memerlukan ruang yang besar untuk dibawa pulang. 

keychain pelbagai corak
Tshirt juga menjadi pilihan pelancong sebagai cenderahati untuk diri sendiri selain membelikannya untuk kanak-kanak dan anak saudara. Jika inginkan kelainan sedikit, pengunjung boleh juga membeli gula-gula lada hitam yang rasanya pedas-pedas manis...

Friday, June 22, 2012

Review : Restoran Sakura Kristal, Taman Melawati KL

Salam sahabat semua, semoga kalian sihat dan ceria-ceria selalu. Kali ini saya nak review tentang sebuah restoran yang sudah banyak kali dikunjungi oleh saya dan suami. Kunjungan kami disini kadang-kadang ditemani oleh ahli keluarga yang datang bertandang dan kami berkesempatan membawa mereka makan malam disini..

Restoran Sakura Kristal, Taman Melawati
Restoran ini terletak di Taman Melawati dan amat mudah dilihat kerana terletak betul-betul di tepi MRR2 sebelah kiri menghala ke Ampang. Restoran ini juga mendapat sijil halal daripada JAKIM. Dekorasi dan susun atur restoran ini juga agak kemas dan cantik dilengkapi dengan tumbuhan hijau di sekeliling restoran.

Restoran Sakura Kristal
Setiap kali menjamu selera di sini, kami suka memilih western food sebagai sajian kami. Sebagai starter, saya dan suami gemar memilih Corn Tostadas selain Mushroom Soup dan Garlic Bread. Rasanya sungguh enak dan sedap. Maklum sajalah, bagi saya yang pertama kali mencuba masakan mexico seperti Tostadas ini agak teruja dengan kelainan rasanya.

Makanan Mexico, Corn Tostadas sebagai starter
Hidangan utama pula, suami gemar memilih Fish and Chips (RM13), Dory Fish with Vinegar Sauce (RM15) selain Lambs Tacos (RM16) manakala saya pula gemar bertukar-tukar selera kerana ingin mencuba pelbagai hidangan yang ditawarkan.

Lambs Tacos
Hidangan yang pernah saya cuba disini ialah Grilled Chicken Chop (RM16), Beef Steak (RM21), Lasagna (RM18), Mixed Grill (RM32), dan Chicken Panini Sandwich (RM17). Minuman pula, kami biasanya memesan Fruit Juice seperti Mango, Orange, Watermelon ataupun minuman panas seperti Americano Coffee dan Hot Milo.

Chicken Panini Sandwich
Selain masakan Barat, restoran ini juga menyediakan masakan asia dengan pelbagai pilihan. Hidangan yang pernah kami cuba pula ialah seperti Laksa Penang, Curry Mee, Penang Char Kuetiaw, Nasi Goreng Indonesia dan Vietnam Beef Soup.
Dory Fish with vinegar sauce 
Setakat ini kami amat berpuas hati dengan hidangan dan masakan disini yang pada kami menepati kehendak pelanggan yang selalu inginkan makanan yang sedap dengan servis yang bagus dan harga berpatutan.

Grilled Chicken Chop
Sebagai hidangan pencuci mulut pula, kami pernah mencuba Banana Split dan Brownies with Ice Cream. 

Desserts kami : Brownies with Ice cream
Bagi yang ingin mencuba pelbagai hidangan daripada masakan Barat, Mexican, Asian dan macam-macam lagi, anda bolehlah berkunjung disini. Pasti ianya tidak akan menghampakan anda. Selamat menjamu selera!

Friday, June 15, 2012

Enam Teka Teki Imam Al-Ghazali

Assalamualaikum sahabat yang dirahmati Allah, hari ni saya nak sambung perkongsian ilmu tentang kisah Imam al-Ghazali. Saya pasti ramai diantara kita yang sudah tahu atau pernah terbaca tentang teka teki Imam al-Ghazali ini. Apapun buat yang sudah mengetahuinya, anggaplah ia sebagai revision dan buat yang belum pernah mengetahuinya, saya kongsikan di sini buat manfaat bersama...


Pada suatu hari, Imam al Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya. Lalu Imam Ghazali bertanya "Apa yang paling dekat dengan kita di dunia ini?" Murid-muridnya menjawab, "Orang tua, guru, kawan dan sahabatnya". Imam Ghazali menjelaskan semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita adalah MATI. Sebabnya, sememangnya janji Allah SWT bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati. (Al Imran : 85).

Lalu Imam Ghazali meneruskan pertanyaan kedua. "Apa yang paling besar di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab, "Negara China, bulan, matahari dan bintang-bintang". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah MASA LALU. Walau dengan apa cara sekalipun kita tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu, kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan dan amalan yang sesuai dengan ajaran Islam.

Lalu Imam Ghazali meneruskan dengan pertanyaan yang ketiga. "Apa yang paling besar di dunia?". Murid-muridnya menjawab "Gunung, bumi dan matahari". Lalu Imam Ghazali menjawab "Semua jawapan itu benar tapi yang paling besar daripada apa yang ada di dunia ini adalah NAFSU" (al-A'araf : 179). Maka kita harus berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa kita ke neraka.

Pertanyaan yang keempat adalah "Apa yang paling berat di dunia ini?" Ada yang menjawab "Besi dan Gajah". Kata Imam Ghazali, "Semua jawapan adalah benar tetapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH" (al-Ahzab : 72). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, malaikat semua tidak mampu ketika Allah meminta mereka untuk menjadi khalifah (pemimpin di dunia ini). Tetapi manusia dengan sombongnya menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak daripada manusia masuk ke neraka kerana tidak dapat memegang amanahnya.

Pertanyaan yang kelima adalah "Apa yang paling ringan di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab "Kapas, angin, debu dan daun-daunan". Jawab Imam Ghazali, "Semua itu adalah benar tetapi yang paling ringan di dunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT". Gara-gara pekerjaan, bermesyuarat kita meninggalkan solat dengan begitu mudah dan ambil ringan pula mengenainya.

Dan pertanyaan keenam adalah "Apakah yang paling tajam di dunia ini?". Murid-muridnya menjawab dengan serentak, "Pedang". Jawab Imam Ghazali, "Benar. Tetapi yang paling tajam adalah LIDAH MANUSIA kerana melalui lidah, manusia selalu menyakiti hati dan perasaan saudaranya sendiri".

Tuesday, June 12, 2012

Masak-Masak : Nasi Bukhara Ayam

Salam semua, sesekali menukar selera saya suka mencuba pelbagai jenis resepi. Nasib baiklah juga suami saya mudah mencuba resepi yang saya masak. Itu yang menambah lagi semangat saya. hehe.. Kali ini saya mencuba memasak nasi bukhara ayam menggunakan resepi yang saya ambil dari Puan Hanieliza.

Beras yang saya gunakan dalam gambar dibawah bukanlah beras basmathi tetapi beras Kalijira yang dihadiahkan oleh kawan suami yang baru pulang dari negaranya di Bangladesh. Menurut kawan suami, beras Kalijira ini merupakan beras yang paling mahal di dunia dan dianggap sebagai "Prince of Rice". Kalau tidak silap harganya lebih kurang RM25 untuk sekilo beras. Bau beras ini sangatlah harum dan wangi. Rasanya pun lebih sedap berbanding beras Basmathi.

Saya memasak nasi bukhara ayam ini berbeza sedikit berbanding tuan punya asal resepi kerana saya menggunakan pressure cooker supaya lebih cepat dan mudah. Bagi yang ingin mencuba, boleh juga memasak ayam terlebih dahulu di dalam kuali dan kemudian masukkan ke dalam rice cooker untuk dimasak bersama nasi. Mana-mana kaedah pun akan menghasilkan nasi bukhara yang sama. huhu...

Nasi Bukhara Ayam menggunakan Beras Kalijira
Bahan-bahannya:
1 ekor ayam dipotong 8
4 cawan beras basmathi (dibasuh dan direndam 20 minit)
10 ulas bawang merah (dikisar)
4 ulas bawang putih (dikisar)
3 cm halia (dikisar)
rempah tumis secukupnya (bunga lawang, kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih)
3 sudu besar rempah kurma (dibancuh)
1 sudu besar sos tomato (dibancuh)
1/2 cawan susu cair/ plain yogurt (dibancuh)
2 biji buah tomato (dipotong)
1 liter air
1 pokok daun ketumbar (dipotong pendek)
4 sudu besar minyak sapi
garam dan gula secukupnya

Cara-caranya;
1. Panaskan minyak sapi dan tumiskan rempah tumis hingga naik bau.
2. Kemudian, masukkan bahan-bahan yang telah dikisar tadi.
3. Setelah naik bau, masukkan pula rempah yang telah dibancuh dan kacau rata hingga wangi dan garing.
4. Masukkan pula air, garam dan gula. Biarkan mendidih.
5. Setelah mendidih, masukkan ayam dan buah tomato. Kacau rata.
6. Masukkan kesemua bahan ke dalam pressure cooker dan masak selama 20 minit.
7. Selepas 20 minit, tutup api dan biarkan selama 20 minit lagi sehingga ayam masak empuk.
8. Selepas ayam empuk, buka pressure cooker dan keluarkan ayam tadi.
9. Tuang kuah selebihnya ke dalam rice cooker dan masukkan beras. Masukkan daun ketumbar dan kacau sebati. Tambah air secukupnya kalau perlu dan masak nasi seperti biasa.
10.  Bila nasi sudah masak, gemburkan nasi menggunakan kayu chopstick supaya nasi tidak patah. Hidangkan nasi bersama ayam, gulai dalca dan acar timun.

Selamat mencuba!

Tuesday, June 5, 2012

Jalan-Jalan Cari Makan di Kota Bharu

Assalamualaikum sahabat semua, bercerita tentang jalan-jalan cari makan ini, saya nak kongsi pengalaman cari makan di Kota Bharu yang menurut kata orang seperti syurga makanan. Pada mulanya, bagi saya dan suami agak sukar mencari makan di bandaraya Islam ini kerana balik-balik kami akan ke tempat makan yang sama sahaja iaitu di kedai makan berdekatan Pasar Siti Khadijah.

Namun kunjungan kami dua bulan lepas ke bandaraya ini mengubah selera dan jejak langkah kami hingga kami sanggup memandu jauh dari Kuala Lumpur semata-mata ingin ke Kota Bharu lagi..hehehe..Senarai tempat makan yang saya kongsikan di sini adalah hasil cubaan kami sendiri dan juga rekomendasi daripada staf hotel tempat kami menginap...

1. Restoran Yati Ayam Percik
Restoran Yati Ayam Percik
Restoran ini menyediakan nasi kerabu dan nasi putih dengan pelbagai jenis lauk pauk seperti ayam goreng kampung, gulai daging kawah, solok lada dan macam-macam lagi. Hidangan istimewa di kedai ini pastinya ayam perciknya yang lembut dan sedap.
Hidangan makan malam kami
Pengunjung boleh memilih kuah ayam percik putih ataupun merah. Di sini juga banyak terdapat kuih-kuih tradisional negeri Kelantan bagi yang ingin mencubanya. Harganya juga berpatutan.
Pelbagai kuih muih terdapat di sini
Kami juga berkesempatan mengunjungi cawangan restoran ini di Bangi tetapi ayam percik di Bangi kami rasakan tidak sesedap di Kota Bharu. Pastinya di tempat asal lebih menyelerakan! huhuhu...

2. Restoran Nasi Ulam Cikgu
Restoran Nasi Ulam Cikgu
Melihatkan nama restoran ini pasti tertanya-tanya apakah nasi ulam tersebut. Sebenarnya nasi ulam itu adalah nasi putih yang dimakan bersama pelbagai jenis ulam-ulaman. Ianya terletak di Kg Budaya, berdekatan dengan Istana Batu dan Masjid Sultan Muhammad.
Pelbagai ulaman terdapat disini
Restoran ini hanya menyediakan makan tengahari dan disediakan secara buffet ala-ala dewan kenduri kawin. huhu.. Pengunjung hanya perlu mengambil seberapa banyak hidangan yang diinginkan dan hidangan buah tembikai diberikan secara percuma.
Tempat makan di restoran ini
Pengunjung juga dinasihatkan datang awal berikutan ramai yang datang menjamu selera disini. Ketika kunjungan kami juga, kami diberikan surat khabar sinar harian secara percuma!
Hidangan tengahari kami
Kami berpuas hati menjamu selera disini kerana selain masakannya yang sedap, harganya amatlah murah.. huhuhu...

3. Food Village
Pintu gerbang Food Village
Restoran ini pula terletak di sebelah kiri jalan menuju ke Lapangan Terbang. Ia menyediakan makanan laut secara steamboat.
Buffet 
Pengunjung boleh memilih segala makanan yang dihidangkan secara buffet dengan harga rm19.90 seorang bagi dewasa. Kami berkunjung ke sini pada malam terakhir kami di Kota Bharu.
Steamboat kami
4. Restoran KST Nasi Ulam Ikan Bakar
Nasi Ulam di Negeri Kelantan ini sudah menjadi satu trademark. Restoran ini terletak di Wakaf Che Yeh. Kalau memandu daripada Kota Bharu menuju Kuala Krai, restoran ini terletak di sebelah kiri jalan, iaitu betul-betul di tepi signboard yang tertulis 'Wakaf Che Yeh'. Setakat ini sudah dua kali kami berkunjung ke restoran ini kerana ingin menikmati ikan bakarnya yang sungguh sedap hingga menjilat lengan! hehehe... Pengunjung juga boleh memilih ulam-ulaman yang pelbagai jenis disini dan bagi yang inginkan masakan panas, ianya juga disediakan di restoran ini.

5. Pasar Siti Khadijah
Pasar Siti Khadijah
Pasar ini adalah destinasi wajib kami setiap kali berkunjung ke Kota Bharu kerana kami sangat gemarkan kuih muih yang pelbagai jenis yang dijual disini. Nama kuih muihnya juga agak pelik seperti Puteri Mandi, Cekmek Molek, Tahi Itik, Jala Emas, Sekaya, Nekbat dan macam-macam lagi.
Antara jenis kuih yang kami cuba
Saya cadangkan pada sesiapa yang ingin merasai suasana negeri kelate ini, cubalah segala jenis kuih muih yang ada. Pasti ada satu yang kena dengan selera anda! huhu...

6. Goreng-goreng di Pantai Cahaya Bulan
Saya tidak tahu apa yang orang gelarkan segala jenis makanan laut yang digoreng dan dicicah dengan sos tersebut namun saya dan keluarga memanggilnya dengan nama 'goreng-goreng'. Terdapat pelbagai jenis makanan laut seperti ikan kembung, ketam, udang, sotong dan bebola ikan yang digoreng celup tepung. Makanan ini pasti menjadi hidangan wajib setiap kali pulang ke kampung abah di negeri Kelantan.
Inilah yang kami panggil 'goreng-goreng'
Kami sekeluarga lebih gemar menikmati goreng-goreng ini di Pantai Irama sambil menikmati bayu laut yang mendamaikan dan juga sambil menghirup ABC ataupun cendol disini. Sudah pasti ianya menggamit nostalgia zaman kami kecil-kecil dahulu disini..
Goreng-goreng yang siap dihidang
Sebenarnya banyak lagi tempat makan yang bagus dan sedap di Kota Bharu tetapi kami masih belum berkesempatan untuk mencubanya. Bandaraya ini bukan sahaja terkenal sebagai syurga makanan tetapi juga membeli belah. Sambil membeli belah, pasti tidak melepaskan peluang menjamu selera di sini.

Terdapat juga beberapa lagi tempat makan yang kami suka seperti makan Satar di Pantai Bisikan Bayu dan Akok Panas di Tumpat iaitu jalan menghala ke Pengkalan Kubur. Pendek kata apabila di bandaraya ini, perut sentiasa kenyang kerana rugi sekiranya melepaskan peluang mencuba pelbagai jenis makanan disini. huhuhu..Bagi kami, bandaraya Kota Bharu sudah menjadi satu destinasi percutian yang tidak akan jemu untuk kami kunjungi berkali-kali di masa akan datang...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...