Friday, May 25, 2012

Kisah Mengenai Nazar dan Anjing Hitam


Salam semua, untuk tazkirah hari ni saya nak kongsi satu kisah yang saya ambil daripada Majalah Anis bulan Ogos 2002 yang saya salin semula untuk sama-sama kita baca dan ambil pengajaran daripada kisah ini..

Terdapat sepasang suami isteri yang begitu teringin untuk mendapatkan seorang anak. Bertahun-tahun dinanti dan pelbagai usaha dilakukan namun hasrat mereka masih gagal. Sehinggalah pada suatu hari, si isteri bernazar "Jika aku mengandung, aku akan minum air kencing anjing hitam". Tanpa diduga, permintaannya itu dimakbulkan oleh Allah SWT dan si isteri mengandung. Pasangan ini menjadi terlalu gembira dan bersyukur kepada Allah.

Mengingatkan kembali nazar itu, isteri tersebut menceritakan kepada suaminya. Demi terlalu sayangkan isteri dan anak yang dikandung, suami pun pergilah mencari anjing yang dihajati. Sesuatu yang bukan mudah untuk diperolehi, berhempas pulaslah si suami mencari dari kampung ke kampung, bertanya dari seorang ke seorang yang ditemui. Ada yang mentertawakannya dan tidak kurang juga yang mengejeknya sebagai orang gila.

Lelaki itu tidak mempedulikan kata-kata orang. Akhirnya bertemulah dia dengan seekor anjing hitam yang sedang membuang air kecil. Segera ditadahnya air kencing anjing hitam tersebut dan dibawanya pulang dengan hati yang gembira. Apabila tiba di rumah, timbul pula masalah lain. Melihat kepada rupa dan bau yang menjijikkan, isterinya tidak sanggup menelannya biarpun berkali-kali dicuba. Mereka buntu memikirkan apa yang harus dilakukan mereka sedangkan mereka telahpun bernazar. Mereka berasa risau yang amat sangat.

Akhirnya, mereka pergi bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal yang sebenar. Rasulullah SAW dengan tenang memberitahu bahawa di hujung kampung ada sebuah rumah yang ahli keluarganya tidak menunaikan solat. Sabda baginda SAW " Apabila hujan turun di atas bumbung rumah tersebut, kamu tadahlah airnya dan minum. Air hujan itu samalah seperti air kencing anjing hitam itu".


Kisah ini menunjukkan kepada kita betapa perlunya kita menunaikan solat dan menghidupkan amalan solat dalam rumah kita tempat dimana kita tinggal dan diami. Pentingnya solat bukan sahaja sebagai tiang agama malah malaikat juga tidak akan datang ke rumah yang ahlinya tidak bersolat. Maka mudah-mudahan dapat sama-sama kita renungkan dan ambil iktibar daripadanya..insya Allah...

Thursday, May 10, 2012

Sembang Santai : Pantang Larang Keturunan



Salam semua, agak-agaknya kan, pernah atau tidak ibu dan ayah mahupun datuk dan nenek menyebut apa-apa tentang  pantang yang tidak boleh dilanggar? Saya ingat lagi di awal tahun perkahwinan, suami pernah menyebut bahawa keturunannya tidak boleh memakan ikan tapah. Mendengarkan perkara itu, saya hanya tertawa kerana saya rasa sungguh mengarut betul pantang larang ini semua. Masih wujud lagi kah pantang larang di zaman yang serba moden ini? Saya ingatkan pantang larang ini cuma wujud disebabkan zaman dulu-dulu datuk dan nenek kita belajar daripada pengalaman dan pemerhatian. Kalau dirasakan perkara tu tidak sesuai dilakukan maka dilarang anak cucu mereka daripada melakukannya. Maka daripada situlah wujudnya pantang larang tersebut.

Tapi itukan zaman dahulu yang pada ketika itu ilmu yang ada hanyalah terbatas kepada pengalaman dan pemerhatian sahaja. Zaman ini yang sudah canggih dengan pelbagai teknologi yang serba moden, masih wujudkah atau masih relevankah pantang larang ini? Bagi keluarga yang memang mempunyai pantang larang ini, adakah yang berani melanggarnya atau masih terus mengikutinya dengan alasan sudah menjadi pantang larang keturunan?

Dek kerana selalu sangat saya mengusik suami kerana pantang larang keturunannya, maka hendak dijadikan cerita rupanya keluarga saya juga mempunyai pantang larang. Semasa kami pulang ke kampung awal tahun lepas, sempatlah saya bercerita dengan ibu saya tentang pantang larang keturunan ini. Rupa-rupanya menurut ibu saya, nenek memang ada melarang keturunan kami daripada menjamah ikan kekacang.

Ikan kekacang yang ditemui di Tioman

Ikan kekacang? Seumur hidup saya, belum pernah saya dengar nama ikan tersebut. Bagaimana dengan rupanya? Sedap ke rasa ikannya? Kalau sebelum ini saya selalu juga mengusik suami tentang pantang larang keturunannya, maka kali ini giliran suami pula mengusik saya! Rupa-rupanya keturunan kami pun ada pantang larang yang tak boleh makan ikan kekacang.

Kebetulan, ketika bercuti dengan keluarga di tioman bulan mei yang lepas kami berkesempatan melihat sendiri ikan kekacang yang dipancing oleh seorang lelaki di jeti Kg Salang. Ikan kekacang merupakan ikan dari spesis ikan barracuda. Berikut kisah mengenai Ikan kekacang ini yang saya petik dari kebunketereh.com

MisteriPengembaraan 3 Putera Raja
Kisah asal-usul keturunan Long Gaffar dikatakan bermula dengan pengembaraan tiga orang putera raja dari Pagar Ruyung yang tidak dapat dikenalpasti siapakah mereka itu sebenarnya, kerana riwayat lisannya 
(VLG) hanya menyatakan mereka adalah putera-putera raja dari Pagar Ruyung, Palembang, di mana menurut tradisinya di kalangan raja-raja yang mengamalkan Adat Perpateh yang diwarisi dari tanah adat di Pagar Ruyung, apabila seseorang dalam suatu keluarga khasnya keluarga diraja dilantik menjadi raja, maka saudara-saudaranya yang lain dari keluarga diraja berkenaan yang tidak terpilih menaiki takhta kerajaan itu semestinya mengembara keluar negeri membawa haluan masing-masing untuk mencari pengalaman hidup, menuntut ilmu dan menanamkan semangat keperwiraan yang tinggi dalam dirinya. Dalam hubungan ini, didapati tiga orang putera diraja yang bersaudara dari Pagar Ruyung dikatakan telah keluar meninggalkan tanah air mereka, ibarat jika, untung sabut timbul dan jika untung batu tenggelam”. Mereka terpaksa meredah hutan belantara dan melayari lautan dengan menggunakan jong (bahtera) yang lengkap dengan segala peralatannya. Namun nasib tidaklah menyebelahi mereka, ke rana sebaik-baik sahaja mereka berada di tengah laut tiba-tiba di takdirkan Allah ribut kencang telah melanda bahtera mereka dan sekaligus karam di laut yang menyebabkan mereka tiga bersaudara itu terpisah tanpa arah dan tujuan. Tetapi, dengan berkat doa dan tawakal sejatinya kepada Allah Ta`ala, mereka terselamat sampai ke daratan.. Putera Tengah yang dikatakan datuk Long Gaffar telah dapat menyelamatkan dirinya dengan berpaut kepada apa sahaja yang terapung di laut dan tiada siapa pun yang menyangka dan mengetahuinya, tiba-tiba seekor `ikan ke kacang’ yang besar telah membawanya ke persisiran pantai di utara Tanah Melayu. Ia merupakan suatu keajaiban dan luar biasa sekali yang menyebabkan putera itu terfikir sejenak di mana hati kecil (dhamir)nya berbicara seketika, di mana baginya tidak mungkin sama sekali bagi seekor ikan yang kebiasaannya makanan manusia itu dapat menolongnya melainkan dengan kudrat dan iradat Allah Ta`ala. Sejak itu, lantaran terhutang budi dan nyawanya kepada makhluk penyelamat itu, dan peristiwa ini seolah-olah menjadi suatu sumpahan kepadanya dan zuriatnya sehingga melarang dirinya dan zuriatnya memakan ikan kekacang, di mana barangsiapa dari kalangan mereka memakannya maka buruklah padahnya.


Menurut kata orang-orang tua, mereka selalu berpesan kepada anak cucu mereka secara turun temurun supaya jangan sesekali memakan ikan kekacang ini sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Ini dibimbangi takut melanggar sumpahan atau janji yang telah dibuat oleh Putera Tengah iaitu Datuk kepada Long Ghaffar. Menurut mereka lagi, jika termakan ikan ini, mereka akan ditimpa MUSIBAH berbentuk PENYAKIT kulit seperti gatal dan sebagainya. 


Saya sebenarnya kurang pasti dengan kesahihan cerita tentang pantang larang ini tetapi sebagai hamba Allah, perjanjian sesama makhluk itu seharusnya dipegang sampai bila-bila. Penyakit mahupun musibah hanyalah dengan kuasa Allah semata-mata dan tiada kaitan dengan keajaiban atau kekuasaan mahkluk Allah atas muka bumi ini..


Pendapat saya, selagi boleh mengelak memakan ikan kekacang ini, akan saya elakkan. Lagipun, banyak lagi jenis ikan lain yang boleh dimakan bukan terhad kepada ikan ini sahaja. Percaya atau tidak tentang pantang larang ini, semuanya harus berbalik kepada Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap segala sesuatu. Mudah-mudahan dapat sama-sama kita renungi dan ambil iktibar daripadanya..

Tuesday, May 1, 2012

Kisah Imam Ghazali Dengan Perompak Dan Seekor Lalat


Salam sahabat semua, kali ni saya nak kongsikan sebuah kisah yang saya dapat daripada artikel zaman saya belajar dulu. Masa kemas buku-buku dan fail-fail lama tempoh hari, saya terjumpa artikel tersebut dan menaipnya semula disini untuk dikongsi bersama. Mudah-mudahan dapat sama-sama kita ambil manfaat daripadanya..

Sewaktu pulang dari Jarjan menuju kampungnya di Thusia, segerombolan perompak padang pasir telah menyerang rombongan yang disertai oleh Imam Ghazali. Mereka merampas harta yang ada pada rombongan itu. Antara yang dirampas ialah catatan ilmu yang dipelajari oleh beliau dari gurunya di Jarjan iaitu Imam Abu Nashir Al-Ismaili.

Imam Ghazali menemui ketua perompak itu dan meminta agar catatannya dipulangkan kerana beliau sangat menyayangi dan menghargainya. Mendengar permintaan Imam Ghazali, ketua perompak itu bertanya secara menyindir "Untuk apa catatan ini wahai anak muda? Bukankah engkau telah menghafal dan memahami seluruh isi kandungannya?"

Namun begitu, ketua perompak akhirnya memulangkan kembali catatan tersebut kepada Imam Ghazali. Selepas peristiwa itu, Imam Ghazali menghafal seluruh isi catatannya itu dan apabila menghadiri majlis-majlis ilmu, beliau lebih mengutamakan pemahaman yang sungguh-sungguh dari sekadar mencatat. Beliau benar-benar terkesan dengan sindiran ketua perompak itu.

Benarlah kata hukama " Jangan engkau melihat kepada sesiapa yang berkata tetapi lihatlah apa yang dikata".

Setelah Imam Ghazali wafat, Mufti Damsyik ketika itu telah bermimpi bertemu dengan Imam Ghazali di suatu tempat yang indah. Apabila Mufti tersebut bertanya kepadanya bagaimanakah beliau boleh berada di tempat yang sebegitu indah, Imam Ghazali menjawab " Ini adalah rahmat dan kasih sayang Tuhanku. Pernah ada suatu ketika sewaktu aku sedang mengarang kitab Ihya' Ulumuddin di atas loteng Masjid Umawi, seekor lalat hinggap di atas bekas dakwatku untuk menghilang dahaganya. Aku membiarkan ia minum dakwat tersebut hinggalah ia selesai dan puas. Setelah lalat itu terbang dari bekas dakwat tersebut, barulah aku menyambung semula kerja-kerja penulisanku yang terhenti sebentar.

Kisah ini memberi gambaran betapa Imam Ghazali benar-benar menulis berdasarkan rasa hati. Beliau hayati benar-benar kesepaduan ilmu dan amal yang dikehendaki oleh Islam. Walaupun dari sudut fiqh, tidak menjadi kesalahan jika beliau menghalau lalat tersebut dari bekas dakwatnya itu, namun beliau tidak berbuat begitu.

Ilmu tentang akhlak yang terdapat dalam tasawuf telah sebati dengan dirinya. Dalam keadaan asyik, hatinya mudah tersentuh melihat seekor lalat yang seolah-olah menagih simpati untuk berhenti menghilangkan dahaga. Begitu halus perasaan beliau hatta terhadap seekor lalat yang kecil.

Imam Ghazali pernah bermuzakarah (berbincang) dengan orang-orang yang terdiri dari pelbagai pemikiran dan aliran fahaman. Baginya muzakarah diniatkan untuk mencari kebenaran bukan mencari kemenangan. Justeru itu, beliau tetap senang hati jika kebenaran itu datang dari orang lain.

Pernah suatu ketika, selepas keluar dari majlis muzakarah, Imam Ghazali memuji orang yang bermuzakarah dengannya di hadapan orang lain sambil berkata "Hebat akalnya!" Sedangkan orang yang dipujinya itu keluar dari majlis itu dengan bangga sambil memperkecilkan ilmu Imam Ghazali.

Pesan Imam Ghazali, jangan sampai kita jemu melakukan sesuatu kebaikan oleh sebab kekerapan melakukannya sebagaimana kita jemu dengan makanan yang selalu kita makan. Amalan, walau sebesar habuk sekalipun tetap dinilai di sisi Allah. Dan Allah sahaja yang tahu kecil atau besar nilai sesuatu amalan yang kita buat dan amalan manakah yang menyebabkan Dia menurunkan rahmat-Nya kepada kita...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...