Monday, March 19, 2012

Kisah Mengenai Doa, Rezeki dan Penjual Tempe



Salam sahabat semua,

Lama saya menyepikan diri dan kali ini saya nak berkongsi satu kisah yang menarik yang mudah-mudahan dapat kita ambil manfaatnya sama-sama. Kisah ini diceritakan oleh suami saya bagi memujuk hati dan perasaan saya mengenai rezeki dan doa..Kisah ini suami saya baca daripada bahagian Kisah dan Teladan sisipan jawi Akhbar Utusan Malaysia. Semoga menjadi iktibar, pengajaran, dan pembakar semangat buat diri ini dan kita semua, insya Allah...

Ada sebuah kampung dimana ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, hanya separuh menjadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringatkan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin". 

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. 

Namun dia tidak berputus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin". 

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum termakbul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. 

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa dan meneruskan perjalanan. Sampai di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. 

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun cemas seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan. 

Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula berkurangan. 

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.." 

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. 

"Maaf ya, saya ingin bertanya, makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.  

Sebelum menjawab sapaan wanita di hadapannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin". 

Dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Hatinya sungguh gembira dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. 

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum menjadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari kampung. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum menjadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. 

Perempuan tua itu pun kehairanan, berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah. Dia bersyukur kerana Allah mengetahui apa yang terbaik buatnya. 

Benarlah, perancangan Allah itu lebih cantik dan sempurna untuk hamba-Nya. Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita sedangkan kita sering mendesak doa dan kehendak kita dimakbulkan-Nya.. Tiada yang mustahil bagi Allah apabila Dia makbulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita. 

Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang kita doakan kerana kita seharusnya percaya dan bersangka baik dengan Allah bahawa Dia ada rancangan yang terbaik buat kita. Letaklah sepenuh kepercayaan kita kepada Allah dan setelah kita berusaha, bertawakallah kita kepada-Nya..Sebagai hamba-Nya yang lemah, sentiasalah berdoa tanpa jemu dalam menjalani kehidupan seharian kita...Mudah-mudahan doa kita yang tidak putus-putus itu dimakbulkan-Nya dan Dia mengurniakan sesuatu yang terbaik dan amat indah buat kita nanti…Amin...

6 comments:

  1. assalamualaikum..

    Tiada siapa yang tahu ape yang tersirat dari ape yang berlaku...Ketahuilah bahawa hanya Allah yang tahu akan segala sesuatu..maka yakinilah akan Zat2 ALLAH

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam...

      benar kata puan, segala apa yang berlaku hanya Dia Yang Maha Mengetahui rahsia disebaliknya...sebagai hamba-Nya kita harus sentiasa yakin dan bertawakal kepada-Nya...

      Delete
  2. betul tu..setiap yang Tuhan aturkan untuk kita itu sbnrnya adalah yang terbaik dari-Nya..oleh itu, wajar kita bersyukur dan redha dengan segala ketentuan-Nya..berkatnya, kita akan merasa manisnyer kemudian..
    cerita ni sangat2 menarik dan baik utk dikongsikan sebagai peringatan sesama kita.. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye benar puan hanie, setiap apapun yg berlaku itu adalah yg terbaik untuk kita..
      Kita merancang, Allah juga merancang, maka perancangan Allah adalah yang terbaik kerana Dia sebaik-baik perancang...
      terima kasih kerana sudi singgah, baca dan komen..mudah2an dapat kita kongsikan manfaatnya sama2...

      Delete
  3. Pepatah omputih ada kata "Be mindful of what you asked for as you may not like it after all." Macam citer atas tu lah lebih kurang...

    ReplyDelete
    Replies
    1. yela betul jugak..padanlah org kata "be careful what you wish for" kan sbb kadang2 kita rasa apa yg kita minta tu yg terbaik utk kita sedangkan ada yg lebih baik yg Allah dh sediakan utk kita..:-)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...