Saturday, March 31, 2012

Review : Restoran Prince of Persia, Wangsa Maju

Restoran Prince of Persia
Salam semua, cuti krismas tahun lepas kami berkesempatan mencuba hidangan makanan arab dan iran di sebuah restoran yang baru dibuka di Wangsa Link, Wangsa Maju. Disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan, maka entry ni baru dapat disiapkan untuk saya kongsikan disini. Restoran ini diberi nama Prince of Persia yang terletak bersebelahan dengan Restoran Cheng Ho milik rocker terkenal Amy Search . Disebabkan saya dan suami bukan peminat masakan cina, maka kami belum berkesempatan ke Restoran Cheng Ho. Kebetulan, ketika mengunjungi Restoran ini kami ditemani oleh tiga orang tetamu kami iaitu kak ngah, abang ngah dan baby zulaikha.

Tabuleh
Dekorasi restoran ini agak kemas dan cantik dan terdapat sebuah pentas hiburan bagi band atau penyanyi yang akan menghiburkan pengunjung bermula jam 8.30 malam. Sebagai hidangan pembuka selera, kami memilih Tabuleh dan Hummus.
Hummus
Manakala sebagai hidangan utama pula Lamb Koobideh Kebab, Barberry Rice with Chicken, Bakhtiari Kebabs dan Lamb Shank with Dill Rice.

Barberry Rice with Chicken
Dan minuman pula kami memilih Iranian Tea. Harga yang ditawarkan juga berpatutan dengan hidangan yang disediakan.

Kobideh Kebab
Secara keseluruhan, rasa makanannya biasa-biasa sahaja mungkin juga kerana hidangan makanan iran sememangnya kurang "spice" berbanding makanan lebanon mahupun arab. Rasa lauknya pada saya agak hambar dan biasa-biasa sahaja. Tetapi pujian harus diberikan pada saiz hidangan dan persembahan. Memang menarik! Teh iran pula pada saya kurang sedap berbanding arabic tea ataupun mint tea. Walaupun dengan saiz hidangannya yang mengenyangkan dan menarik tetapi kepuasan menikmati makanan dengan rasa spice yang banyak tidak kami perolehi dengan hidangan tersebut di restoran ini.

Bakhtiari Kebabs
Setelah selesai menikmati hidangan makanan di sini, kami memutuskan akan kembali ke restoran ini untuk mencuba hidangan-hidangan lain yang mungkin juga rasanya lebih sedap berbanding hidangan yang telah kami pilih tersebut. Bagi yang menggemari kelainan rasa masakan timur tengah, bolehlah berkunjung ke sini dan selamat menjamu selera!

Friday, March 23, 2012

Sembang Santai : Jangan Biarkan Isterimu Menangis...


Salam sahabat semua,

Entry kali ini agak berlainan sedikit tapi rasa-rasa saya cukup penting untuk dikongsikan bersama. Ia ditujukan buat para suami yang cintakan isterinya agar sentiasa menghargai isterinya..Buat isteri di luar sana pula, teruskan menghargai suami anda dan kongsikanlah artikel ini bersama dengan suami kalian. Mudah-mudahan ada manfaatnya untuk kita semua...Insya Allah...

Jika isteri menangis di hadapanmu, hargailah ia sebelum terlewat..
Jika seorang isteri menangis di hadapanmu, itu bererti dia tidak dapat menahannya lagi…
Jika kau memegang tangannya saat dia menangis, dia akan tinggal bersamamu sepanjang hidupmu..
Jika kau membiarkannya pergi, dia tidak akan kembali menjadi dirinya yang dulu, selamanya!


Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah, 
kecuali di hadapan orang yang sangat dia sayangi, dia akan menjadi lemah!
Seorang isteri tidak akan menangis dengan mudah, hanya jika dia sangat menyayangimu...
Dia akan menurunkan rasa egonya.


Wahai suami, jika seorang isteri pernah menangis keranamu,
tolong pegang tangannya dengan penuh pengertian..
Kerana dia adalah orang yang akan tetap bersamamu sepanjang hidupmu disaat kau terpuruk terlalu dalam...
Wahai suami, jika seorang isteri menangis keranamu, tolong jangan mensia-siakannya...
Mungkin kerana keputusanmu, kau merosakkan kehidupannya..
Saat dia menangis di hadapanmu, saat dia menangis keranamu, lihatlah jauh kedalam matanya.
Dapatkah kau lihat dan kau rasakan sakit yang dirasakannya keranamu?


Apakah keistimewaan wanita ini?
Disebalik kelembutannya, dia memiliki kekuatan yang begitu dahsyat..
Tutur katanya merupakan kebenaran..
Senyumannya adalah semangat bagi orang yang dicintainya...
Pelukan dan ciumannya bisa memberi kehangatan bagi suami dan anak-anaknya..


Dia tersenyum bila melihat temannya tertawa..
Dia terharu, dia menangis bila melihat kesengsaraan pada orang-orang yang dikasihinya...
Dia mampu tersenyum disebalik kesedihannya..
Dia sangat gembira melihat kelahiran..
Dia begitu sedih melihat kematian..
Titisan air matanya bisa membawa perdamaian..


Tapi dia sering dilupakan oleh SUAMI kerana satu hal…
Bahawa betapa BERHARGANYA dia...

Monday, March 19, 2012

Kisah Mengenai Doa, Rezeki dan Penjual Tempe



Salam sahabat semua,

Lama saya menyepikan diri dan kali ini saya nak berkongsi satu kisah yang menarik yang mudah-mudahan dapat kita ambil manfaatnya sama-sama. Kisah ini diceritakan oleh suami saya bagi memujuk hati dan perasaan saya mengenai rezeki dan doa..Kisah ini suami saya baca daripada bahagian Kisah dan Teladan sisipan jawi Akhbar Utusan Malaysia. Semoga menjadi iktibar, pengajaran, dan pembakar semangat buat diri ini dan kita semua, insya Allah...

Ada sebuah kampung dimana ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, hanya separuh menjadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringatkan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu dia pun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin". 

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sedikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. 

Namun dia tidak berputus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagi-Mu. Bantulah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin". 

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum termakbul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak. 

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa dan meneruskan perjalanan. Sampai di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. 

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun cemas seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dimakbulkan. 

Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia merasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula berkurangan. 

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.." 

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. 

"Maaf ya, saya ingin bertanya, makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.  

Sebelum menjawab sapaan wanita di hadapannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya "Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin". 

Dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Hatinya sungguh gembira dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. 

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum menjadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari kampung. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum menjadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. 

Perempuan tua itu pun kehairanan, berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Allah. Dia bersyukur kerana Allah mengetahui apa yang terbaik buatnya. 

Benarlah, perancangan Allah itu lebih cantik dan sempurna untuk hamba-Nya. Allah lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita sedangkan kita sering mendesak doa dan kehendak kita dimakbulkan-Nya.. Tiada yang mustahil bagi Allah apabila Dia makbulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita. 

Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang kita doakan kerana kita seharusnya percaya dan bersangka baik dengan Allah bahawa Dia ada rancangan yang terbaik buat kita. Letaklah sepenuh kepercayaan kita kepada Allah dan setelah kita berusaha, bertawakallah kita kepada-Nya..Sebagai hamba-Nya yang lemah, sentiasalah berdoa tanpa jemu dalam menjalani kehidupan seharian kita...Mudah-mudahan doa kita yang tidak putus-putus itu dimakbulkan-Nya dan Dia mengurniakan sesuatu yang terbaik dan amat indah buat kita nanti…Amin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...