Friday, December 9, 2011

Masak - Masak : Puding Karamel

Puding Karamel

Assalamualaikum sahabat semua, atas permintaan beberapa orang yang minta saya tuliskan resepi ini, maka terhasillah entry terbaru saya untuk hari ini iaitu puding karamel atau juga dipanggil puding gula hangus. Dulu, saya pernah membuat puding ini mengikut resepi mama saya tapi malangnya disebabkan mama ingat-ingat lupa resepinya dek kerana sudah lama tak membuatnya, maka hasilnya puding karamel saya tak berapa menjadi. Kali ini, saya membuatnya mengikut resepi dari Alia di MYR dengan sedikit olahan. Terima kasih buat Alia yang sudi kongsi resepi yang sedap ini.

Hubby sebenarnya kurang menggemari puding ini kerana setiap kali saya membelinya di bazar ramadhan atau pasar malam, dia tak pernah menyentuhnya. Tapi berbeza kali ini, selepas bersarapan pun hubby minta hidangan ini sebagai pencuci mulut! Malah, satu loyang yang saya buat malam kelmarin sudahpun habis pagi tadi. Begitu berselera hubby menikmatinya. Buat pengetahuan semua, puding karamel yang menggunakan resepi ini rasanya tidak begitu manis berbanding yang dibeli dan rasa gula karamelnya benar-benar menepati citarasa kami. Ok, banyak pula saya berceloteh, hehe... Jom tengok bahan-bahannya.


Bahan-bahannya: (saiz loyang 16cm)
KARAMEL
5 sudu besar gula
2 sudu besar air
PUDING
1 tin susu cair/susu segar 400ml
5 sudu besar gula halus
3 biji telur saiz A (pada suhu bilik)
2 biji telur kuning saiz A (pada suhu bilik)
2-3 titik esen vanilla

Cara-caranya;
1. Mula-mula, sediakan karamel. Masukkan 5 sudu gula ke dalam kuali dengan 1 sudu besar air. Masak di atas api yang paling perlahan. Bila gula sudah sedikit perang, masukkan 1 sudu lagi air. Masak sehingga kesemua gula cair dan menjadi perang. Kemudian, terus tuang gula karamel tadi ke dalam loyang. Ketepikan.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan 3 biji telur dan 2 biji telur kuning. Kacau sedikit dan masukkan 5 sudu gula sedikit demi sedikit. Kacau perlahan sehingga adunan sebati tetapi jangan sampai adunan telur tersebut berbuih.

3. Masukkan sedikit demi sedikit susu ke dalam telur tadi. Kacau sehingga sebati. Kemudian, titiskan esen vanilla ke dalam adunan dan kacau lagi perlahan-lahan hingga sebati.

4. Setelah adunan sebati, tuang adunan ke dalam loyang yang telah diiisi gula karamel tadi. Tutupkan loyang dengan aluminium foil.

5. Kemudian, didihkan air dalam periuk kukusan. Bila air sudah mendidih, masukkan loyang tersebut dan kukus puding dengan api sederhana selama 30 minit.

6. Bila puding sudah masak, keluarkan loyang daripada periuk kukusan. Jangan buka aluminium foil. Biarkan 5 minit. Kemudian, bolehlah dibuka untuk menyejukkannya.

7. Bila puding sudah sejuk, terbalikkan puding ke atas pinggan leper dan simpan dalam peti ais.

8. Puding karamel sedap dihidangkan sejuk.

1 comment:

  1. nampak simple..bila ada masa nanti, bolehlah cuba buat..huhuhu..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...