Saturday, December 31, 2011

Review : Mee Kari di Gerai Pantai Batu Hitam, Kuantan

Gerai Mee Kari di Pantai Batu Hitam, Kuantan

Salam semua, rasanya ini entry terakhir untuk tahun ini memandangkan esok kita akan melangkah masuk ke tahun baru iaitu 2012. Walaupun tahun berganti tetapi azam saya tetap sama dan tidak berubah..huhu. Oklah, kali ni saya hendak kongsi satu tempat makan mee kari sedap yang terletak di pantai timur. Tempatnya hanyalah di sebuah gerai di tepi pantai menghadap Laut China Selatan. Memandangkan saya dan keluarga memang peminat mee kari, kesempatan menikmati mee kari di Pantai Batu Hitam baru-baru ini tidak kami lepaskan peluangnya. Gerai-gerai di Pantai Batu Hitam ini kebanyakannya telah berniaga bertahun-tahun lamanya. Saya dan dua orang kakak saya pun memang dilahirkan di Kampung Batu Hitam berdekatan pantai ini.

Pemandangan Pantai Batu Hitam dari gerai mee kari 

Menikmati mee kari di gerai ini memang membangkitkan suasana ketika zaman kami kecil dulu apabila setiap petang abah dan mama akan membawa kami bermain di tepi pantai ini. Apabila tiba waktu hendak maghrib barulah kami akan pulang ke rumah dan mandi membersihkan diri. Bezanya kali ini kami mengunjungi pantai ini bersama pertambahan ahli keluarga yang baru iaitu para menantu dan cucu mama dan abah..hehe...Betapa jauhnya jarak masa yang telah dilalui...

Mee kari di Gerai Batu Hitam Top Ten Ent, Pantai Batu Hitam, Kuantan Pahang

Di gerai ini, kami sekeluarga memilih mee kari special sebagai pilihan dan minumannya pula masing-masing memilih laicikang sejuk. Harga bagi setiap mangkuk mee kari adalah RM5.50, manakala mee kari special pula adalah RM6.00, harga yang saya rasa sangat berpatutan dengan rasa dan saiz hidangannya. Rasanya memang sangat sedap dengan rencah dalam mee karinya ada udang segar, ayam, telur, kerang dan pelbagai lagi rencah yang menyedapkan mee kari ini. Belum pernah rasanya saya menikmati mee kari sesedap ini kerana saya agak cerewet dengan mee kari mahupun nasi ayam yang dimakan atau dibeli di luar. Tapi mee kari ini memang tiada tandingannya. Walaupun agak lama menunggu mee kari disiapkan tapi hidangan, rasa dan persembahannya sungguh diluar jangkaan! Tidak rugi mencubanya bagi penggemar mee kari di luar sana jika anda berkesempatan mengunjungi Kuantan.

Friday, December 9, 2011

Masak - Masak : Puding Karamel

Puding Karamel

Assalamualaikum sahabat semua, atas permintaan beberapa orang yang minta saya tuliskan resepi ini, maka terhasillah entry terbaru saya untuk hari ini iaitu puding karamel atau juga dipanggil puding gula hangus. Dulu, saya pernah membuat puding ini mengikut resepi mama saya tapi malangnya disebabkan mama ingat-ingat lupa resepinya dek kerana sudah lama tak membuatnya, maka hasilnya puding karamel saya tak berapa menjadi. Kali ini, saya membuatnya mengikut resepi dari Alia di MYR dengan sedikit olahan. Terima kasih buat Alia yang sudi kongsi resepi yang sedap ini.

Hubby sebenarnya kurang menggemari puding ini kerana setiap kali saya membelinya di bazar ramadhan atau pasar malam, dia tak pernah menyentuhnya. Tapi berbeza kali ini, selepas bersarapan pun hubby minta hidangan ini sebagai pencuci mulut! Malah, satu loyang yang saya buat malam kelmarin sudahpun habis pagi tadi. Begitu berselera hubby menikmatinya. Buat pengetahuan semua, puding karamel yang menggunakan resepi ini rasanya tidak begitu manis berbanding yang dibeli dan rasa gula karamelnya benar-benar menepati citarasa kami. Ok, banyak pula saya berceloteh, hehe... Jom tengok bahan-bahannya.


Bahan-bahannya: (saiz loyang 16cm)
KARAMEL
5 sudu besar gula
2 sudu besar air
PUDING
1 tin susu cair/susu segar 400ml
5 sudu besar gula halus
3 biji telur saiz A (pada suhu bilik)
2 biji telur kuning saiz A (pada suhu bilik)
2-3 titik esen vanilla

Cara-caranya;
1. Mula-mula, sediakan karamel. Masukkan 5 sudu gula ke dalam kuali dengan 1 sudu besar air. Masak di atas api yang paling perlahan. Bila gula sudah sedikit perang, masukkan 1 sudu lagi air. Masak sehingga kesemua gula cair dan menjadi perang. Kemudian, terus tuang gula karamel tadi ke dalam loyang. Ketepikan.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan 3 biji telur dan 2 biji telur kuning. Kacau sedikit dan masukkan 5 sudu gula sedikit demi sedikit. Kacau perlahan sehingga adunan sebati tetapi jangan sampai adunan telur tersebut berbuih.

3. Masukkan sedikit demi sedikit susu ke dalam telur tadi. Kacau sehingga sebati. Kemudian, titiskan esen vanilla ke dalam adunan dan kacau lagi perlahan-lahan hingga sebati.

4. Setelah adunan sebati, tuang adunan ke dalam loyang yang telah diiisi gula karamel tadi. Tutupkan loyang dengan aluminium foil.

5. Kemudian, didihkan air dalam periuk kukusan. Bila air sudah mendidih, masukkan loyang tersebut dan kukus puding dengan api sederhana selama 30 minit.

6. Bila puding sudah masak, keluarkan loyang daripada periuk kukusan. Jangan buka aluminium foil. Biarkan 5 minit. Kemudian, bolehlah dibuka untuk menyejukkannya.

7. Bila puding sudah sejuk, terbalikkan puding ke atas pinggan leper dan simpan dalam peti ais.

8. Puding karamel sedap dihidangkan sejuk.

Monday, December 5, 2011

Masak-Masak : Nasi Kabsa Ayam

Salam semua, hari ni saya nak share satu resepi yang sangat sedap dari negara Arab. Resepi ni saya dapat dari Puan Raidah dan diolah serba sedikit menurut selera dan bahan yang ada sahaja. Minta izin ye kak! hehe.. Dalam masa sebulan, sudah 3 kali saya memasak nasi ini atas permintaan hubby kerana menurutnya dengan hidangan sebegini bayar rm40 sepinggan pun dia sanggup! hehe..pujian melambung nampaknya! Terima kasih sekali lagi buat Puan Raidah atas resepi yang sungguh jujur dan lazat ini.. Ok, meh tengok bahan-bahannya:

Bahan-bahannya : (hidangan untuk 4-5 orang dewasa)

1 ekor ayam dipotong empat.
3 cawan beras basmati ~ cuci dan rendam 20 minit dan ditoskan
4 1/2 cawan air panas
2 sudu minyak masak
1 sudu minyak sapi
Rempah tumis (1 batang kayu manis, 3 biji buah pelaga, 2 biji bunga cengkih)
1 biji bawang besar - dipotong dadu
3 ulas bawang putih - dipotong dadu
1 batang karot - dipotong dadu
1 biji buah tomato - dikisar
2 sudu tomato puri
1/2 sudu kecil pewarna kuning atau saffron
1 sudu besar rempah kabsa
1 biji lemon hitam/kering - dicucuk bahagian tengahnya (saya tak letak sebab tak jumpa)
1 biji lada bengala merah/hijau - dipotong dadu
1 sudu kecil lada hitam biji/serbuk
2 biji cili merah ~ jgn potong
segenggam kismis
Garam secukup rasa dan gula (jika suka)

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dan minyak sapi. Tumiskan kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga, bawang putih dan besar dan goreng sehingga wangi.
2. Masukkan buah tomato, tomato puree, lemon, saffron/pewarna kuning dan rempah kabsa dan goreng sebentar.
3. Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga ayam empuk. Tambahkan garam secukup rasa dan juga sedikit gula.
4. Masukkan carrot, lada benggala, cili merah, kismis dan beras. Masukkan air panas secukupnya dan masaklah nasi sehingga masak.
5. Gembur nasi bila nasi betul-betul masak menggunakan chopstick selepas 30 minit supaya nasi tidak hancur/patah.

*Nasi ini enak dihidangkan dengan sos cili hijau dan arabic salad seperti tabouleh atau fattoush.

Thursday, December 1, 2011

Review : Restoran Pegaga, Ukay Boulevard


Salam semua, dua minggu lepas kami berkesempatan makan malam di sebuah restoran baru yang terletak di Ukay Boulevard berhampiran zoo negara. Restoran ini secara amnya menawarkan hidangan masakan melayu ala carte tetapi melihatkan harga yang ditawarkan, kami tidak jadi mencuba hidangan tersebut dan memilih hidangan lain sebagai makan malam kami.

Pilihan masakan melayu ala carte
Dekorasi restoran ini agak menarik dan kemas dengan pemilihan warna putih dan hijau sebagai tema. Kekemasan dan susun aturnya juga menambat hati kami untuk menjamu selera disini.

Dekorasi yang menarik bertemakan warna putih dan hijau
Kami memilih hidangan fish and chips dan chicken chop sebagai menu makan malam kami dan minumannya pula kami pilih black coffee dan neslo sejuk. Secara keseluruhannya, hidangan yang dihidangkan agak sedikit bahagiannya. Hubby pun sempat complain katanya dengan hidangan sebegitu dia masih lagi merasa lapar. Ada benarnya juga kerana kami biasa juga makan makanan ala barat di restoran yang satu lagi tidak jauh dari restoran ini dan hidangannya cukup mewah dan ditawarkan dengan harga yang sama malah rasanya jauh lebih sedap.

Chicken chop yang ku harapkan kuahnya blackpepper tapi bukan!
Hidangan kami hanya disertakan dengan sedikit kentang goreng yang halus dan salad. Sedangkan di restoran yang menawarkan hidangan yang sama, menu hidangan ini dihidangkan bersama wedges, coleslaw dan sepotong garlic bread. Harga yang dikenakan untuk hidangan ini juga agak mahal berbanding saiz hidangannya. Setelah selesai makan malam dan melihat kepada bil kami yang dicaj 10% sebagai cukai, kami memutuskan untuk tidak menjejakkan kaki ke restoran ini lagi.

Fish and chips yang rasa ikannya menurut hubby macam ikan keli bukan ikan dori!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...