Thursday, April 7, 2011

Sembang Santai : Suami Romantik

Saya sering mendengar dan membaca keluhan para isteri yang mengatakan suaminya tidak romantik. Bagaimana pula dengan anda di luar sana? Romantikkah suami anda?

Saya hairan bagaimana yang dikatakan romantis oleh isteri tersebut? Mungkin kita terlalu didedahkan dan dihidangkan dengan definisi romantik oleh filem-filem barat, hindustan, korea dan sebagainya. Romantik digambarkan dengan sering memberi bunga, menghantar kad ucapan, menghadiahkan coklat atau teddy bear besar, berjalan berpimpin tangan, membuat kejutan harijadi atau ulangtahun mahupun memeluk dan mencium di khalayak ramai.

Romantik suami sangat subjektif. Ada suami yang tidak pernah ingin memegang tangan isterinya ketika berjalan-jalan. Ada juga suami yang tidak memberikan lagu-lagu romantis untuk isterinya. Ada juga suami yang tidak pernah memberikan apa-apa hadiah hari lahir apatah lagi membuat kejutan di hari-hari istimewa tersebut.

Namun adilkah si isteri menuduh suaminya tidak romantik hanya kerana suaminya tidak melakukan perkara-perkara seperti dalam kemahuannya? Tidak terfikirkah isteri bahawa suaminya yang sesekali membantunya memasak itu romantik? Bahawa suami yang sesekali membantunya membuang sampah itu romantik? Bahawa suami yang sesekali menolongnya membasuh baju itu romantik? Bahawa suami yang sesekali mencuci bilik air itu romantik?

Ye, memang kelakar bunyinya kerana romantik itu disamakan dengan kerja-kerja rumah. Tapi itulah hakikatnya! Pada saya, romantik suami ini memang sangat subjektif. Kita tak akan pernah duga apa yang bermain dalam fikiran suami. Saya lebih gemar romantik ini diterjemahkan dalam bahasa yang hanya pasangan itu sahaja yang faham, bukan seperti apa yang digambarkan dalam filem-filem Barat..

Mungkin sesekali ketika sedang memandu kereta, suami akan memegang tangan anda dan menggengamnya erat-erat. Mungkin juga sesekali suami menjaga anda ketika demam dan sanggup berjaga malam untuk memastikan demam dan suhu badan anda berkurangan. Mungkin juga sesekali suami mengajak anda makan di luar tanpa anda perlu bersusah payah memasak. Mungkin juga sesekali selepas solat berjemaah anda mencium tangannya bersalaman dan suami mencium dahi anda. Mungkin juga sesekali ketika anda menghantarnya ke muka pintu untuk suami pergi bekerja dia akan mencium tangan anda. Mungkin juga sesekali ketika menonton televisyen dia akan menyandarkan kepala anda ke bahunya. Mungkin  juga sesekali suami memberi kejutan pulang awal dari tempat kerja kerana ingin meluangkan lebih masa dengan anda. Mungkin sesekali suami belikan sesuatu makanan atau barang kegemaran anda. Terlalu banyak yang boleh disenaraikan disini betapa bertuahnya kita memiliki suami kita yang sememangnya romantik..

Begitulah suami. Bersyukurlah anda mempunyai suami yang sayang dan cintakan anda. Biarlah dia tidak romantis seperti yang digambarkan dalam filem-filem Barat tetapi yang lebih penting dia romantik berdasarkan apa yang suami terjemahkan dalam cinta dan kasih sayangnya pada kita. Sebagai suami yang sayang dan cintakan amanah Allah dari saat dia melafaz akad menerima kita sebagai suri hidupnya, suami pastinya akan menjaga kita dengan penuh cinta dan kasih sayang. Moga-moga cinta dan kasih sayang itu berkekalan hingga ke syurga. Insya Allah...

2 comments:

  1. salam..bagus entri ni dikongsikan bersama..

    memang, saya selalu merasakan suami saya tidak romantik sampaikan dia pernah berkata "cariklah org yang romantik.."

    namun saya tidaklah bermaksud sedemikian..huhu..

    suami saya pernah masakkan saya sesuatu adakalanya, dan pernah satu ketika saya demam dan muntah muntah gara-gara morning sickness, dia men jaga saya dengan menuamkan air suam dicampur dengan asam jawa ke kepala saya kerana saya tidak boleh makan ubat..disitu, saya sangat merasakan kasih sayangnya yang tulus buat saya..

    mungkin ada benarnya, kita terlalu terpengaruh dengan filem-filem barat hingga mentafsirkan romantik mestilah begitu sedangkan ia adalah sesuatu yang subjektif.. :)

    ReplyDelete
  2. ye betul tu..sepatutnya suami kita lah orang yang paling romantis untuk kita betul tak. Dan janganlah pula kita harapkan suami je romantik, kita pun sebagai isteri perlulah romantik juga! Barulah ceria dan bahagia rumahtangga..:)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...