Tuesday, April 19, 2011

Nostalgia : Kenangan Zaman Sekolah


Salam semua..
Hampir dua minggu blog ni takde post yang baru..Sibuk skit minggu lepas dengan pelbagai perkara. So hari ni aku nak cerita2 tentang kenangan zaman sekolah dulu..

Baru-baru ini ketika menyiapkan makanan kegemaran suami aku teringat zaman persekolahan dulu. Aku teringat bagaimana susah payahnya mama bangun di awal pagi dan menyiapkan kuih-muih untuk dijual. Aku masih ingat mama akan mengejutkan kami untuk bersiap ke sekolah dan kuih muih untuk jualan sudahpun siap dibungkus. Tugas aku dan kakak setiap hari ialah membawa kuih-muih dan laksam ke gerai Makcik Senah di simpang tiga untuk dijual. Dalam perjalanan mengayuh basikal di waktu pagi sambil ditemani seorang lagi sahabat kami iaitu Ina kami akan singgah ke gerai tersebut menghantar kuih-muih. Zaman tersebut kuih muih masih dijual dengan harga 15-20 sen sebiji tidak seperti zaman sekarang yang harganya mencecah 50 sen sebiji dan saiznya pula semakin mengecil!

Ketika pulang dari sekolah dan singgah semula di gerai tersebut, pengalaman paling indah ialah ketika mengambil semula bekas-bekas kosong yang didalamnya kedengaran bunyi duit-duit syiling yang berlaga-laga tanda kuih muih tersebut habis dijual! Waktu itu terasa ingin ku kayuh basikal laju-laju untuk ku khabarkan pada mama berita gembira itu. Pada ketika itu aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi menambah perasaan gembira mama yang bertungkus lumus membesarkan kami dan susah payah abah yang bekerja siang malam mencari rezeki...

Aku masih ingat basikalku ada bakul di bahagian depan yang memudahkan aku meletakkan laksam. Kuih muih aku gantung di handle basikal. Mengayuh basikal ke sekolah pada waktu itu merupakan pengalaman yang paling berharga kerana hanya kami bertiga sahaja yang berbasikal ke sekolah. Sekolah tersebut memang agak terkenal dengan sekolah untuk anak-anak orang elit di Kuantan. Kebanyakan kawan-kawan sekolah kami pada waktu itu pergi dan pulang dari sekolah dihantar dan dijemput oleh ibubapa mahupun pemandu masing-masing. Pulang dari sekolah kami akan singgah membeli aiskrim di kedai runcit Makcik Normah dan menyambung perjalanan menyusuri perkampungan dan perumahan Tok Sera. Sesekali apabila rakan sekelasku Rahimah menyertai kami pulang berbasikal dia akan mempelawa kami singgah untuk makan tengahari di rumah neneknya...

Setiap orang pasti mempunyai resepi dan cerita sendiri bagaimana kehidupan yang pernah dilaluinya. Apapun yang pernah dilalui dulu ia pastinya telah mencorak dan mewarnakan hidup kita untuk menjadi diri kita seperti hari ini...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...