Monday, February 21, 2011

Nostalgia : Permainan Rakyat

Sesekali kita bercerita tentang nostalgia ini seronok jugak kan..Sesuatu yang kalau kita teringat mesti senyum sorang-sorang je..Permainan budak-budak perempuan zaman sekolah rendah dulu bukan setakat main masak-masak, doktor-doktor tapi pelbagai lagi yang rasanya mungkin budak-budak zaman sekarang dah takde dah pengalaman macam tu..Ada juga yang main patung kertas yang boleh tukar-tukar baju tu..

Mengikut cerita suami pulak, permainan mereka semasa kecil ialah permainan gasing, layang-layang dan baling guli. Tak banyak beza dengan permainan budak perempuan cuma permainan budak lelaki lebih kepada menunjukkan kepandaian dan kreativiti masing-masing..Siapa gasingnya paling bertahan dialah yang menang. Jadi gasing tersebut mesti dibuat sendiri mengikut kepandaian akal fikiran dan kreativiti masing-masing.

Yang lagi ganas sikit main panjat pokok, lastik, tangkap ikan, main kebun-kebun, main kat longkang, sungai, paya..hmm..dahsyat betul kan tapi itulah kenangan..teringat lak lagu Those Were The Days..

Kami yang membesar di pantai timur pulak ada permainan yang kena ikut musim dan cuaca..kalau dah sampai musim tengkujuh dalam bulan Disember dan Januari permainan kami hanya sekitar kawasan rumah..Kebetulan musim cuti sekolah kami akan berkumpul di tepi tangga dan decide nak main apa hari tu..Dan permainan yang hangat waktu musim tengkujuh ialah Batu Seremban dan Congkak Kadang-kadang kami akan bermain Saydina yang permainannya masih wujud hingga ke hari ini.

Yang menariknya permainan dulu kita akan bermain dengan kawan-kawan dan ini menambahkan lagi ikatan persahabatan sambil bertukar-tukar cerita. Tak kira lelaki atau perempuan akan sama-sama berkumpul dan pilih nak main permainan apa. Yang kelakarnya masa tu takde pun nak malu-malu pun kan..hehehe..Berbeza dengan game sekarang, budak-budak takde perlu ajak kawan-kawan..Dorang hanya perlu bermain seorang diri kerana segalanya hanya dihujung jari!

Terdapat beberapa lagi permainan yang di luar musim tengkujuh di mana mungkin sesetengah kita tak berkesempatan mencuba permainan ini ataupun nama permainan yang mungkin berbeza bagi sesetengah negeri..

1. Galah Panjang
Permainan ini biasanya kami akan gunakan court badminton sebagai tapak takpun kami akan bermainnya di padang. Ia dibahagi kepada dua kumpulan dimana kumpulan A perlu bertahan dan menyekat kumpulan B yang menyerang daripada mara ke hadapan. Kekalahan atau kemenangan sesebuah kumpulan bergantung kepada sekiranya terdapat anak buah kumpulan yang menyerang yang dicuit oleh kumpulan bertahan.
Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu di sepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

2. Rounders
Permainan ini pula tidak banyak beza dengan permainan baseball kerana corak permainan yang hampir sama. Ia dipanggil rounders mungkin kerana kayu pemukul yang digunakan berbentuk bulat dihujung dan bola yang digunakan untuk dipukul dan ditangkap ialah bola tenis yang berwarna hijau.

3. Hoping
Permainan ini juga dimainkan dalam dua kumpulan di mana setiap orang perlu menangkap seberapa ramai anak kumpulan musuh yang berlari-lari dalam sebuah kawasan bertanda dengan menggunakan hanya sebelah kaki.

4. Pukul Berapa Datuk Harimau
"Pukul berapa datuk harimau?" tanya sekumpulan kanak-kanak kepada seorang kanak-kanak yang menjadi datuk harimau di hadapan sambil mengikut arah jalannya.
"Pukul 10" Datuk Harimau menjawab dengan suara yang dibuat-buat garau dan garang.
"Pukul berapa datuk harimau?" tanya lagi kanak-kanak dibelakang sambil bersedia untuk lari.
"Pukul 11" datuk Harimau bersedia untuk menangkap kanak-kanak dibelakangnya. Apabila Datuk harimau menjawab "pukul 12" dia akan berlari mengejar kanak-kanak dibelakangnya. Kanak-kanak yang berjaya ditangkap akan kemudiannya menjadi Datuk Harimau.

5. Polis Sentri (Police and Thief)
Aku tak berapa ingat lagunya macam mana. Mungkin bagi sesetengah orang lagunya berbeza tapi seingat aku yang kami nyanyi waktu main permainan ni berbunyi;
"Police Sentri Want to Jaga
Polis Mati Pencuri Jaga.."
Permainan dimulakan dengan seorang kanak-kanak menutup matanya dan menyanyi lagu tersebut sambil kanak-kanak yang lain mencari tempat persembunyiaan. Bila selesai dia menyanyi dia akan mencari kawan-kawannya yang bersembunyi tadi. Sesiapa yang dijumpai akan kemudiannya ditangkap dan dikehendaki menggantikan orang yang menyanyi tadi. Sesiapa yang berjaya bersembunyi tanpa ditangkap akan dikira pemenang.

6. Teng teng
Permainan ini pula dilukis atas simen dalam bentuk kotak-kotak berbentuk T. Kemudiannya dengan sebelah kaki dia memijak dan melompat kotak-kotak tersebut dan membaling ke belakang sebijik batu untuk ditawannya sebagai rumahnya. Dia mesti membaling ke belakang tanpa menoleh dan batu tersebut mesti melalui atas kepalanya. Kawannya pula akan mengulangi perkara tersebut dan cuba menawan rumah/kotak yang lain. Sesiapa yang paling banyak rumah/kotak yang ditawan dikira sebagai pemenang.

7. Mencari Cucu
Permainan ini ada ditunjukkan dalam cerita Musang Berjanggut ketika P Ramlee pergi merantau dan terlihat sekumpulan wanita sedang bermain permainan ini.
Permainan ini dimulakan dengan lagu dinyanyikan oleh sekumpulan cucu sambil mengelilingi nenek yang ditutup matanya.

"Nenek nenek si bongkok tiga, siang malam asyik berjaga.
Mencari cucu dimana ada, nenek ku kahwin dengan anak raja.."

Kemudian Nenek pula akan menjawab dengan nyanyian;

"Cucu cucu di mana ada, nenek tua banyak sakti
Sekarang nenek nak cari ganti, siapa yang dapat dia yang jadi.."

Selesai nyanyian nenek, cucu akan duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Kemudian, dengan menggunakan tongkat nenek akan mencari-cari cucu yang mendiamkan diri disekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu, nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul.

Sekiranya tekaan nenek betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan akan diteruskan.

8. Jala Itik
Aku tak ingat sangat bagaimana permainan ini dimainkan cuma boleh recall nyanyiannya sahaja. Lagu yang berbunyi;

'Jan-jan jala itik jala ayam.
Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh.
Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah."

Terdapat lagi permainan seperti Baling Selipar, Tarik Upih Pinang, Chop Tiang, Enjit-enjit Semut, Tom Tom Bak, Telefon Buruk, Zero Point, Tutup Botol dan Konda Kondi..
Memang menarik permainan-permainan ini tetapi sudah banyak yang tidak dimainkan oleh kanak-kanak generasi sekarang..Yang masih ada pun cuma permainan seperti congkak, batu seremban sahaja yang masih boleh dilihat dimainkan oleh masyarakat hari ini..

Rasa-rasanya ada lagi tak permainan yang korang pernah main masa kecik-kecik dulu yang tak disenaraikan di sini..Kongsi-kongsilah di sini..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...