Saturday, December 31, 2011

Review : Mee Kari di Gerai Pantai Batu Hitam, Kuantan

Gerai Mee Kari di Pantai Batu Hitam, Kuantan

Salam semua, rasanya ini entry terakhir untuk tahun ini memandangkan esok kita akan melangkah masuk ke tahun baru iaitu 2012. Walaupun tahun berganti tetapi azam saya tetap sama dan tidak berubah..huhu. Oklah, kali ni saya hendak kongsi satu tempat makan mee kari sedap yang terletak di pantai timur. Tempatnya hanyalah di sebuah gerai di tepi pantai menghadap Laut China Selatan. Memandangkan saya dan keluarga memang peminat mee kari, kesempatan menikmati mee kari di Pantai Batu Hitam baru-baru ini tidak kami lepaskan peluangnya. Gerai-gerai di Pantai Batu Hitam ini kebanyakannya telah berniaga bertahun-tahun lamanya. Saya dan dua orang kakak saya pun memang dilahirkan di Kampung Batu Hitam berdekatan pantai ini.

Pemandangan Pantai Batu Hitam dari gerai mee kari 

Menikmati mee kari di gerai ini memang membangkitkan suasana ketika zaman kami kecil dulu apabila setiap petang abah dan mama akan membawa kami bermain di tepi pantai ini. Apabila tiba waktu hendak maghrib barulah kami akan pulang ke rumah dan mandi membersihkan diri. Bezanya kali ini kami mengunjungi pantai ini bersama pertambahan ahli keluarga yang baru iaitu para menantu dan cucu mama dan abah..hehe...Betapa jauhnya jarak masa yang telah dilalui...

Mee kari di Gerai Batu Hitam Top Ten Ent, Pantai Batu Hitam, Kuantan Pahang

Di gerai ini, kami sekeluarga memilih mee kari special sebagai pilihan dan minumannya pula masing-masing memilih laicikang sejuk. Harga bagi setiap mangkuk mee kari adalah RM5.50, manakala mee kari special pula adalah RM6.00, harga yang saya rasa sangat berpatutan dengan rasa dan saiz hidangannya. Rasanya memang sangat sedap dengan rencah dalam mee karinya ada udang segar, ayam, telur, kerang dan pelbagai lagi rencah yang menyedapkan mee kari ini. Belum pernah rasanya saya menikmati mee kari sesedap ini kerana saya agak cerewet dengan mee kari mahupun nasi ayam yang dimakan atau dibeli di luar. Tapi mee kari ini memang tiada tandingannya. Walaupun agak lama menunggu mee kari disiapkan tapi hidangan, rasa dan persembahannya sungguh diluar jangkaan! Tidak rugi mencubanya bagi penggemar mee kari di luar sana jika anda berkesempatan mengunjungi Kuantan.

Friday, December 9, 2011

Masak - Masak : Puding Karamel

Puding Karamel

Assalamualaikum sahabat semua, atas permintaan beberapa orang yang minta saya tuliskan resepi ini, maka terhasillah entry terbaru saya untuk hari ini iaitu puding karamel atau juga dipanggil puding gula hangus. Dulu, saya pernah membuat puding ini mengikut resepi mama saya tapi malangnya disebabkan mama ingat-ingat lupa resepinya dek kerana sudah lama tak membuatnya, maka hasilnya puding karamel saya tak berapa menjadi. Kali ini, saya membuatnya mengikut resepi dari Alia di MYR dengan sedikit olahan. Terima kasih buat Alia yang sudi kongsi resepi yang sedap ini.

Hubby sebenarnya kurang menggemari puding ini kerana setiap kali saya membelinya di bazar ramadhan atau pasar malam, dia tak pernah menyentuhnya. Tapi berbeza kali ini, selepas bersarapan pun hubby minta hidangan ini sebagai pencuci mulut! Malah, satu loyang yang saya buat malam kelmarin sudahpun habis pagi tadi. Begitu berselera hubby menikmatinya. Buat pengetahuan semua, puding karamel yang menggunakan resepi ini rasanya tidak begitu manis berbanding yang dibeli dan rasa gula karamelnya benar-benar menepati citarasa kami. Ok, banyak pula saya berceloteh, hehe... Jom tengok bahan-bahannya.


Bahan-bahannya: (saiz loyang 16cm)
KARAMEL
5 sudu besar gula
2 sudu besar air
PUDING
1 tin susu cair/susu segar 400ml
5 sudu besar gula halus
3 biji telur saiz A (pada suhu bilik)
2 biji telur kuning saiz A (pada suhu bilik)
2-3 titik esen vanilla

Cara-caranya;
1. Mula-mula, sediakan karamel. Masukkan 5 sudu gula ke dalam kuali dengan 1 sudu besar air. Masak di atas api yang paling perlahan. Bila gula sudah sedikit perang, masukkan 1 sudu lagi air. Masak sehingga kesemua gula cair dan menjadi perang. Kemudian, terus tuang gula karamel tadi ke dalam loyang. Ketepikan.

2. Di dalam bekas yang lain, masukkan 3 biji telur dan 2 biji telur kuning. Kacau sedikit dan masukkan 5 sudu gula sedikit demi sedikit. Kacau perlahan sehingga adunan sebati tetapi jangan sampai adunan telur tersebut berbuih.

3. Masukkan sedikit demi sedikit susu ke dalam telur tadi. Kacau sehingga sebati. Kemudian, titiskan esen vanilla ke dalam adunan dan kacau lagi perlahan-lahan hingga sebati.

4. Setelah adunan sebati, tuang adunan ke dalam loyang yang telah diiisi gula karamel tadi. Tutupkan loyang dengan aluminium foil.

5. Kemudian, didihkan air dalam periuk kukusan. Bila air sudah mendidih, masukkan loyang tersebut dan kukus puding dengan api sederhana selama 30 minit.

6. Bila puding sudah masak, keluarkan loyang daripada periuk kukusan. Jangan buka aluminium foil. Biarkan 5 minit. Kemudian, bolehlah dibuka untuk menyejukkannya.

7. Bila puding sudah sejuk, terbalikkan puding ke atas pinggan leper dan simpan dalam peti ais.

8. Puding karamel sedap dihidangkan sejuk.

Monday, December 5, 2011

Masak-Masak : Nasi Kabsa Ayam

Salam semua, hari ni saya nak share satu resepi yang sangat sedap dari negara Arab. Resepi ni saya dapat dari Puan Raidah dan diolah serba sedikit menurut selera dan bahan yang ada sahaja. Minta izin ye kak! hehe.. Dalam masa sebulan, sudah 3 kali saya memasak nasi ini atas permintaan hubby kerana menurutnya dengan hidangan sebegini bayar rm40 sepinggan pun dia sanggup! hehe..pujian melambung nampaknya! Terima kasih sekali lagi buat Puan Raidah atas resepi yang sungguh jujur dan lazat ini.. Ok, meh tengok bahan-bahannya:

Bahan-bahannya : (hidangan untuk 4-5 orang dewasa)

1 ekor ayam dipotong empat.
3 cawan beras basmati ~ cuci dan rendam 20 minit dan ditoskan
4 1/2 cawan air panas
2 sudu minyak masak
1 sudu minyak sapi
Rempah tumis (1 batang kayu manis, 3 biji buah pelaga, 2 biji bunga cengkih)
1 biji bawang besar - dipotong dadu
3 ulas bawang putih - dipotong dadu
1 batang karot - dipotong dadu
1 biji buah tomato - dikisar
2 sudu tomato puri
1/2 sudu kecil pewarna kuning atau saffron
1 sudu besar rempah kabsa
1 biji lemon hitam/kering - dicucuk bahagian tengahnya (saya tak letak sebab tak jumpa)
1 biji lada bengala merah/hijau - dipotong dadu
1 sudu kecil lada hitam biji/serbuk
2 biji cili merah ~ jgn potong
segenggam kismis
Garam secukup rasa dan gula (jika suka)

Cara penyediaan:
1. Panaskan minyak dan minyak sapi. Tumiskan kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga, bawang putih dan besar dan goreng sehingga wangi.
2. Masukkan buah tomato, tomato puree, lemon, saffron/pewarna kuning dan rempah kabsa dan goreng sebentar.
3. Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga ayam empuk. Tambahkan garam secukup rasa dan juga sedikit gula.
4. Masukkan carrot, lada benggala, cili merah, kismis dan beras. Masukkan air panas secukupnya dan masaklah nasi sehingga masak.
5. Gembur nasi bila nasi betul-betul masak menggunakan chopstick selepas 30 minit supaya nasi tidak hancur/patah.

*Nasi ini enak dihidangkan dengan sos cili hijau dan arabic salad seperti tabouleh atau fattoush.

Thursday, December 1, 2011

Review : Restoran Pegaga, Ukay Boulevard


Salam semua, dua minggu lepas kami berkesempatan makan malam di sebuah restoran baru yang terletak di Ukay Boulevard berhampiran zoo negara. Restoran ini secara amnya menawarkan hidangan masakan melayu ala carte tetapi melihatkan harga yang ditawarkan, kami tidak jadi mencuba hidangan tersebut dan memilih hidangan lain sebagai makan malam kami.

Pilihan masakan melayu ala carte
Dekorasi restoran ini agak menarik dan kemas dengan pemilihan warna putih dan hijau sebagai tema. Kekemasan dan susun aturnya juga menambat hati kami untuk menjamu selera disini.

Dekorasi yang menarik bertemakan warna putih dan hijau
Kami memilih hidangan fish and chips dan chicken chop sebagai menu makan malam kami dan minumannya pula kami pilih black coffee dan neslo sejuk. Secara keseluruhannya, hidangan yang dihidangkan agak sedikit bahagiannya. Hubby pun sempat complain katanya dengan hidangan sebegitu dia masih lagi merasa lapar. Ada benarnya juga kerana kami biasa juga makan makanan ala barat di restoran yang satu lagi tidak jauh dari restoran ini dan hidangannya cukup mewah dan ditawarkan dengan harga yang sama malah rasanya jauh lebih sedap.

Chicken chop yang ku harapkan kuahnya blackpepper tapi bukan!
Hidangan kami hanya disertakan dengan sedikit kentang goreng yang halus dan salad. Sedangkan di restoran yang menawarkan hidangan yang sama, menu hidangan ini dihidangkan bersama wedges, coleslaw dan sepotong garlic bread. Harga yang dikenakan untuk hidangan ini juga agak mahal berbanding saiz hidangannya. Setelah selesai makan malam dan melihat kepada bil kami yang dicaj 10% sebagai cukai, kami memutuskan untuk tidak menjejakkan kaki ke restoran ini lagi.

Fish and chips yang rasa ikannya menurut hubby macam ikan keli bukan ikan dori!

Thursday, November 10, 2011

Aleph by Paulo Coelho

Salam semua, hari ni saya nak kongsi beberapa quotes yang dipetik dari novel terbaru Paulo Coelho. Bagi yang belum berkesempatan membacanya saya cadang anda boleh dapatkannya di MPH dengan harga RM59.90 dan anda pasti tidak akan menyesal memilikinya! hehe...






It's what you do in the present that will redeem the past and thereby change the future.


To live is to experience things, not sit around pondering the meaning of life.


Don't be intimidated by other people's opinion. Only mediocrity is sure of itself, so take risks and do what you really want to do.


Seek out people who aren't afraid of making mistakes. Because of that, their work often isn't recognized, but they are precisely the kind of people who change the world and, after many mistakes, do something that will transform their own community completely.


Life is the train not station.

Thursday, November 3, 2011

Masak-Masak : Wild mushroom soup with garlic bread

Salam semua, hari ini kita belajar masak masakan barat pulak k. Tiba-tiba tekak ni teringin nak makan masakan barat dan nak belajar sendiri membuatnya. Jadi, sebagai permulaan kita belajar masak homemade mushroom soup. Rupa-rupanya mudah je membuatnya. Tak perlu beli yang segera tu. Rasanya pun lebih sedap daripada pizza hut punye! hehehe. Apapun, terima kasih kepada pemilik asal resepi ni minami133 drpd MYR.



Bahan-bahannya (6 orang) ;
  • 1 keping dada ayam
  • 1500 ml air
  • 500 ml susu segar Goodday
  • 1 ketul kiub ayam/ikan bilis
  • 1 paket cendawan kering (direndam 15minit dan dikisar halus dan kasar)
  • 1 cawan tepung gandum 
  • garam secukupnya

Cara-caranya;

  1. Potong ayam kecil-kecil dan masukkannya ke dalam periuk yang diisi air. Rebus ayam tersebut sehingga empuk.
  2. Masukkan susu dan kiub ayam/bilis. Kecilkan api dan reneh menggunakan api yang perlahan. Setelah sebati, masukkan mushroom yang telah dikisar tadi.
  3. Kemudian, masukkan pula bancuhan tepung dan kacau hingga pekat. Perasakan dengan garam. Siap untuk dihidang panas-panas bersama garlic bread. 
  4. Untuk membuat garlic bread : potong menyerong roti perancis dan sapukan dengan unsalted butter, garlic spread dan sedikit parsley. Bakar sekejap dan bolehlah dihidangkan.

Selamat mencuba!

Friday, October 21, 2011

Tazkirah : Masih ramai yang abaikan solat?


Salam semua, blog ni pun dah bersawang lama tak update. Bagi memenuhi janji diri sendiri untuk post entry terbaru, nak sentuh sikit bab solat..

Percaya atau tidak? Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Menurut kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah, sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari.  

Menurut tinjauannya menerusi program-program ceramah dan motivasi yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini, antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga.

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. Antara puncanya ialah MALAS, LEMAH FIKIRAN dan BOSAN.

Perlu diingatkan, SOLAT merupakan perkara PERTAMA yang akan ditanya dan dihisab apabila kita dibangkitkan di padang mahsyar kelak. Persoalan yang harus kita sama-sama renungkan ialah samada kita dalam golongan 80% tersebut atau 20% ? Solatkah kita? Sempurnakah solat kita? Khusyuk atau tidak solat tersebut? Tepuk dada, tanyalah diri sendiri.... Mudah-mudahan kita sentiasa berusaha dalam memelihara sebaik mungkin solat kita dan ibadat-ibadat kita yang lain...

Thursday, June 30, 2011

Percutian Keluarga di Salang Indah Resort Tioman

 And that's the wonderful thing about family travel:  it provides you with experiences that will remain locked forever in the scar tissue of your mind.  ~Dave Barry

DAY 1 : SABTU, 28/5/2011

6.30 pagi
Kami bertolak dari Kuantan menuju ke Terminal Feri Tg Gemok yang terletak dalam daerah Rompin yang mengambil masa kira-kira 2 jam.  Dalam perjalanan, kami singgah di bandar Rompin menikmati sarapan pagi roti canai yang sungguh sedap dan garing. huhu.. Sampai harini masih teringat-ingat! Selesai mengisi perut kami meneruskan perjalanan ke Terminal Feri dan tiba di Jeti Tg Gemok jam 9.30 pagi. Bayaran parking di terminal ini adalah sebanyak rm30 untuk sebuah kereta selama 3 hari.

Tempat Parking di Terminal Tg Gemok
Kemudian, kami terus ke Kaunter Feri Gemilang dan dikehendaki mengisi borang dengan menulis semua nama anggota keluarga yang turut serta sebelum masuk ke dalam pejabat untuk urusan tiket feri dan boarding pass.

Kaunter Feri Gemilang
Selesai segala urusan feri kami ke kaunter Jabatan Laut untuk membayar tiket Taman Laut sebanyak RM5 setiap seorang. Kemudian kami ke balai perlepasan menunggu feri jam 11.00 pagi.

Kaunter Jabatan Laut
11.30 pagi
Kelibat feri sudah kelihatan tetapi kami masih tidak dibenarkan naik. Penumpang sudah mulai memenuhi pintu berlepas dan tidak ada sebarang pengumuman tentang kelewatan feri dari pihak pengurusan. Jam 12.00 tengahari pengumuman dibuat untuk penumpang-penumpang yang memegang boarding pass Gemilang 2 dibenarkan menaiki feri dan penumpang yang ramai menolak-nolak dan berpusu-pusu ke arah feri.

Dalam feri ke Pulau Tioman
Rupanya insiden tersebut tak abis di situ. Selepas kami sekeluarga menaiki feri kami dapat tempat duduk di bahagian hadapan feri. Matahari semakin meninggi dan perut sudah mula berbunyi minta diisi. Tunggu punya tunggu feri tak jalan-jalan lagi. Rupanya ada sekumpulan "manusia" yang agaknya tak reti baca boarding pass mereka yang menunjukkan Gemilang 1. Mereka ni tak mahu keluar daripada feri ini sehingga feri yang sepatutnya mereka naiki tiba iaitu feri Gemilang 1. Pekerja feri pulak seolah hilang kuasa untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Feri yang sepatutnya bergerak jam 11 pagi, pada jam 12.35 tengahari baru dapat bergerak dek kerana dua insiden tersebut. Pihak pengurusan feri sepatutnya lebih cekap dalam menguruskan perkara-perkara ini agar kejadian yang sama tidak berulang di masa akan datang. Pengurusan yang cekap dan teratur juga sekurang-kurangnya dapat menjamin mutu perkhidmatan yang lebih efektif. Feri mula bergerak meninggalkan Jeti Tg Gemok menuju ke Pulau Tioman yang mengambil masa kira-kira 2 jam ke Kg Salang tempat penginapan kitorg sepanjang 3 hari di sana...

2.20 petang
Papan tanda di hujung jeti Kg Salang
Kami tiba di Jeti Kg Salang, destinasi terakhir feri. Chalet kami terletak di sebelah kiri yang perjalanannya berjalan kaki dari jeti ke Salang Indah Resort mengambil masa kira-kira 5 minit. Kami terus ke reception untuk mengambil kunci dan menjelaskan baki bayaran penginapan kami. Kami yang sudahpun kelaparan dijamukan dengan hidangan makan tengahari secara berhidang di Restoran Salang Indah.

Mama posing sementara tunggu lunch
Lauknya agak ringkas dengan hidangan sup, sayur goreng, telur dadar dan sotong masak kicap serta air sarsi. Selesai menjamu selera kami yang sudah pun kepenatan terus ke chalet. Sampai di chalet, fuhh kami terpegun dengan pemandangan di sekeliling chalet tersebut yang menghadap lautan dan pantai yang amat mendamaikan. Alhamdulillah! Damai sungguh rasa hati...Inilah yang dinamakan percutian!

Pemandangan dari chalet kami
Kami berehat seketika untuk solat dan menukar pakaian. Dalam pakej kami, waktu petang hari pertama di sini adalah untuk aktiviti bebas jadi kami memutuskan untuk mandi manda di pantai depan chalet dan mengambil peralatan snorkelling di booth depan reception.

Chalet kami di hujung sebelah kiri
Peralatan snorkelling sudahpun termasuk dalam pakej dan disewa untuk 24 jam. Kami nak praktis menggunakan alatan tersebut yang terdiri daripada gear, life jacket dan mask. Disebabkan depan chalet kami pantainya agak berbatu kami ke lokasi pantai berdekatan jeti kerana disitu pantainya agak landai.

Masing-masing sudah bersedia dengan peralatan snorkelling
Masing-masing begitu teruja untuk mandi manda dan bersnorkeling. Mana taknya, air lautnya sangat jernih dan terdapat pelbagai jenis ikan yang berwarna warni. Masa ni la juga kami nak asah skill berenang yang tak berapa nak ada ni..huhuhu...Yang bestnya mama, abah, hubby dan abang ngah jela sebab dorang pandai berenang. Kami yang tak berapa nak pandai berenang ni hanya mandi manda di tepi pantai sahaja..huhu..

Peace yooo!
Seronok mandi manda tak sedar hari sudah pun petang. Ketika mentari sudah pun melabuhkan tirai di ufuk barat, kami pulang semula ke chalet untuk membersihkan diri dan solat sementara menunggu waktu makan malam jam 8. Hidangan makan malam kami agak mewah berbanding tengahari tadi. Kami dihidangkan dengan tomyam, sayur kubis goreng, ikan tenggiri masak kicap dan daging masak pedas serta buah-buahan dan air oren.

Hidangan makan malam
9.00 malam
Selesai menjamu selera kami bersiar-siar di tepi pantai dan window shopping di beberapa kedai souvenier. Bolehlah mencari idea barangan apa yang ingin dibeli untuk dibawa pulang sebagai tanda kenangan.

Kedai Souvenier hadapan jeti Kg Salang
Penat berjalan-jalan kami sekeluarga melepak di pondok berdekatan jeti sambil menghirup angin bayu laut china selatan dan bersembang tentang aktiviti keesokan harinya.

Aktiviti melepak tepi pantai
Jam sudah menunjukkan hampir pukul 10 malam, mata masing-masing pun sudah mula mengantuk jadi kami semua pun pulang berehat di chalet masing-masing dan bersedia untuk aktiviti keesokannya.

DAY 2 : AHAD 29/5/2011

8.00 pagi
Kami keluar untuk menikmati sarapan pagi di Salang Indah Restaurant. Sarapan pagi di restoran ini dihidangkan secara buffet. Pagi ini pilihannya ada mee goreng, nasi goreng, roti canai, roti bakar, coffee dan teh.

Menu pagi kami
Selesai menikmati sarapan pagi, kami pulang semula ke chalet untuk bersiap-siap dengan pakaian serta kelengkapan untuk trip snorkelling ke 3 tempat di Tioman iaitu Pulau Tulai, Pasir Panjang Beach dan Malang Rock. Aku sempat membeli sebuku roti untuk makanan ikan. Kami juga dibekalkan makanan tengahari yang telah siap dibungkus beserta air mineral kerana trip kami akan mengambil masa hingga jam 3 petang.

10.00 pagi

Berkumpul depan reception
Kami semua berkumpul di hadapan reception dan mendengar serba ringkas taklimat tentang snorkelling trip kami dan menunggu ketibaan bot.

Menunggu bot untuk snorkelling trip
Kemudian, kami dibawa menaiki bot laju ke destinasi pertama iaitu Pulau Tulai yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari Salang Indah Resort.

Dalam bot dan bersiap sedia untuk snorkelling trip
Sesampainya kami di Pulau Tulai kami sangat teruja untuk terjun ke laut dan menikmati pemandangan dasarnya. Yang paling tak sabar ialah abah, abang ngah dan hubby sebab dorang pandai berenang. Sebelum masing-masing terjun ke dasar laut, tour guide telah maklumkan pada kami agar minum air masak terlebih dahulu. Ini untuk mengelakkan kita dari kekurangan air dalam badan tanpa disedari kerana air laut yang masin memang akan membuatkan kita cepat merasa kering dan dahaga.

Kami yang sangat teruja...ho3
Kemudian, kami turun melihat beribu-ribu ikan yang berwarna warni yang hanya menunggu untuk diberi makan roti. Terdapat pelbagai jenis ikan yang juga begitu teruja menghampiri kami apabila kami menghulurkan roti kepadanya.

Snorkelling di Pulau Tulai
Subhanallah! Sungguh cantik dan asyik sekali dunia di dasar sana. Memang sangat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata betapa indahnya "alam misteri" di bawah sana.

Ikan yang mengelilingi kami
Disebabkan di sini arus laut yang laju di dasarnya, kami-kami kaum wanita ni hanya bersnorkelling di sekitar bot sahaja sambil masing-masing berpaut di tangga bot!

Coral di Pulau Tulai
Abah yang dah terlalu asyik melihat ikan merupakan orang terakhir yang naik ke atas bot bila pemandu bot sudah mula menghidupkan enjin untuk ke destinasi kedua pula. huhuhu...

Abah yang tengah seronok snorkelling melambaikan tangan...
12.00 tengahari

Pasir Panjang Beach
Kami bergerak ke destinasi kedua iaitu di Pantai Pasir Panjang. Di sini kami dinasihatkan untuk tidak pergi ke tengah laut kerana pantainya agak landai dan dalam. Kami hanya bermain air di tepi laut sambil bersnorkelling mencari ikan-ikan yang bersembunyi di tepi-tepi batu.

Gamat yang kami temui di sini
Dapatlah juga tengok beberapa ekor gamat yang berada di celahan batu. Di sini juga kami makan tengahari dengan nasi campur yang telah dibekalkan oleh pihak chalet.

Mandi manda di pantai pasir panjang
Selesai makan, kami sambung bermain air di tepi pantai dan berehat-rehat. Ada juga yang sempat tidur di atas batu berbumbungkan pohon-pohon hutan tepi pantai.

Bot kami berlabuh di sini
1.30 petang
Kami bergerak pula ke destinasi ketiga iaitu di Batu Malang. Di sini juga merupakan tempat untuk snorkelling dan scuba diving. Ikan dan coral di sini juga sangat berbeza dengan tempat-tempat yang kami kunjungi sebelum ini.

Malang Rock
Coral disini adalah jenis staghorn atau coral yang bercabang-cabang seperti tanduk rusa. Berbeza dengan coral di destinasi pertama iaitu Pulau Tulai yang kebanyakannya berbentuk seperti cendawan yang sangat besar. Macam yang aku baca dalam pamphlet yang diberi, Pihak Jabatan Laut telah memberikan garis panduan apabila kita berada di taman laut termasuklah larangan mengganggu ikan dan coral, memancing dan menangkapnya. Ini disebabkan coral yang kita dapat tengok hari ini merupakan coral yang telah terbentuk beratus tahun yang dulu  kerana coral hanya membesar kira-kira 1mm setahun! Sebab itulah kita kena menjaga warisan alam ini dan menghormati habitat hidupan laut ini...

Coral di Batu Malang
Di sini juga ada disediakan pelantar untuk memudahkan pengunjung turun ke dasar laut untuk menikmati pemandangan indah di dasarnya. Kami yang baru "pandai" berenang sangat teruja menikmati pengalaman snorkelling dan memberi makan ikan-ikan yang sangat banyak.

Ikan yang berwarna warni mengelilingi kami
Abang ngah, angah dan mama je yang tak turun daripada bot sebab mereka sudahpun keletihan. Kami yang masih energetic ni sibuk terjun ke laut dan menikmati sepuas-puasnya pemandangan di dasarnya.

Bagi ikan makan roti
2.30 petang
Kami bertolak balik ke Salang Indah Resort. Masing-masing sudah keletihan kerana sudah berjam-jam di dalam air. Namun untuk berkata puas, kami masih belum puas menikmati pemandangan dasar laut tioman. Kami tiba di chalet dan mama, angah dan abang ngah sudah "surrender" dan hanya mahu berehat sahaja di bilik. Aku, hubby, abah, farah, fatin dan adik masih ingin bermain air dan snorkelling. Kami menyambung aktiviti kami di pantai tepi jeti. Aku dan hubby kemudiannya membuat keputusan untuk menyewa bot ke pekan Tekek dan Taman Laut untuk menyambung aktiviti snorkelling.

4.00 petang

pose romantis mama dan abah...
Kami bertolak ke Tekek menaiki bot yang kami sewa khas dengan kaunter di tepi jeti. Mama berkesempatan membeli sedikit cenderahati untuk rakan-rakannya. Aku pula hajat dihati ingin mengambil sedikit wang tetapi dimaklumkan hanya terdapat satu bank sahaja di Tekek iaitu ATM Bank Simpanan Nasional. Bila sampai di BSN, mesinnya pula tergendala kerana kebetulan hari Ahad. Panas juga rasa hati tetapi mujurlah hati ini disejukkan kembali apabila abah belanja aiskrim setiap sorang. huhu.. Dapatlah kami menikmati aiskrim di waktu panas di pulau tioman sambil menunggu pemandu bot kami membawa kami ke Taman Laut.

5.00 petang

Laut yang sudah mula bergelora
Kami menyambung aktiviti snorkelling selama sejam lebih di sini tetapi kurang dapat menikmatinya dek air laut yang sudah mulai berombak kuat kerana hujan yang lebat di tengah laut. Hanya mama dan angah sahaja yang tidak turun ke laut kerana sudah terlalu letih bermain air.

Menyambung aktiviti snorkelling di Taman Laut
Kami tidak jemu-jemu bermain air kerana ingin menghabiskan semaksima mungkin waktu yang ada untuk mandi manda sepuas-puasnya. Walaupun tidak dapat bersnorkelling melihat ikan di dasar laut kami menghabiskan masa mandi manda di tepi pantai Taman Laut tersebut hingga lewat petang.

6.00 petang

Dalam bot pulang dari Kg Tekek
Kami bertolak pulang ke Salang Indah Resort dan sempatlah pemandu bot kami buat "gimik" kononnya kami kehabisan minyak dan terpaksa berhenti di tengah-tengah laut yang bergelora sambil menunggu ketibaan kawannya membawa refill petrol. Tapi lakonannya yang seolah-olah bercakap telefon dengan 'kawannya' itu tidak menjadi kerana kami semua tidak percaya! hahaha.. Rupa-rupanya memang bot kami berhenti di tengah-tengah laut dek kehabisan minyak tetapi pemandu bot kami ada membawa refill petrol bersama dan tidak perlu menunggu "kawannya" tiba. Sampai di jeti kami terus ke chalet untuk membersihkan diri dan berehat sambil menunggu waktu untuk makan malam special.

bot laju membelah lautan
8.00 malam
Hidangan malam ini ialah Dinner BBQ di Salang Indah Restaurant. Kami makan di tepi laut bawah pohon kelapa. Menunya juga sedap iaitu sotong bakar, ikan cencaru, sosej, chicken wing, nasi goreng cina dan minuman air blackcurrent. Kami yang seharian bermain air memang sangat lapar dan hidangan sebegitu cukup membuka selera. Kami menikmati hidangan BBQ sambil berbual-bual, bergambar dan bercerita tentang keseronokan dan janji untuk kembali lagi ke sini satu hari nanti.

Dinner BBQ di Salang Indah Restaurant
Selesai makan malam, kami bersiar-siar di tepi pantai untuk mengambil gambar dan membeli cenderahati. Aku sempat membeli mug tioman dan fridge magnetic sebagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Kami juga bersiar-siar di jeti melihat orang memancing ikan. Sesiapa yang berminat boleh juga memancing dengan sewaan joran sebanyak rm10 untuk satu hari. Jam 10 malam kami pulang ke bilik untuk rehat dan berkemas-kemas untuk pulang keesokan harinya.

Kedai Souvenier
DAY 3 : ISNIN 30/5/2011

8.00 pagi
Breakfast kami di Salang Indah Restaurant pagi ni dihidangkan secara buffet yang ada beberapa pilihan seperti kuetiaw goreng, bubur nasi, bihun sup, roti bakar, coffee dan tea. Selesai menjamu selera kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar menghabiskan masa dan wang yang ada sedikit lagi untuk membeli cenderahati.

Sarapan pagi dengan bubur nasi
Kemudian kami pulang ke bilik untuk berkemas dan bersiap. Feri kami dijadualkan tiba jam 11 pagi. Kami dikehendaki berada di Jeti setengah jam lebih awal. Selesai berkemas dan check out sempatlah kami bergambar depan reception sebagai tanda kenangan percutian di sini. Its time to say goodbye! Masing-masing bagaikan malas mahu pulang kerana keseronokan percutian sudah sampai ke penghujungnya.

1.00 petang
Kami sampai di Jeti Tg Gemok dan terus bergerak menuju ke Kuantan dan singgah di Rompin untuk makan tengahari dan membeli nenas di Pekan. Kami semua berjanji akan datang lagi ke Tioman dan mungkin akan duduk di Kg Paya pula untuk merasai suasana yang berbeza.

Percutian keluarga sudah sampai ke penghujungnya tetapi itu bukanlah penamat ceritanya. Kenangan manis dan pengalaman yang ada kami bawa sebagai kenangan yang indah tersemat di lipatan memori. Mudah-mudahan ia menjadi semangat dan azam untuk percutian seterusnya di masa akan datang...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...