Wednesday, April 6, 2016

Pengalaman Umrah dan Ziarah Mesir Part 2

Bersambung dari Part 1

Kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah dan berkumpul dan bergerak secara berkumpulan. Di pintu imigresen berpusu-pusu umat Islam yang ingin masuk ke Madinah beratur dan bersabar dalam menunggu giliran. Kebanyakan mereka berzikir dan memegang tasbih kerana bumi ini merupakan tanah haram tempat jasad Rasulullah SAW disemadikan.

Mutawif kami mengingatkan jemaah kami untuk membaca surah 3 Qul sebanyak 3x dan surah al Ikhlas sebanyak 10x bagi memudahkan urusan. Alhamdulillah barisan kami bergerak dengan cepat dan pegawai imigresen juga tidak banyak karenahnya. Kami yang dibaris hadapan membantu jemaah lain mengambil beg masing-masing dan ada juga jemaah lain menolong mengambilkan trolley.

Kami seterusnya menaiki bas ke hotel penginapan kami. Sepanjang jalan kami diajak untuk sama-sama berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Sampai di Hotel Al Fayroz Al Massa kami diberi taklimat oleh Ustaz Athoq yang merupakan pegawai Andalusia di Madinah mengenai keselamatan dan sebagainya di Madinah. Kebetulan kami yang telahpun mengenali Ustaz Athoq semasa ke Turkey tahun lepas bersembang bertanyakan khabarnya.

Day 6
Malam itu kami kesemuanya yang masih kepenatan, berehat dan bangun jam 4.00 pagi untuk ke Masjid Nabawi yang terletak hanya 200 meter dari hotel penginapan kami untuk solat subuh berjemaah di masjid. Terasa sayu kerana akhirnya saya dijemput semula menjejakkan kaki di Masjid Nabawi ini yang telah banyak berubah. Bezanya kali ini saya dan suami disertai 4 orang lagi ahli keluarga yang turut serta.

Masjid Nabawi semasa solat subuh
Pulang dari Solat Subuh, kami segera bersarapan dan turun ke bawah untuk taklimat mengenai ziarah ke Raudah. Taklimat ringkas disampaikan oleh Ustazah Aisyah yang rupanya adalah bekas rakan sekolah ipar saya.

sarapan kami hari pertama di Madinah
Sebelum ke Masjid Nabawi kami digalakkan bersedekah sepanjang jalan dan jemaah digalakkan untuk membawa wang kecil semasa berjalan menuju ke Masjid Nabawi untuk disedekahkan kepada yang memerlukan. Jam 8.30 pagi kami sudah masuk ke dalam masjid menunggu giliran memasuki Raudah. Ustazah meminta kami menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid dan Solat Sunat Dhuha. Selesai bersolat kami dikehendaki berkenalan dengan jemaah di sebelah kanan dan kiri kami supaya masing-masing dapat saling mengenali.

Kami kemudiannya menunggu lagi giliran dan sementara itu mengisi masa dengan berselawat, mengaji, berzikir dan juga berdoa. Jam 10 pagi kami dibenarkan masuk ke Raudah dan berpusu umat Islam dari seluruh dunia mencari tempat untuk bersolat di karpet hijau itu. Dengan segenap kesabaran yang ada kami akhirnya dapat ke saf hadapan untuk bersolat dan berdoa sedaya mungkin. Berjujuran airmata kami memohon keampunan Allah dan memberi salam ke atas Baginda SAW, Khalifah Abu Bakar RA dan Khalifah Umar al Khattab RA. Peluang yang ada kami gunakan sebaiknya untuk berdoa dan terus berdoa. Alhamdulillah dengan rahmat Allah jualah kami selesai bersolat dan berdoa di Raudah di saf paling hadapan. Kesyukuran yang tidak henti-henti kami panjatkan kepada-Nya atas nikmat dan peluang tersebut.

Kami pulang ke bilik hotel berehat dan bersiap-siap untuk ke Masjid lagi untuk bersolat zuhur. Aktiviti hari itu berkisar sekitar solat berjemaah di masjid, ibadah dan aktiviti persendirian.

Day 7
Pagi ini saya tidak dapat meneruskan solat kerana keuzuran syarie. Terasa agak sedih dan sayu kerana hilang peluang untuk masuk ke Raudah sekali lagi dan merebut peluang 1000 pahala bersolat di masjid ini. Selesai solat Subuh dan bersarapan, pagi ini ada lawatan sekitar Madinah.

Masjid Quba, masjid yang dibina Rasulullah saw apabila tiba di Madinah

galeri depan Masjid Quba
Destinasi yang pertama kami ialah ke Masjid Quba' sebuah masjid yang dibina atas dasar taqwa dan jemaah dikehendaki berwudhuk dari hotel dan menunaikan solat sunat di sini. Menurut sebuah hadith Rasulullah SAW, " Sesiapa yang bersuci (mengambil wudhuk) dirumahnya kemudian pergi ke Masjid Quba' lalu mendirikan solat di dalamnya, ganjarannya samalah seperti pahala ibadah Umrah"

kurma segar yang sangat sedap di pasar Masjid Quba'
Kami kemudiannya membeli kurma segar yang dijual di pasar sekitarnya dengan harga yang murah. Memang sedap betul kurma yang segar yang dimakan sejuk-sejuk. Huhu. Kami seterusnya ke Jabal Uhud tempat berlakunya peperangan Uhud. Kemuliaan yang diberikan Allah SWT kepada Jabal Uhud ialah ianya akan bersama-sama para mukminin dalam syurga Allah kelak. Dalam perjalanan ke Jabal Uhud kami melalui Masjid Qiblatain yang mempunyai dua menara, satu ke arah Baitul Maqdis dan satu lagi ke Baitullah yang menyaksikan peristiwa kiblat umat Islam bertukar ke arah Baitullah.

Masjid Qiblatain

Kami kemudiannya singgah di Jabal Rumah berdekatan Jabal Uhud dan mendakinya. Sebelum itu kami melawat Makam Syuhada' yang tewas dalam peperangan Uhud antaranya ialah Hamzah bin Abdul Mutalib, bapa saudara Rasulullah SAW.

atas puncak Jabal Rumah menghadap Jabal Uhud

makam para syuhada'
Masing-masing tunduk bertafakur dan berdoa semoga para syuhada' ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Jabal Uhud Madinah

lakaran perang uhud di Jabal Uhud
Kami kemudiannya singgah di Ladang Kurma yang terletak tidak jauh dari kawasan tersebut. Kami membeli kurma ajwa di sini kerana harganya agak murah dan ianya segar dan terbaik dari ladang. Kami juga membeli beberapa kilo kurma yang lain seperti safawi dan mariami untuk dibawa pulang.

ada tiga jenis ajwa, bezanya hanya saiz dan harga

kurma safawi dan mariami juga dijual disini
Jam hampir menunjukkan pukul 12 tengahari dan bas membawa kami pulang ke hotel untuk bersiap-siap solat Zuhur dan tidak berkesempatan untuk ke Pasar Kurma. Mutawif kami mengumpulkan jemaah yang ingin turut serta ke Pasar Kurma yang terletak berdekatan Masjid Nabawi tetapi perlu menaiki van yang disewa berikutan masa yang terhad untuk ke sana pagi itu.

Pasar Kurma
Selesai solat Asar kami menaiki van untuk ke Pasar Kurma dan membeli beberapa kilo buah tin, kekacang dan sedikit lagi kurma untuk dibuat ole-ole. Malam itu kami sekeluarga makan malam di restoran berdekatan hotel. Masing-masing teringin menikmati nasi arab di Negara Arab dan kebab juga minuman buah-buahan yang terkenal di Madinah ini. Malam itu juga kami membeli belah sebelum keesokan harinya akan bertolak ke Mekah pula untuk menunaikan umrah.

kami makan nasi arab dan kebab di sini

Day 8
Pagi ini masing-masing mengambil peluang berkemas dan menziarahi Raudah untuk ziarah selamat tinggal buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan berdoa semoga diberi kesempatan untuk menziarahi baginda lagi di masa akan datang. Bagi yang keuzuran syarie, hanya perlu menziarahi makam Rasulullah SAW yang paling hampir iaitu di kawasan hadapan Masjid Nabawi.

Makam Rasulullah SAW yang berbumbung hijau di Masjid Nabawi
Selesai Ziarah Wida' masing-masing mandi sunat ihram dan berpakaian ihram untuk bertolak ke Mekah. Kami singgah di Bir Ali untuk mengambil Miqat di Masjid Bir Ali dan meneruskan perjalanan ke Mekah yang mengambil masa kira-kira 5 jam termasuk berhenti rehat.

mengambil miqat di Masjid Bir Ali

Malam itu kami singgah di hentian rehat untuk makan malam dalam dulang yang dikongsi 5 orang. Selesai makan, masing-masing mengambil wudhuk untuk menunaikan solat jamak dan qasar Maghrib Isyak di surau hentian rehat.

makan malam dalam dulang
Kami memasuki tanah haram sekitar jam 11 malam dan selesai check in di Hera Hotel Palace, mutawif membimbing jemaah untuk menyelesaikan umrah buat kali pertama. Jam 2 pagi, umrah pertama selesai ditunaikan. Syukur dan terharu atas segala peluang dan kesempatan yang Allah berikan bagi menunaikan ibadat umrah ini.

Hotel kami selama beberapa malam di Mekah

dalam bilik penginapan di Hera Hotel Mekah
Masing-masing yang kepenatan pulang berehat untuk bangun solat subuh berjemaah pula. Masa dan tenaga memang perkara yang sangat kritikal bila berada di Mekah. Sebolehnya masing-masing tidak mahu ketinggalan untuk berjemaah di Masjidil Haram yang menawarkan pahala 100, 000 kali ganda ibadat disini.

bersambung di Part 3

Wednesday, March 2, 2016

Pengalaman Umrah dan Ziarah Mesir Part 1

Assalamualaikum sahabat dan pembaca blog ini, hari ini saya nak kongsikan pengalaman mengikuti umrah ziarah Mesir selama 15 hari di pertengahan bulan December 2015. Mesir merupakan negara yang menjadi pilihan kami dalam program umrah ziarah kerana ianya merupakan bumi para anbiya' yang banyak menyimpan sejarah nabi-nabi dan rasul-rasul, juga ingin menyaksikan sendiri The Great Pyramid yang satu-satunya binaan ancient world yang masih utuh pada hari ini. Banyak yang kami pelajari dan hayati sepanjang kembara umrah ziarah Mesir ini. Rombongan ahli keluarga kami seramai 6 orang disertai juga dengan ahli rombongan yang datang dari pelbagai negeri di Malaysia seperti Perak, Kelantan, Melaka, Terengganu, Penang dan Sabah menjadikan kami bagaikan sebuah keluarga besar. Sesungguhnya ukhwah yang terjalin sepanjang lebih 2 minggu kembara spiritual dan ibadah bersama dengan agensi Andalusia Travel & Tours ini harapnya kekal dan utuh hendaknya. Semoga perkongsian ini ada manfaatnya, Insya Allah..

Day 1
Kami bertolak jam 9.30 malam menaiki pesawat Egypt Air, dan transit 2 jam di Bangkok dan meneruskan perjalanan lagi 9 jam 30 minit ke Lapangan Terbang Antarabangsa Cairo. Dalam flight kami dihidangkan dengan 3x makan iaitu hidangan snek, makan malam dan sarapan. Bagi saya semuanya enak walaupun masakan Mesir ini tidak pedas.

Peta negara Mesir yg dilukis atas papyrus
Day 2
Kami selamat mendarat pada jam 5.30 pagi dan mengambil masa kira-kira sejam pula untuk urusan imigresen, mengambil luggage dan berkumpul untuk mendengar taklimat sebelum menaiki bas ke destinasi kami pagi itu ke Anwar Sadat Mouseleum untuk sesi bergambar di hadapan tugu peringatannya. 

Memorial of Anwar Sadat
Kemudian kami bersarapan di Restoran Sun-Z Cairo dan meneruskan perjalanan ke Lake Qarun yang mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan menaiki bas. Sepanjang perjalanan dapat dilihat dikiri dan kanan bas gurun sahara yang serba kontang yang meliputi 90% bahagian negara Mesir. Tidak ada kehidupan di padang pasir itu yang ada hanyalah lautan pasir saujana mata memandang. 

sarapan pagi hari pertama di mesir huhu
Selepas melewati pemandangan padang pasir kami dijamu pula dengan pemandangan oasis yang hijau mata memandang dengan pelbagai tumbuhan yang hidup subur. Terdapat juga sebuah pasar seperti open air market di tepi jalan. Pasarnya sama seperti kita kembali ke zaman lampau dimana penjual dan peniaga yang berselerakan menjual hasil tanaman dan ternakan mereka. Ayam dijual hidup-hidup dan beratus-ratus anak ayam dijual dalam sangkar. Buah-buahan juga sayuran dijual direct dari dalam lori dan diatur diatas kanvas di tepi lori. Inilah pengalaman berharga yang kami lalui kerana dapat melihat suasana yang tidak ubah seperti kembali ke zaman silam.
Lake Qarun, Mesir
Kami kemudiannya sampai di Lake Qarun yang serba hitam untuk bergambar disini. Tasiknya yang terbesar di Mesir terdapat kerangan ibarat sebuah lautan yang luas. Takjub dan insaf dengan sejarah sebuah kisah Qarun yang ditelan bumi kerana ketamakan dan kegilaannya kepada harta benda. 

Masjid Ibnu al-As
Kami seterusnya meneruskan perjalanan pulang ke bandar Kaherah dan singgah makan tengahari. Hidangannya secara buffet dan agak sedap kerana ayam bakarnya seperti ayam kampung yang juicy dan manis. Kami bersiap-siap mengambil wudhuk di restoran ini untuk menunaikan solat di Masjid Ibnu Al-As, masjid pertama yang dibina di Mesir yang terletak tidak jauh dari restoran tersebut. 

dalam perkarangan tempat solat masjid ibnu al-as
Selesai solat jamak dan qasar di masjid bersejarah ini, kami kemudian dibawa ke Makam Imam al Syafie. Doa dan al fatihah kami panjatkan moga beliau ditempatkan di kalangan orang yang soleh atas segala jasanya pada dunia ilmu dan islam. Hati terasa sebak berada di kawasan makamnya mengenangkan kemuliaannya. Melihatkan kawasan sekitarnya yang agak kotor dan berdebu, kami berharap dan berdoa agar sesuatu dapat dilakukan agar imej islam tentang kebersihan yang melambangkan iman itu dapat dipraktikkan. 

pintu masuk ke Makam Imam Syafie

Makam Imam al-Syafie
Kami kemudiannya makan malam agak awal sebelum check in Hotel Mercure Le Sphinx yang terletak berhadapan dengan Giza Pyramid. Masing-masing makan sekadarnya sahaja kerana sudah agak kepenatan. Sampai di hotel dan diberikan kunci bilik kami tidak menunggu lama untuk ke bilik untuk mandi, solat dan berehat kerana sudah lebih 24 jam tidak mandi dan "berjumpa bantal" huhu. 

hotel kami selama 3 malam di Mesir
Day 3
Selepas bersarapan dengan hidangan sarapan ala arab, kami berkumpul di lobi dan naik bas untuk melihat piramid yang hanya terletak bersebelahan hotel penginapan kami. The Great Pyramid of Giza merupakan tiga piramid yang dipunyai oleh King Khufu, King Khafre dan King of Menkaure. Yang paling besar itulah Pyramid of Khufu dan paling kecil ialah Pyramid of Menkaure yang dibina oleh rakyat Mesir kerana kasih sayangnya kepada rajanya pada ketika itu. Senibinanya yang begitu besar dan gah membuatkan hati berasa gembira dan syukur dapat menyaksikan one of seven wonders of ancient world ini selepas melihat senibina Great Wall of China, Colleseum of Rome, Pisa Tower dan beberapa senibina bersejarah yang lain.

one of seven wonders of ancient world
Bas menurunkan kami di piramid yang paling besar untuk bergambar kumpulan disini. Harga gambar yang dijual ialah RM20 sekeping. Kami dinasihati oleh tour guide untuk tidak mengambil apa-apa barang yang diberi oleh peniaga jalanan disini dan tidak mengambil gambar unta kerana akan dicaj dengan harga yang melampau dan tidak masuk akal.

binaan batu yang membentuk piramid
Selesai bergambar kami mendekati piramid dan bergambar disini dengan memanjat tangga untuk ke pintu piramid. Disini juga saya berkenalan dengan seorang kanak-kanak perempuan Mesir yang menegur saya dan bertanyakan nama dan negara asal saya. 

kemudahan tandas di kawasan piramid
Dia yang juga datang melancong bersama keluarganya sangat mesra dan menegur dan menyapa saya beberapa kali. Seronok pula dia dan akhirnya kami bergambar bersama buat kenangan. Huhu. Sebelum menaiki bas kami singgah mencari toilet atau WC di kawasan piramid. Yang saya perhatikan dan juga dimaklumkan oleh tour guide kami, setiap kali ingin memasuki tandas di Mesir perlu membayar sekurang-kurangnya sebanyak 1 egyptian pound (50sen) walaupun tandas yang kita masuki itu tandas di hentian rehat ataupun tandas masjid. Akan sentiasa ada cleaner yang menjaga di pintu masuk toilet tersebut meminta "bakshish" atau tips walaupun tandas disitu teramatlah kotor dan berbau. Setiap pertolongan mereka mengharapkan tips walaupun dia sekadar duduk menyusun kasut di luar masjid. Jadi sediakanlah wang kecil secukupnya atau bawa wang RM1 seperlunya ke Mesir kerana budaya mereka yang suka meminta tips.

Panorama of 3 pyramids
Kami kemudiannya menaiki semula bas untuk ke Panorama untuk bergambar berlatarbelangkan 3 piramid sekaligus. Memang cantik sungguh pemandangannya. Disini juga boleh join aktiviti menaiki unta dengan harga 50 egyptian pound seorang. Suami dan beberapa jemaah lelaki mengambil kesempatan menaiki unta dan bergambar dengannya. 

harga yang ditetapkan untuk menaiki unta
Puas bergambar, kami melalui kawasan The Sphinx, yang berkepala manusia dan berbadan singa yang merupakan penjaga kepada ketiga-tiga piramid. Kami hanya mengambil gambar dari dalam bas sahaja kerana kawasannya yang begitu ramai pengunjung. 

The Sphinx, guard of 3 pyramid
Kami kemudian singgah di kedai minyak wangi Ramses Perfumes Palace tempat menjual pati minyak wangi terkenal dari seluruh dunia. Antara jenama antarabangsa yang popular ialah Chanel, Armani, Gucci, Ralph Lauren, Calvein Klein, Hugo Boss, Kenzo, Dior dan beberapa jenama istimewa yang tidak dieksport dan hanya dijual disini seperti Queen Cleopatra, Arabian Nights dan Ramses. Tawaran istimewa pada hari tersebut ialah sekiranya membeli botol besar lebih jimat dan boleh share di kalangan jemaah. Ianya 2100 pound (lebih kurang RM1000) utk 10 botol 360ml each menjadikan sebotol 360ml pati minyak tersebut ialah RM100 sebotol. Kami berempat memilih tawaran tersebut dan berkongsi di kalangan kami. Sudah pastinya antara pati minyak pilihan kami ialah Cleopatra, Chanel, Queen of Egypt dan King Ramses. Huhu

di kedai minyak wangi
Makan tengahari kami hari ini ialah di Restoran First Class dan jemaah lelaki bersolat jumaat di masjid yang terletak berhadapan restoran. Jemaah wanita pula makan tengahari di restoran dan bersolat di kawasan restoran sahaja. 

makan tengahari kami di cairo
Kami seterusnya dibawa ke Sondos Papyrus Gallery dan diberikan penerangan tentang pembuatan kertas dari sejenis tumbuhan papyrus pada zaman dahulu. Kualiti papyrus yang asli tidak akan mudah koyak walau beribu tahun digunakan. Selesai taklimat kami tertarik untuk membeli sebuah karya khat Asmaul Husna yang ditulis di atas papyrus yang berharga 450 pound dan diberikan ayat Quran yang kecil berharga 135 pound sebagai free gift.

kedai dan galeri sondos papyrus

penerangan tentang proses pembuatan kertas papyrus
Kami kemudian melalui Dataran Tahrir untuk ke Masjid al Azhar dan menunaikan solat tahiyatul masjid disini. Senibinanya sangat cantik dan agak sebak mengenangkan Universiti al Azhar, sebuah institusi yang telah melahirkan ramai para ilmuan islam yang banyak berjasa. Di luar perkarangan masjid kami membeli buah strawberi 1kg yang berharga 10 pound (RM5) dan buah delima 3 biji yang beratnya 1kg berharga 6 pound (RM3). Memang sangat-sangat murah harganya. Huhu

perkarangan masjid al azhar
Kami seterusnya melalui terowong bawah tanah untuk ke Masjid Hussein yang terletak di seberang jalan menghadap Masjid al Azhar dan ke Bazaar Khan el Khelili, menghabiskan masa lebih kurang 1 jam untuk membeli belah. Sempat juga kami membeli dompet pouch, bookmark papyrus, copper yang diukir Asmaul Husna, keychain dan fridge magnetic untuk dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan dan sanak saudara di Malaysia. 

masjid hussein, kaherah mesir

bazaar khan el-khalili
Makan malam kami agak istimewa kerana akan makan sambil menaiki kapal persiaran menelusuri Sungai Nile selama 2 jam dengan hidangan buffet dan tarian arabian nights. Ini adalah optional bagi yang inginkan pengalaman Nile River Cruise Dinner dengan harga 30 usd seorang. Hampir dua jam kami belayar sambil makan dan berhibur dengan arabic dance, kami dibawa pulang ke hotel untuk solat dan berehat. 

andrea cruiseship yang kami naiki
Day 4
Pagi ini kami bertolak agak awal kerana akan ke bandar Iskandariah atau Alexandaria yang terletak kira-kira 200km utara Kaherah. Perjalanan mengambil masa kira-kira 2 jam untuk sampai ke sana, kami berhenti di rnr milik tentera yang menjual barangan keperluan harian dengan harga yang amat murah. Sempat juga kami membeli madu dan minyak zaitun yang setiap satunya berharga RM12 dan RM25 untuk 1kg dan 1liter. Memang amat berbaloi-baloi membelinya disini. 

sarapan pagi ini pancake dan strawberi yang dibeli semalam. nyam3 huhu
Kami sampai di Iskandariah dan disajikan dengan pemandangan lautan mediteranean yang terbentang luas. Destinasi pertama kami pagi ini kami singgah di Montaza Palace, sebuah istana milik raja mesir yang terakhir iaitu Raja Farouq. Taman sekitarnya dihias cantik dengan pelbagai pokok-pokok yang tumbuh subur dan merupakan taman diraja yang sudah mula dibuka untuk kunjungan awam.

Montaza palace of King Farouq

Taman sekitar montaza palace menghadap lautan mediteranean
Lebih kurang setengah jam kami disini bergambar kenangan, kami dibawa makan tengahari yang enak di sebuah restoran Cafe Galliano yang menghadap Lautan Mediteranean. Hidangan makan tengahari kami ialah ikan panggang dihidang bersama nasi dan salad. Ikan yang hasil tangkapan dari laut mediteranean yang namanya sudah saya lupa sangat sedap, mujur juga dapat makan 2 ekor kerana ada jemaah yang kurang menggemari ikan memberikannya kepada saya. Hehe.

makan tengahari kami di sini

hidangan istimewa makan tengahari kami di alexandaria
Selesai makan tengahari kami dibawa ke depan Perpustakaan Alexandaria yang kedua terbesar di dunia selepas Congress Library di Amerika Syarikat. Perpustakaan ini menyimpan pelbagai koleksi buku dari seluruh dunia dan mempunyai 11 tingkat ke bawah tanah. Bentuk bangunannya juga agak unik. Kami singgah bergambar disini dan makan aiskrim yang sungguh sedap dalam kesejukan tiupan angin laut mediteranean. Huhu.

Library of Alexandaria, Egypt

makan aiskrim yang sedap berhadapan perpustakaan
Kami kemudiaannya singgah di Citadel of Qaitbay sebuah kubu yang terletak menghadap Laut Mediteranean dan bergambar disini. Angin yang kuat dan sejuk tidak mematahkan semangat kami yang sakan bergambar disini mengabadikan kenangan kami.

kampung nelayan di alexandaria

citadel of qaitbay alexandaria
Selesai disini kami dibawa ke Masjid Mursi al-Abbas sebuah masjid yang cantik senibinanya untuk solat jamak qasar dan bertolak pulang ke Kaherah. Dalam perjalanan kami singgah di hentian rehat untuk berehat minum kopi. Sempat juga membeli manisan Mesir seperti halwa muskat dan baklava untuk dibawa pulang. 

singgah solat jamak qasar disini
Makan malam kami hari ini di restoran yang sama kami bersarapan pada hari pertama di Mesir. Masing-masing yang sudah agak kepenatan hanya mengisi perut ala kadar dan pulang ke hotel, berehat, mengemas beg untuk ke Madinah pula keesokan harinya. 

Day 5
Pagi ini kami bersarapan agak awal dan check out juga awal untuk ke Kilang Egyptian Cotton. Harganya yang agak mahal tidak menjadikan kami untuk membeli belah disini.

egyptian cotton gallery
Kami kemudiannya ke Saladin Citadel melawat kubu yang dibina oleh Salahudin al Ayubi semasa perang salib. Disini juga terdapat masjid yang menyerupai masjid biru di Istanbul dan juga Makam Mohamad Ali Pasha, sultan Mesir pada zaman dahulu.

peta salahudin citadel

masjd disini yang menyerupai masjid biru di istanbul

Jam 10.30 pagi kami sudah dibawa untuk makan tengahari kerana selepas itu kami akan terus ke airport untuk penerbangan ke Madinah. Makan tengahari kami di tempat yang sama kami makan tengahari pada hari pertama kami sampai di Egypt.

senibina masjid yang sungguh cantik
 
di luar perkarangan masjid
Kami juga mengadakan kejutan sambutan hari jadi buat salah seorang ahli keluarga kami yang menyambut hati lahirnya pada hari tersebut. Semuanya berhasil atas pertolongan tour guide kami Mr Hisham Abdul Fattah yang banyak membantu dari segi membeli kek dan menyimpannya untuk kejutan harijadi itu. Jasa baiknya akan kami ingat sampai bila-bila.

kek yang dibeli oleh tour guide kami bagi menyambut hari jadi ahli keluarga kami
Jam 12 tengahari kami dihantar ke airport untuk urusan check in dan imigresen dan menunggu penerbangan ke Lapangan Terbang Madinah jam 4.40 petang. Perjalanan dari Cairo ke Madinah mengambil masa kira-kira sejam 30 minit menaiki Egypt Air. Salah seorang ahli keluarga kami yang turut serta telah tertinggal jaketnya yang di bilik menunggu. Memang tidak ada rezekinya bersama jaketnya yang baru dibeli itu lagi. Huhu. 

Bumi mesir kami tinggalkan dengan 1001 kenangan manis yang terpahat dalam minda kami sampai bila-bila. Sesungguhnya dengan merantau dan menyaksikan sendiri bumi para anbiya ini banyak mengajar kami tentang betapa iman dan keagungan sesebuah bangsa yang pernah diutus nabi-nabi ini sememangnya sebuah bangsa yang kuat jati diri dan semangatnya. Beberapa aspek terutamanya tentang kebersihan perlu banyak diperbaiki demi mencerminkan keimanan dan keagungan Islam yang pernah dicapai satu ketika dulu. Penduduk Mesir yang ramah dan sentiasa tersenyum pastinya akan kami kenang selalu. Doa buat negara Mesir dan rakyatnya yang dipinta oleh tour guide kami Mr Hisham Abdul Fattah akan kami panjangkan di Mekah dan Madinah kelak, Insya Allah..

Bersambung di Part 2

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...